PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Selasa, 2 Ogos 2011

Pilihanraya olok-olok buktikan keyakinan PAS untuk menang.



02 Ramadhan 1432H. [MOD] -

IPOH, 2 OGOS: Keyakinan PAS Perak bahawa Pakatan Rakyat bakal memberi cabaran besar buat Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) yang bakal berlangsung bila-bila masa sahaja ternyata berasas. Laporan The Malaysian Insider hari ini menyatakan bahawa Barisan Nasional (BN) boleh kehilangan Perak dan Negeri Sembilan pada PRU ke-13, berdasarkan keputusan pilihan raya olok-olok.

Pilihan raya olok-olok tersebut diadakan sebagai langkah persediaan awal jentera BN untuk menghadapi PRU ke-13. Pada Mac 2008, Umno bertanding di 34 daripada 59 kerusi Dewan Undngan Negeri di Perak dan menang 27 kerusi manakala MCA pula satu. Pakatan Rakyat memperoleh 31 kerusi.

Tidak sampai setahun memerintah, rampasan kuasa berlaku setelah beberapa episod lompat parti yang sedikit sebanyak menjejaskan pihak Kerajaan Perak ketika itu yang diterajui Pakatan Rakyat.

Menurut Pesuruhjaya PAS Perak, “Krisis dalaman yang dihadapi UMNO kian meruncing dan ia terbukti dengan hasil keputusan pilihanraya olok-olok ini. Lalu, PRU 13 akan menjadi manifestasi bahawa rakyat tidak merestui perbuatan mereka merampas Perak daripada Pakatan Rakyat.”

Justeru, beliau menggesa semua ahli PAS agar meningkatkan lagi hubungan dengan Allah SWT terutama sekali di bulan Ramadhan yang mulia ini. Tegasnya, teruskan berkhidmat pada masyarakat agar Allah SWT berkenan untuk memberikan kemenangan pada pakatan Rakyat menjelang PRU 13.

Selepas Mismah, 52 lagi PR jadi warganegara dikesan



2 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Jangan terkejut jika bukan Mismah sahaja yang statusnya penduduk tetap disebelah pagi bertukar menjadi warganegara sebelah petang, malah pertukaran serupa turut melibatkan ramai lagi.

Selepas heboh laporan menceritakan "kecekapan luar biasa" Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menukar taraf kewarganegaraan Mismah dalam masa empat jam, 52 lagi kes serupa ditemui PAS Titiwangsa.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini, Timbalan Yang Dipertua PAS Titiwangsa Khairul Anuar Manap mendedahkan perkara itu dikesan kira-kira jam 2.30 petang.

Menurutnya, kira- kira jam 9.15 pagi tadi, petugas IT PAS Wilayah Persekutuan dan Titiwangsa berjaya mengesan 52 orang pemilih yang berstatus penduduk tetap di dalam Rang Daftar Pemilih suku ke-2 bagi tahun 2011.

Kemudiannya senarai tersebut dikeluarkan dan disemak di dalam sistem semakan MyKad dan MyPR Jabatan Pendaftaran Negara di alamat http://www.jpn.gov.my/semakic/ dan mendapati kesemua 52 orang tersebut berstatus Permastautin Tetap atau PR.

Senarai status penduduk tetap yang di kesan itu ialah, 28 nama di parlimen Titiwangsa, Segambut (5), Batu (8), Wangsa Maju (4), Bandar Tun Razak (1), dan Lembah pantai (6).

"Petugas IT PAS wilayah terus mencetak atau "print screen" semua gambar kad penduduk tetap tersebut daripada sistem semakan JPN dan menyertakan senarai nama dan dibawa ke pejabat Suruhanjaya Pendaftaran Negara (SPR) Wilayah Persekutuan di Bangunan Yayasan Selangor, Jalan Raja Muda Abd Aziz untuk tujuan bantahan.

"Kira-kira jam 2.30, iaitu sebelum mengisi borang bantahan senarai Rang Daftar Pemilih, pegawai SPR mengesahkan kesemua senarai 52 orang itu adalah warganegara melalui sistem semakan JPN.

"Petugas PAS cuba mengesahkan semula dan ternyata semua nama tersebut telah bertukar menjadi warganegara hanya selepas berberapa jam," ceritanya.

Lebih pelik katanya, bagaimana semua 52 nama itu boleh terlepas masuk dalam rang daftar pemilih sedangkan semuanya berstatus penduduk tetap atau soalnya, apakah ada suatu komplot antara SPR dan JPN dalam usaha memenangkan parti Umno BN.

