Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu  mungkin berdepan kontroversi baru apabila berkata, sekiranya diadakan  referendum atau pungutan suara sejurus selepas merdeka, Tunku Abdul  Rahman tidak akan menjadi perdana menteri yang pertama.

Ini  kerana, tambahnya, pengaruh pejuang kemerdekaan sayap kiri – yang  rata-rata dikehendaki British dan pertubuhan mereka diharamkan – amat  kuat ketika itu.
“Kalau dibuat referendum antara  Tunku Abdul Rahman, (pengasas Umno) Datuk Onn (Jaafar) dan (pemimpin  kiri) Burhanudin Helmy, sudah tentu Burhanudin Helmy akan jadi perdana  menteri Malaysia yang pertama.
“Tetapi mereka ini  (golongan kiri) ditangkap, diburu dan pertubuhan mereka diharamkan,”  katanya yang sebelum itu sinis apabila merujuk kemerdekaan tanah air  sebagai “merdeka in bracket”.

Mempertahankan  sumbangan golongan itu dalam menuntut kemerdekaan, Mohamad yang lebih  dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beliau tidak menolak pemimpin Umno  dibariskan tetapi tokoh-tokoh lain juga tidak harus diketepikan.
“Perayaan  merdeka ini sudah macam perayaan Umno. Cuba di televisyen letak sekali  gambar Dr Burhanudin, Ahmad Boestamam, Mat Kilau... Barulah rakyat  terpanggil merayakan hari kemerdekaan.

“Ini  Umno saja raya,” katanya disambut gelak ketawa dan tepukan hampir 500  orang yang hadir dalam forum membincangkan perjuangan Mat Indera di  Kuala Lumpur malam tadi.
Turut menjadi ahli panel  forum tersebut ialah kolumnis dan bekas aktivis mahasiswa Hishamudin  Rais dan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA)  Prof Dr Abdul Aziz Bari.
'Chin Peng atau Henry Gurney baik?'Mohamad  berkata, walaupun ada antara aktivis haluan kiri, seperti Rashid Maidin  dimomokkan sebagai komunis dan tidak percaya pada agama, perkara itu  tidak betul sama sekali.

“Dulu  ada seorang menteri besar melawat kem (pemimpin Parti Komunis Malaya –  PKM) Rashid Maidin dan beri bantuan kepadanya di Selatan Thailand.
“Dia  terkejut, masuk saja sana, ada surau. Petang-petang Rashid Maidin  mengajar bahasa Melayu dalam tulisan jawi yang telah dimusnahkan United  Malay National Organisation (Umno),” katanya.
Pergi lebih jauh, Mohamad juga menimbulkan persoalan sama ada benar bekas pemimpin kanan PKM Chin Peng seorang pengganas.

Sedangkan,  menurut Mohamad, Chin Peng bertanggungjawab menyebabkan kematian bekas  pesuruhjaya British di Tanah Melayu Sir Henry Gurney yang menjalankan  usaha membuka perkampungan baru Yahudi di Palestin sebelum dihantar ke  Malaya.
“Chin Peng bunuh Henry Gurney (
kanan) yang jajah Malaya. Saya hendak tanya, siapa yang baik? Henry Gurney atau Chin Peng?
“Saya tak mahu jawab. Kalau silap, mampus aku esok. Lu fikirlah sendiri,” katanya yang terkenal dengan kelucuannya itu.
Estet, lombong BritishTerus  mempertahankan kenyataan kontroversinya – bahawa Mat Indera yang  penyerang balai polis Bukit Kepong wira sebenar dan bukan “polis  British” – Mohamad berkata, beliau kini menemui buku yang ditulis  seorang bekas pegawai polis tentang peranan pasukan keselamatan pada era  British.

Dalam  buku itu, tambahnya, bekas pegawai polis itu sendiri mengakui antara  tugas polis pada masa itu menjaga kepentingan British di estet dan  lombong British.
“Lebih separuh daripada buku ini  tulis pasal jaga estet mana, lombong mana. Ini polis yang tulis, bukan  aku,” katanya sambil menjulang buku berkulit biru itu.
Setelah  diserang bertubu-tubi di media arus pertama sebelum ini, Mohamad pernah  mempertahankan pendapatnya menggunakan buku terbitan Yayasan Warisan  Johor berjudul Pengukir Nama Johor sebelum ia dinafikan yayasan bawah  kerajaan negeri itu semalam.