PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Jumaat, 8 Julai 2011

Khamis, 7 Julai 2011

Bersih lonjak kesedaran politik generasi muda
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Julai: Himpunan aman Bersih 2.0 yang diadakan esok telah memberikan satu lonjakan kesedaran politik rakyat Malaysia, terutama generasi muda.

“Mungkin selama ini mereka tidak kisah sangat apa yang berlaku sekeliling mereka. Mereka sibuk dengan kerjaya masing-masing.

“Apabila media BN yang sudah hilang orbit kewarasan dalam pemberitaan, akhirnya menjadi senjata makan tuan, kerana anak muda ialah mereka generasi yang berfikir,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Tambahnya, lebih-lebih lagi di era langit terbuka, mereka mendapat maklumat kedua kemudian, mereka membakul sampahkan propaganda BN.

Beliau berkata, hasrat BN cuba memburukkan program Bersih dengan berbagai tuduhan seperti komunis, gerakan kristian, agen asing semuanya gagal.

Menurutnya, generasi muda yang celik maklumat bukan mereka yang boleh dicucuk hidung oleh pemimpim BN.

Mereka, ujarnya mentelaah semua maklumat, kemudian membuat pertimbangan mana yang betul dan yang salah.

Katanya lagi, mereka tidak mahu melanjutkan kepimpinan negara yang separuh abad diberi amanah, tetapi telah mengkhianati amanah negara.

Oleh itu, katanya mereka perlu melantik pemimpin yang amanah dengan jawatan tetapi impian itu tidak akan diperolehi jika perjalanan pilihan raya yang tempang.

Justeru, tegasnya reformasi perlu dibuat dalam perjalanan pilihan raya di negara ini.

Beliau menambah, jika benar BN kuat mereka tidak perlu takut untuk menerima tuntutan Bersih, biarlah rakyat menjadi Hakim Negara untuk memilih pemimpin negara.

“Perkara ini pemimpin BN tidak perlu takut jika mereka menganggap ini adalah amanah, tetapi mereka akan takut jika tujuan menjadi pemimpin sebagai tangga untuk mengumpul kekayaan anak beranak,” ujarnya.


Walaupun dilarang, pemimpin PAS akan hadir
Harakahdaily

SHAH ALAM, 8 Julai: Pemimpin PAS tetap turun menyertai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai (jam 2 petang esok) meskipun terdapat larangan berada di Kuala Lumpur seperti perintah mahkamah yang dikeluarkan semalam.

Dalam keputusan berdasarkan permohonan sebelah pihak polis kepada mahkamah itu, hampir semua pemimpin tertinggi PAS termasuk dalam 91 individu yang dihalang berada di ibu negara pada esok hari.

Naib Presiden PAS, Haji Salahudin Ayub menegaskan pemimpin dan ahli PAS tetap akan hadir ke perhimpunan rakyat di Stadium Merdeka dalam usaha menuntut pilihan raya bersih dan telus dalam negara.

Beliau menyifatkan tindakan BN menggunakan mahkamah untuk keluarkan larangan menghalang 91 individu berada di KL esok hari sebagai tidak demokratik.

Jelasnya, tindakan menghalang dan mengugut itu jelas bertentangan dengan titah khas Seri Paduka Yang Dipertuan Agong, Sultan Mizan yang mahu semua pihak berunding.

"Tindakan menghalang itu jelas bertentangan dengan ruh dan semangat titah baginda," tambahnya yang juga termasuk dalam senarai 91 individu yang dihalang.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli pula berkata, pimpinan Pakatan Rakyat kekal mantap untuk jayakan himpunan Bersih itu meskipun terdapat berbagai halangan.

Dalam satu kenyataannya, beliau yang juga dihalang berkata, setakat ini belum menerima sebarang surat secara hitam putih tentang keputusan mahkamah majestrit itu.

"Jika benar, ini merupakan satu bentuk pencabulan hak saya untuk bergerak secara bebas dalam negara sendiri.

"Pemerintah semakin tenggelam punca dalam menghadapi kebangkitan rakyat," tegasnya.