Sehubungan itu, beliau berharap agar perkara ini tidak dipandang remeh oleh pihak berkuasa dalam negara dan dapat menyelesaikan dengan kadar segera sebelum tindakan yang lebih drastik diambil.

Petang tadi, negara digemparkan dengan seorang penduduk tetap (PR), Mismah yang memegang kad MyPR merah telah didaftarkan sebagai pengundi baru, bertukar menjadi warganegara dalam masa beberapa jam.

Dia kini mempunyai MyKad biru, berdasarkan semakan pada sistem dalam talian yang sama JPN di mana butiran identifikasi dirinya direkodkan.

Pendedahan dan penemuan terbaru itu bakal memberi tekanan baru kepada SPR yang selama ini mendakwa tiada manipulasi dalam daftar pemilih dan senarai pemilih sudah dibersihkan.

Menjelang PRU ke-13, dijangkan lebih banyak lagi pendedahan akan dibuat Pakatan Rakyat berhubung penyelewengan pihak tertentu dalam usaha memenangi pilihan raya dengan cara yang tidak demokratik.

Ampun Tuanku, Patik pohon tolak bubar Parlimen
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memohon Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan pembubaran Parlimen selagi lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih 2.0 tidak dipenuhi.

"Isu yang mendesak kini ialah ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan negara dengan kebanjiran warga asing di dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri.

"Apabila daftar pemilih dibanjiri oleh warga asing, ia jelas merupakan ancaman serius kepada kedaulatan negara dan keselamatan negara selain dari pencabulan hak asasi warganegara Malaysia sendiri," tegas beliau ketika menuntut supaya SPR menjelaskan bagaimana daftar pemilih dibanjiri oleh warga asing yang hanya memiliki status penduduk tetap sahaja.

Mahfuz menyifatkan pendedahan itu sebagai bukti yang tidak boleh disangkal lagi bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) dan SPR tidak habis-habis membohongi rakyat Malaysia apabila berulang kali mendakwa bahawa daftar pemilih yang ada sudah dibersihkan.

"Kita boleh terima kalau nama orang yang baru sahaja seminggu dua meninggal dunia masih ada dalam daftar pemilih walaupun zaman sekarang zaman teknologi yang membolehkan nama si mati dibuang hampir serta merta dari daftar pemilih.

"Tetapi kebanjiran begitu banyak warga asing bukan lagi perkara yang boleh dikompromikan. SPR boleh dituduh terang-terangan terlibat membiarkan kedaulatan dan keselamatan negara ini terancam.

"Sebagai agensi kerajaan, SPR tidak sepatutnya dilihat menjadi pihak yang mengancam kedaulatan dan keselamatan negara," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Antara lapan tuntutan bersih ialah supaya SPR membersihkan daftar pengundi. Tuntutan-tuntutan lain ialah mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

"Sebab itulah kita mohon Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu campur tangan antaranya tidak memperkenankan permintaan Perdana Menteri untuk membubarkan parlimen selagi tuntutan Bersih tidak dipenuhi.

"Kini semakin terbukti, keengganan SPR membersihkan daftar pengundi sudah sampai ke peringkat mengancam kedaulatan dan keselamatan negara dengan kebanjiran warga asing dalam daftar tersebut.

"Jangan sampai nanti orang melihat SPR bukan sahaja tidak mahu membersihkan daftar pemilih malah menjadi dalang utama yang mengotorkan daftar itu dengan kebanjiran warga asing tersebut," kata Mahfuz.

Kebanjiran warga asing dalam daftar pemilih itu didedahkan oleh blog Perisik Rakyat (http://www.perisik-rakyat.com).

Blog itu mendedahkan sehingga 169 nombor Kad Pengenalan Pemastautin tetap Bukan Warganegara Malaysia yang dikesan telah didaftarkan sebagai pengundi di Malaysia.

Namun begitu, menurut siasatan Harakahdaily, tidak semestinya nombor kad pengenalan yang mempunyai angka -71- di tengah adalah warga asing. Ini kerana, angka -71- di tengah menunjukkan lahir di luar negara.

Menurut pendedahan Perisik Rakyat, antara warga asing yang didaftarkan sebagai pengundi bernama Mismah.

Menurut laporan Malaysiakini pula, Mismah diterima sebagai pengundi baru di Ijok, di mana Ahli Dewan Undangan Negerinya ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ahli Parlimennya ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dzulkelfy Ahmad.

Menurut Malaysiakini, Mismah didaftarkan dalam daftar pemilih tambahan sekarang dan sedang dipamer kepada awam untuk diteliti.

Semakan dalam melalui sistem pengesahan dalam talian JPN dan SPR mengesahkan dakwaan itu.

Sistem JPN yang membenarkan pengguna menyemak status individu dengan memasukkan nombor kad PR, menunjukkan Mismah (640704715238) seorang penduduk tetap.

Suruhanjaya perlu siasat Pagi MyPR petang MyKad?
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Pelbagai pihak melahirkan rasa terkejut mereka dengan pendedahan bahawa seorang penduduk tetap bernama Mismah adalah berstatus penduduk tetap paginya sudah berubah kepada warga negara pada petangnya.

Ekoran itu, Suhaizan Bin Kaiat, Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia menuntut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberikan penjelasan.

Dewan Pemuda PAS, katanya, mendesak agar suatu siasatan dibuat berhubung dengan kejadian ini.

"Suatu Suruhanjaya Di Raja perlu dibentuk dengan segera bagi menyiasat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) berhubung dengan isu yang cukup memalukan negara ini," kata beliau dalam kenyataannya.

(Kad MyPR Mismah pada sebelah pagi)

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) wajib dipersoalkan bagaimana mudahnya menjadi warganegara Malaysia pada waktu ini, katanya kepada Harakahdaily.

Malaysiakini mengeluarkan berita “PR Didaftar Sebagai Pengundi” pada jam 1.06 petang, 2hb Ogos 2011.

Pada masa tersebut individu bernama Mismah no kad pengenalan 640704715238 adalah berstatus Permastautin Tetap(PR).

Menariknya menjelang jam 2.30 petang hari yang sama selepas berita Malaysiakini dikeluarkan maka status Mismah sudah bertukar menjadi warganegara Malaysia.

Kad Pengenalan di bawah di salin pada jam 1.06 petang 2hb Ogos 2011 :

Kad Pengenalan sudah bertukar menjadi biru pada jam 2.30 petang hari yang sama 2hb Ogos 2011 setelah Malaysiakini mengeluarkan berita pada jam 1.06 petang. Ini memberi maksud bahawa Mismah menjadi warganegara dalam beberapa jam sahaja.


(Kad MyKad Mismah pada sebelah petang selepas dibuat laporan pada sebelah paginya)

Nama Mismah terdapat dalam WEB SPR sebagai “Sedang Dalam Pameran Rang” seperti di bawah :

Mismah adalah individu yang telah daftarkan sebagai pengundi di Dun Ijok, Selangor walaupun beliau adalah seorang PR. Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) sedang mempamerkan maklumat bakal-bakal pemilih di seluruh negara sekarang ini.

Dewan Pemua PAS, kata Suhaizan, sebenarnya telah mengesan lebih awal bagaimana PR khususnya daripada Indonesia telah didaftarkan sebagai pengundi. Mereka di daftarkan hampir di setiap negeri.

(Keratan semakan dengan SPR status Mismah sebagai pengundi)

"Kita telah memuat turun data-data kad pengenalan PR dengan banyak sekali. Dewan Pemuda PAS sudah menjangkakan sama ada “server” JPN akan di tutup atau PR ini akan bertukar menjadi warganegara dalam sekelip mata.

"Ternyata jangkaan Pemuda PAS benar apabila Malaysiakini mengeluarkan berita pada jam 1.06 maka status PR dengan mudah bertukar kepada warganegara. Ini lah bukti yang jelas bahawa negara Malaysia dalam keadaan yang cukup merbahaya apabila status warganegara dipermainkan oleh pihak berkepentingan dalam negara ini," katanya.

Najib tidak ada keyakinan diri
Panah Hitam

Kegagalan Perdana Menteri Najib Tun Razak untuk mengadakan Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) yang beliau sendiri sibuk menguar-uarkan itu pada 6 bulan yang pertama tahun ini telah memberi satu gambaran yang jelas kepada orangramai bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang kurang keberkeyakinan.

Jika beliau adakan PRU-13 sebelum bulan Julai tahun ini terutamanya pada bulan Mac, pasti beliau akan menang besar sebab pada masa itu Pakatan Rakyat (PR) masih kucar-kacir dan belum dapat berdiri di atas tapak yang kukuh lagi. Masa itu Bersih 2.0 belum pun memaparkan tuntutannya kepada kerajaan.

Namun demikian, Najib menlengah-lengahkan sampai sekarang. Itu bukan satu langkah yang bijak sebab selepas pemilihan parti yang diadakan oleh PAS, PAS telah bertambah kuat sementara PKR dan DAP masing-masing telah pun mengorak langkah untuk memperbaiki kedudukan mereka. Kini ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat sekarang telah berada diatas 'terra firma' atau permukaan bumi yang kukuh, dalam Bahasa Inggeris dikatakan berada 'on solid ground'.