Penegasan sama turut dibuat ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran Gerakan Pilihan Raya Adil dan Telus di Seksyen 18, dekat sini, malam tadi.

Sementara itu dalam jawapan ringkasnya. AJK PAS Pusat, Haji Khalid Samad berkata, tindakan ini membuktikan pemimpin BN sudah tidak siuman.

Seorang lagi AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman pula hanya ketawa geli hati dengan tindakan ini sambil menyatakan akan terus hadir.

Peranan proaktif dan strategik Agong
Ahmad Lutfi Othman
Sekurang-kurangnya Buletin Utama TV3, malam 4 Julai lalu, tidak lagi dipenuhi momokan tentang "perhimpunan haram golongan pengacau" apabila wakil Bersih yang diketuai S Ambiga bersama A Samad Said dan Zaid Kamarudin diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong pada sebelah petangnya, dan mereka bersedia mengadakan perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil di dalam stadium.

Kenyataan Perdana Menteri, Najib Razak pula dilihat lebih mendatar (berbanding malam sebelumnya di perhimpunan bulanan JPM), sambil menekankan: "Kita bersedia untuk berjumpa dengan pihak berkenaan bagi mengadakan (perhimpunan) di stadium dengan syarat bahawa mereka akan pergi dengan aman, berhimpun secara aman dan mereka akan balik dengan aman."

Bagaimanapun, siaran berita yang sama melaporkan sidang akhbar polis Selangor dan Kuala Lumpur tentang rampasan sejumlah besar senjata daripada pelbagai lokasi di sekitar Lembah Klang, termasuk 44 molotov cocktails, 23 parang dan 48 baju-T dengan logo Bersih. Polis tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan perhimpunan Bersih, 9 Julai. Ketua Polis Selangor, Tun Hisan Hamzah berkata, taktik digunakan dengan golongan komunis semasa zaman darurat.

Saya cuba membayangkan, jika tiada "campur tangan Agong" dan Bersih tetap bertegas mengadakan perarakan membelah kota raya ke Istana Negara, tentulah kes rampasan senjata bersama baju-T Bersih itu akan menjadi isu hangat-panas dan diperbesar-besarkan oleh RTM, TV3 dan pastinya Utusan Malaysia, berhari-hari lamanya. Mutakhir ini media di negara kita, khususnya TV, berulang kali menyiarkan propaganda memburukkan Bersih yang cukup memualkan. Rasanya propaganda pemerintah zaman komunis dulu pun tidak seteruk itu.

Lucu juga mengingatkan penegasan Tun Hisan yang seolah-olah mahu mengaitkan rampasan senjata di belakang tokong Cina di Batu 14, Jalan Gombak Lama Bentong, dengan taktik pengganas komunis. (Masakan tidak, "komunis" tahun 2011 ini begitu alpa dan naif sehingga meninggalkan kesan dan bukti, seperti baju-T Bersih! Kebetulan, ada blogger mengingatkan kemungkinan rampasan gelombang kuning di seluruh negara boleh menyediakan ruang untuk mensabotaj Bersih, terutama membabitkan baju-T kuning itu).

Serta-merta saya terkenang nasib Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar dan empat aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditangkap semula mengikut Ordinan Darurat (EO) selepas dibebaskan daripada tahanan reman pada 2 Julai. Sebelum itu, Jeyakumar bersama 30 yang lain, ditangkap di plaza tol Sungai Dua, Pulau Pinang. Polis mendakwa berdasarkan barangan yang dirampas, ahli-ahli PSM itu mempunyai kaitan dengan fahaman Parti Komunis Malaya (PKM). Mereka disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan atas tuduhan melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Penggunaan EO adalah taktik halus polis mahu menahan tanpa bicara dengan tidak menggunakan akta drakonian ISA. Berbanding ISA, tidak wujud suara lantang terhadap EO disebabkan sasarannya bukan ahli politik, tetapi gangster atau penjenayah. Peruntukan penting dalam Ordinan Darurat adalah Seksyen 3(3), iaitu tempoh penahanan oleh polis selama 60 hari dan juga Seksyen 4(1), iaitu arahan menteri supaya ditahan tanpa bicara selama dua tahun.

Setelah tamat tempoh 60 hari tahanan pertama, menteri boleh memerintah perlanjutan tempoh tahanan tanpa bicara selama 2 tahun. Secara alternatifnya, menteri boleh mengeluarkan perintah sekatan untuk menyekat pergerakan tahanan. Menteri mempunyai kuasa melanjutkan perintah tahunan untuk satu jangkamasa berterusan tidak berakhir (undefinitely).

Selain itu, isu yang menjadi bualan ramai adalah sikap keterbukaan Seri Paduka yang bersedia menerima rombongan Bersih dan khabarnya pimpinan Pakatan Rakyat juga ke istana, ketika Timbalan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar mengumumkan pintu rundingan sudah ditutup. Malah, Khalid dengan sombong memaklumkan kepada media bahawa perjumpaan ketuanya, Ismail Omar dengan pimpinan Bersih, termasuk Ambiga, bukannya satu rundingan, tetapi hanya untuk memaklumkan pendirian polis.

Dan bagaimana pula dengan status Bersih selepas menghadap Agong, khususnya merujuk kenyataan Abdul Rahman Othman, Pendaftar Pertubuhan Malaysia, bahawa Menteri Dalam Negeri telah mengisytiharkan bahawa Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 berkuatkuasa 1 Julai 2011? Masakan Agong sedia bertemu wakil pertubuhan haram, yang di dalamnya mungkin mengandungi anasir subversif, yang dikaitkan dengan komunis?

Bagaimanapun bagi saya, perkara yang jauh lebih penting adalah menonjolkan peranan istimewa Agong dalam dunia politik, khususnya membabitkan proses pilihan raya. Kedudukan baginda yang unik itu jarang diperkatakan sehinggalah muncul titah diraja, malam 3 Julai lalu. Antara petikan menarik: "Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana ..."; "Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan ...."

Sememangnya penggubal Perlembagaan 1957 kita begitu cermat ketika memasukkan Perkara 114(2): "Pada melantik ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu SPR yang mendapat KEPERCAYAAN AWAM." Kedudukan Agong yang nuetral dari segi politik membolehkan baginda melaksanakan tugas strategik bagi memastikan SPR benar-benar berwibawa, diyakini rakyat, bertindak saksama dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik.

Menurut Tun Mohamed Suffian Hashim, bekas Ketua Hakim Negara dalam bukunya, Mengenai Perlembagaan Malaysia, "Untuk menentukan bahawa SPR bebas dari campur tangan kerajaan, Perlembagaan memperuntukkan bahawa seseorang ahli SPR tidak boleh dipecat dari jawatannya melainkan atas alasan yang sama dan dengan cara yang sama seperti seorang hakim.

Tiada perutukan lain dalam Perlembagaan yang begini istimewa walaupun terhadap perlantikan hakim, kecuali bagi SPR. Malangnya, pada hemat saya, peranan Agong seperti ditegaskan Perkara 114(2) itu seolah-olah tidak diberi perhatian serius, sedangkan ia kunci kepada masalah yang berbangkit hari ini. Belum nampak satu mekanisme yang jelas dan sistematik tentang perlantikan ahli-ahli SPR yang seharusnya mendapat KEPERCAYAAN AWAM itu, sehingga mereka yang dianggap boleh "diperbudakkan" oleh Umno yang sering dilantik dan ini menyebabkan kontroversi berlaku.

"Tugas politik" Agong yang begitu penting ini, seumpama seorang pengadil pertandingan yang tidak memihak, mesti dibahaskan secara tuntas. Bersih, dalam memorandum kepada baginda, bertarikh 10 November 2007 "menyuarakan kehendak rakyat menuntut pembaharuan pilihan raya termasuk mengutarakan cadangan untuk sebuah Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji pembaharuan sistem dan proses pilihan raya".

Sebenarnya, daripada menuntut sebuah suruhanjaya bebas, lebih praktikal untuk mendahulukan peruntukan yang tersedia dalam Perlembagaan. Penubuhan SPR yang mendapat KEPERCAYAAN AWAM ini tidak boleh ditangguh lagi. Perarakan aman membelah Kuala Lumpur, yang dipindahkan ke stadium, tidak akan menyelesaikan isu sebenar sekiranya perkara pokok yang terkandung dalam tuntutan 8 perkara itu terbiar begitu sahaja.

Secara peribadi saya mengharapkan langkah awal Seri Paduka ini akan merintis usaha reformasi menyeluruh terhadap proses pilihan raya dan sistem demokrasi di negara kita. Ini bukan perkiraan siapa kalah atau menang; yang penting ada cahaya di hujung terowong ....
Panduan ringkas perhimpunan Bersih 2.0
Herman Samsudeen

1. Apa yang perlu anda buat apabila DIBERHENTIKAN polis?
o Minta beliau tunjukkan Kad Kuasa Polis
o Catit nama dan nombor anggota yang tercatat dalam Kad Kuasa Polis
o Jika beliau berpakaian seragam, catit nombor anggota pada pakaian seragam
o Jika beliau berkenderaan, catit nombor pendaftaran kenderaan

2. Apa perlu anda buat jika diminta pengenalan diri?
o Berikan nama, nombor kad pengenalan dan alamat sahaja
o Jangan sekali-kali menyerahkan kad pengenalan anda kepada polis; hanya tunjuk sahaja
o Jika polis paksa anda serahkan kad pengenalan, minta dikeluarkan Borang Pemeriksaan sebagai bukti kad pengenalan dirampas

3. Bilakah anda ditahan?
o Apabila anda dihalang beredar dari tempat tersebut
o Apabila anda digari

4. Apa harus anda buat apabila ditahan?
o Jangan melawan dan jangan beri alasan kepada polis untuk gunakan kekerasan
o Tanya apakah alasan anda ditahan
o Tanya ke balai mana anda akan dibawa

5. Apakah hak anda setelah ditahan?
o Anda berhak membuat panggilan telefon kepada keluarga dan/atau peguam dan maklumkan balai tempat anda dibawa, sebab tangkapan dan nama polis yang membuat tangkapan

6. Berapa lama polis boleh menahan anda?

o Polis boleh menahan anda tidak melebihi 24 jam di balai atau lokap polis
o Anda boleh ditahan melebihi 24 jam jika anda diberikan Perintah Reman oleh Mahkamah Majistret tertakluk kepada tempoh maksimum 7 (4+3) hari bagi kesalahan menghadiri perhimpunan ‘Bersih 2.0’

7. Apakah yang perlu dibuat apabila anda dibawa ke hadapan Majistret untuk mendapatkan Perintah Reman?

o Beritahu polis/Majistret bahawa anda ingin diwakili peguam
o Jika anda diwakili peguam, anda tidak perlu bercakap kerana peguam yang akan bercakap bagi pihak anda di hadapan Majistret
o Anda hanya perlu beritahu peguam yang mewakili anda sekiranya anda sakit, didera, diugut atau tidak diberikan makanan/air/pakaian secukupnya semasa dalam tahanan. Buat laporan polis dengan segera jika berlaku keadaan sedemikian
o Beritahu juga kepada peguam sama ada polis telah menjalankan penyiasatan semasa anda dalam tahanan

8. Apakah yang perlu dibuat apabila polis ingin merakam Kenyataan Bertulis semasa dalam tahanan?

o Kenalpasti nama dan pangkat pegawai yang menyoal siasat anda
o Berikan nama penuh, umur, alamat dan pekerjaan (butir-butir peribadi) jika diminta
o Selain memberikan butir-butir peribadi, anda dinasihatkan untuk berdiam diri dari menjawab soalan dari pegawai polis
o Jika anda memilih untuk berdiam diri, katakan “saya akan jawab di mahkamah” terhadap sebarang soalan yang dikemukakan kepada anda dan polis tidak boleh memaksa, mengugut atau memukul anda jika anda enggan menjawab soalan

9. Bilakah anda didakwa di mahkamah ?

o Anda boleh didakwa di mahkamah pada atau sebelum tempoh reman yang diberikan terhadap anda tamat
o Anda didakwa jika pertuduhan dibacakan terhadap anda di hadapan seorang Majistret/Hakim dan anda ditanya sama ada mengaku bersalah atau minta dibicarakan
o Pastikan anda MENGAKU TIDAK BERSALAH dan peguam ‘Bersih 2.0’ akan mewakili anda sehingga perbicaraan selesai

Disediakan oleh: Unit Tindakan Undang-Undang Jenayah, Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM), Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan kerjasama Lajnah Undang-Undang PAS Pusat

Jika Anda Ditahan Hubungi No. Telefon Hotline Bilik Gerakan PEGUAM, Dewan Pemuda PAS Malaysia :

1. 0 1 6 – 3 1 2 6 4 6 3
2. 0 1 6 – 3 1 2 6 4 7 3
3. 0 1 4 – 6 4 5 1 7 5 3
4. 0 1 2 – 3 9 2 8 3 7 9

-------------------------------------------------------------------------------------

Herman Samsudeen adalah Pengarah Jabatan Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

A Samad Said: Peludah Warna
A Samad Said

Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.

Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.

Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.

A Samad Said

Rabu, 6 Julai 2011

BERSIH 2.0 tetap ke Stadium Merdeka Sabtu ini
Jul 7, 11 9:21am
Kongsi 108

Bersih 2.0 mengisytiharkan perhimpunan Sabtu ini tetap akan diadakan di Stadium Merdeka di sebalik segala halangan dan hambatan yang dikenakan ke atas mereka.

NONEDalam kenyataan yang dikeluarkan lewat petang semalam, semua 14 anggota jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 yang menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara berkata "kami tidak akan sekali-kali akan berubah niat dan tetap akan membuat himpunan yang aman di sana".

Sambil menolak, amaran, ugutan dan hambatan yang dikenakan ke atas mereka dan juga rakyat yang menyokong tuntutan BERSIH 2.0 sejak dua minggu lalu, pertubuhan yang diwakili 62 NGO itu juga melahirkan kekecewaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kabinetnya kerana didakwa mengkhianati janji bagi membenarkan perhimpunan itu diadakan di sebuah stadium.

azlanApa sekalipun terjadi, ikrar mereka, BERSIH akan menggunakan hak perlembagaan untuk berkumpul secara aman dengan tujuan yang adil dan berpatutan dengan tidak akan berbelah bahagi.

"BERSIH 2.0 kecewa dengan cara Perdana Menteri dan ahli-ahli kabinet beliau berdolak dalik mengenai tawaran untuk menyediakan stadium bagi perhimpunan aman kami.

"Sebagai ahli masyarakat madani, kami setia berpegang kepada prinsip integriti dan kami dengan sepenuh hati akan menuruti titah dan nasihat Tuanku DYMM SPB YDP Agong untuk berhimpun di stadium untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

"Kami memilih Stadium Merdeka sebagai tempat yang terbaik untuk acara ini kerana ia simbolik dan terletak di lokasi yang munasabah. Kami tidak akan sekali-kali akan berubah niat dan tetap akan membuat himpunan yang aman di sana," kata kenyataan itu.

Menurut gabungan itu jika Perdana Menteri seorang yang boleh dipegang katanya, beliau akan membuat tindakan yang sewajarnya agar perhimpunan Sabtu ini dapat dilaksanakan secara aman di Stadium Merdeka.

NONEKata BERSIH 2.0, kenyataan akhir yang dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Negara yang 'menasihatkan' rakyat supaya tidak "berbuat apa-apa selain daripada duduk di rumah masing-masing" sebenaranya percubaan menakiut-nakutkan orang ramai.

"Kami sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah air mahukan hak kami untuk memilih pemimpin kami dengan cara yang demokratik. Kami tidak akan ditakut-takutkan dengan penyalahgunaan kuasa yang tidak bermoral dan tidak adil.

"Tanggungjawab pertama kami adalah untuk masa depan kami dan anak-anak kami. Kami sudah memasang tekad agar mereka tidak mewarisi negara yang diperintah berdasarkan ketakutan dan tidak berpandukan prinsip-prinsip keadilan.

Kenyataan itu diakhir dengan ayat berikut:

"Kami rakyat Malaysia akan tetap berkumpul secara aman untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil di Stadium Merdeka pada 9 Julai, 2 petang. Kami akan datang untuk berkumpul beramai-ramai, dan bersama-sama kita membina Malaysia."

Kenyataan penuh BERSIH 2.0:

BERSIH 2.0 kecewa dengan cara Perdana Menteri dan ahli-ahli kabinet beliau berdolak dalik mengenai tawaran untuk menyediakan stadium bagi perhimpunan aman kami.

Sebagai ahli masyarakat madani, kami setia berpegang kepada prinsip integriti dan kami dengan sepenuh hati akan menuruti titah dan nasihat Tuanku DYMM SPB YDP Agong untuk berhimpun di stadium untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

Kami memilih Stadium Merdeka sebagai tempat yang terbaik untuk acara ini kerana ianya simbolik dan terletak di lokasi yang munasabah. Kami tidak akan sekali-kali akan berubah niat dan tetap akan membuat himpunan yang aman di sana.

Jikalau Perdana Menteri seorang yang boleh dipegang katanya, beliau akan membuat tindakan yang sewajarnya agar acara ini dapat dilaksanakan secara aman di Stadium Merdeka.

Sama ada kerajaan berpegang kepada prinsip-prinsip mereka atau tidak, kami sebagai rakyat Malaysia akan berpegang kuat kepada prinsip-prinsip kami. Semangat kami untuk menggunakan hak perlembagaan kami untuk berkumpul secara aman dengan tujuan yang adil dan berpatutan tidak akan berbelah bagi.

Kenyataan-kenyataan akhir yang dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Negara menunjukkan bahawa pihak polis akan mengambil tindakan terhadap kami sekiranya kami berbuat apa-apa selain daripada duduk di rumah masing-masing.

Kami sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah air mahukan hak kami untuk memilih pemimpin kami dengan cara yang demokratik. Kami tidak akan ditakut-takutkan dengan penyalahgunaan kuasa yang tidak bermoral dan tidak adil. Tanggungjawab pertama kami adalah untuk masa depan kami dan anak-anak kami. Kami sudah memasang tekad agar mereka tidak mewarisi negara yang diperintah berdasarkan ketakutan dan tidak berpandukan prinsip-prinsip keadilan.

Kami rakyat Malaysia akan tetap berkumpul secara aman untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil di Stadium Merdeka pada 9 Julai, 2 petang. Kami akan datang untuk berkumpul beramai-ramai, dan bersama-sama kita membina Malaysia.

Kenyataan daripada, Ahli Jawatankuasa Induk Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)


Jawatankuasa Induk BERSIH 2.0 terdiri daripada: Dato' Ambiga Sreenevasan (Pengerusi), Andrew Khoo, Arul Prakkash, Arumugam K., Dr Farouk Musa, Haris Ibrahim, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Richard Y W Yeoh, Dr Subramaniam Pillay, Dato' Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Dato' Yeo Yang Poh dan Zaid Kamaruddin.
Umno retak kerana himpunan Bersih 2.0
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 7 Julai: Keretakan dalaman Umno jelas dapat dilihat dengan percanggahan pandangan antara pemimpin mereka dalam menangani himpunan Bersih 2.0.

AJK PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, pertentangan tersebut antara kem Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang mengharamkan Bersih dengan kem Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Hishammuddin yang turut disokong Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kumpulan ultra Melayu dalam Umno ujarnya, lantang menolak himpunan Bersih walau dengan apa alasan.

“Ini agak pelik sebab Hisham lazim berada dalam kem Najib seperti juga Khairy dan Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu,” katanya kepada Harakahdaily.

Muhyiddin, ujarnya, masih tetap mengintai-mengintai peluang untuk mencuri sokongan tegar Umno itu dari bossnya. Kelompok ini didakwa mendapat sokongan mantan PM, Tun Mahathir dan warlords Umno yang masih punya 'taring' atau clouts.

Kini kelompok ini dilihat langsung tidak mempedulikan pandangan Yang di-Pertuan Agong yang telah membenarkan himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini di buat di stadium.

Berbeza dengan Najib yang didakwa turut mendapat sokongan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin dilihat lebih "terbuka" menangani Bersih 2.0.

"Hishammuddin mahu buktikan dia punya kuasa dan mahu kawal rakyat seperti zaman kuno dalam Politik Lama. Pelaku-pelaku atau politikus ini ditanggapi sebagai ‘dinasour’ yang mengecewakan pelbagai pihak sivil dan awam.

"Najib pula mahu tampilkan dia perdana menteri yang fahami rakyat yang telah mengalami "pencerahan politik," kata Dzulkefly yang juga ahli parlimen Kuala Selangor. Najib juga mahu meyakinkan bahawa dia serius apabila mengemukakan retoriknya ‘zaman kerajaan tahu semula telah berlalu’, tetapi nyata tidak disenangi ‘kelompok penguasa kedua dalam Umno," hujah Dzulkefly lagi.

Keterbukaan Najib itu bagaimanapun menurutnya terus "tersepit" dengan janji beliau tentang anjuran "kesederhanan Islam" kepada pimpinan kuasa tunggal dunia sedikit waktu dahulu. Segala retoriknya tampak bertentangan dengan falsafah dan doktrin supramacist sempit Umno yang berpaksikan ‘Ketuanan Umnoputera’ ujar beliau lagi.

Biarpun terpaksa bercanggah dengan kem Hishamudin dan kumpulan ultra Melayu dalam Umno, Najib katanya, terpaksa mengambil resiko itu sebab tidak mahu di tanggapi umum sebagai lemah dan ‘takut’ kepada kelompok ‘Muhyuddin-Hishammuddin’.

"Kemungkinan juga beliau ditekan oleh pihak barat supaya menunjukkan moderate yang dicanangnya. Pertentangan dengan kumpulan Melayu tegar dalam Umno kata Dzulkefly, bukan baru bagi Najib," ujarnya.

Dari sudut ekonomi, Najib sebelum ini juga dakwanya pernah cuba membawa perubahan dalam Model Ekonomi Baru (MEB), tetapi ditentang kumpulan itu. MEB sekarang tenggelam dalam pengisytiharaan pelbagai projrk-projek mega di bawah akronim lain seperti NKRA, NKEA, GTP, ETP, EPP dan lain-lain.

"Dan kemuncak pertentangan itu dizahirkan dalam menangani Bersih di mana Hishamuddin mengharamkan Bersih biarpun bertentangan dengan Agong, sementara Najib memahami kehendak baginda lantas memberi laluan kepada perhimpunan aman itu," katanya.

Apapun jelasnya, ia membuktikan keretakan umno semakin serius dan menonjol sekali, serentak mengisyaratkan persaingan kuasa yg semakin sengit. Tampak dalam kemelut Bersih2.0 ini Najib akan sekali lagi kecundang dan berbolak-balik atau ‘flip-flop’.

“Setiap langkah Najib, beliau dipaksa berundur dua langkah kebelakang. Umno di persimpangan ini sememang berdepan dengan "generational conflict" atau konflik generasi yang getir” mengikut pengamatan Pengerusi Jabatan Penyelidikan PAS yang baru dilantik semula itu.

“Lebih parah bagi Najib, konflik generasi ini tidak mudah dirungkaikan dengan garis usia semata-mata. Ianya dirumitkan lagi dengan pelbagai dnamika dalaman Umno.

“Namun faktor ‘kepentingan survival politik’ dan sekaligus perebutan kuasa dan peluang bagi membolot kekayaan, mendominasi konflik ini," tegas beliau lagi.


Rumah MB Kedah disimbah cat merah
Jul 6, 11 7:33pm
Kongsi 105
Beberapa buah rumah dan kereta pemimpin serta pusat khidmat wakil rakyat PAS termasuk rumah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak disimbah dengan cat dalam beberapa kejadian malam semalam dan awal pagi ini.

Selain itu, sebahagian daripada mereka juga menerima nota ugutan yang dibungkus dengan batu supaya tidak menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Dalam kejadian itu, selain rumah Azizan di Sungai Limau, Yan, kereta ahli parlimen Pendang Dr Hayati Othman dan Setiausaha PAS Kawasan Alor Setar Adnan Saad disimbah dengan cat merah manakala rumah yang terlibat adalah milik Ketua Penerangan PAS Kuala Kedah Ridzuan Abu Bakar dan Anggota Jawatankuasa (AJK) Pemuda PAS Kuala Kedah Mohd Radi Said.

Turut disimbah cat merah adalah Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri Kubang Rotan Mohd Nasir Mustafa.

Azizan berkata laporan polis telah dibuat berkaitan kejadian-kejadian itu dan berharap polis dapat melakukan siasatan segera.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai tindakan budak-budak nakal yang cuba menimbulkan kontroversi.

"Polis dah pergi tengok. Biarkan polis menjalan tugas mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Alor Setar, hari ini.
Pakatan kesal sikap melampau KDN, polis
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Pakatan Rakyat kesal dengan sikap Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang masih memberi pelbagai tekanan dan halangan kepada himpunan Bersih 2.0 walaupun Yang di-Pertuan Agong membenarkan himpunan di stadium.

Ianya termasuk penangkapan mereka yang memakai dan membawa baju Bersih, halangan ceramah Bersih, pendakwaan mereka yang ditangkap, dan keengganan membenarkan bersih berhimpun di stadium.

"Kita kesal dengan sikap keterlaluan Menteri Dalam Negeri yang menyimpang dari rundingan Yang di-Pertuan Agong, seolah-olah mengatakan 'kami tidak peduli rundingan kamu dengan Agong," kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat khas majlis pimpinan Pakatan Rakyat di sebuah hotel di sini.

Turut serta pada sidang media itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Setiusaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Naib Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw.

Sambil menyifatkan KDN 'mensabotaj' perkenan Agong, Anwar juga menyelar sikap KDN itu yang juga bertentangan dengan janji yang dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri.

"Ia semangat rundingan Bersih dengan Yang di-Pertuan Agong, pindah dari perarakan awam ke stadium, disahkan oleh perdana menteri.

"Apa alasan (KDN) nak batalkan lagi," soalnya.

KDN, polis jangan jadi alat politik

Sementara itu, Mohamad Sabu ketika mengulas perkara sama manyeru pihak polis bertindak menjaga keselamatan rakyat yang mahu berhimpun secara aman tersebut, dan bukan menjadi alat politik pihak tertentu.

Tindakan itu kata Mohamad, hanya memburukkan lagi imej pasukan keselamatan itu di mata rakyat.

"Masa masih belum terlambat. Ketua Polis dan anggota perlu tunjuk kewibawaan menjaga keselamatan rakyat, bukan pihak tertentu,"katanya.

Ditanya jika hasrat mengadakan himpunan di stadium juga dihalang pihak berkuasa, Mohamad berkata dia yakin dengan janji Najib.

"Dia (kerajaan) mesti bagi sebab itu janji perdana menteri 'yang dikasihi'," katanya sambil tersenyum.

Lim Kit Siang ketika mengulas janji Najib itu juga berkata "saya tidak ragu-ragu dengan keihklasan perdana menteri".

Sehubungan itu, Pakatan Rakyat kata mereka bersetuju dengan keputusan bersih mengadakan himpunan di Stadium Merdeka dan akan memberi sokongan penuh bagi menjayakannya.

Mereka juga sekali lagi mengulangi komitmen untuk mengerahkan 300,000 ahli dari ketiga-tiga parti untuk hadir ke perhimpunan 9 Julai itu.