Ini semua disebabkan oleh PM Najib sendiri yang tidak berani menebang pokok, mengikut kata peribahasa Cina. Apabila seseorang hendak menebang pokok, kapak yang dihayunkannya mesti sampai tepat untuk memukul sasaran tetapi Najib hanya berani menghayun kapak 'halfway' dan selepas itu menarik balik pergerakannya semula. Ini bererti beliau tidak berani 'go for it', seperti setengah orang yang suka cakap-cakap dan bermegah-megah tetapi pada masa yang ditetapkan untuk beraksi, orang itu pergi berkelah di tepi pantai ataupun duduk dalam rumah sahaja.

Najib sekarang cuba membuat sesuatu untuk mengawal kenaikan harga barang yang masalahnya semakin bertambah teruk. Tetapi kenyataan dari kerajaan menunjukkan bahawa tiada satu orang pun mempunyai rangka pelan yang jelas. Semuanya samar-samar, kabur dan tidak mempunyai halatuju. Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan langsung tiada idea bagaimana hendak mengatasi masalah ini, seperti sebuah bahtera tanpa pengemudi.

Oleh kerana masalah harga barang naik, Najib tidak berani mengadakan PRU-13. Ini memang akan memberikannya imej sebagai seorang pemimpin yang kurang keberkeyakinan. Berbanding dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi, walaupun dengan caranya yang tersendiri dan tunggang-langgang, Badawi bagaimanapun telah berjaya menetapkan tarikh pilihanraya umum.

Dengan pendirian sebegini, ramai rakyat Malaysia terutamanya dari golongan yang miskin dan berpendapatan rendah hanya boleh tunggu, lihat, harap dan berdoa. Ramai daripada mereka pun telah menggelengkan kepala tanda rasa kecewa dengan Kerajaan BN.

PANAH HITAM, 2hb Ogos 2011

Isnin, 1 Ogos 2011

PAS lancar kempen "Protes BN"
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 1 Ogos: Ekoran bebanan kos hidup yang tinggi yang terpaksa ditanggung rakyat, PAS mengajak seluruh warga negara ini bersama mereka dalam kempen membantah kenaikan harga barang.

Kempen tersebut yang dikendalikan Lajnah Pengguna PAS, akan dilancarkan 20 Ogos ini dengan pelancaran Kelab Protes Barang Naik atau singkatannya Protes BN sebagai permulaan.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, Protes BN adalah sebagai usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat berhubung peningkatan kos hidup khususnya kenaikan harga barangan keperluan.

"Kita mahu rakyat sedar punca berlakunya kenaikan harga barangan ini disebabkan kelemahan pengurusan ekonomi oleh kerajaan BN.

"Perkara ini boleh dielak jika tiada keborosan, tiada ketirisan dan tiada amalan rasuah dalam pentadbiran negara," katanya kepada Harakahdaily.

Selain itu, kempen tersebut juga akan diperluaskan ke seluruh negeri termasuk dengan mengadakan ekspo, road show dan penyebaran risalah.

Untuk tujuan itu juga, satu laman web khas akan diwujudkan.

"Kita akan memberitahu rakyat, kenapa mereka dibebankan dalam masa yang sama pemimpin negara boleh terus bermewah-mewah," tegasnya lagi.

Mengulas pengumuman Datuk Seri Najib Razak yang memasukan aspek Perangi Kos Kehidupan Yang Kian Meningkat dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Mahfuz secara sinis menyifatkan ianya sebagai janji "mulut manis" perdana menteri itu.

"Mereka sendiri sebenarnya yang menaikkan harga barang dengan menarik subsidi rakyat," katanya.

Sehubungan itu rakyat ujarnya diseru untuk bersama dalam usaha menyatakan rasa tidak puas hati mereka kepada kerajaan melalui kempen ini.
Najib ’akui’ BN boleh manipulasi pilihan raya
Aslani

KOTA BHARU, 1 Ogos: Pengakuan Perdana Menteri, Barisan Nasional (BN) boleh memanipulasi undi sekiranya ingin menang pada pilihan raya umum 2004 di Kelantan menjelaskan pekung sebenar.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri, Wan Nik Wan Yusoff melahirkan rasa bimbang di atas kenyataan tesebut yang dibuat seorang pemimpin tertinggi negara.

Menurutnya pengakuan yang dibuat secara terbuka tersebut membayangkan pemerintah terdedah kepada manipulasi pilihan raya memandangkan mereka mempunyai kuasa eksekutif.

Perdana Menteri dalam laporan sebuah akhbar hari ini mendakwa BN boleh menawan Kelantan pada pilihan raya umum 2004 sekiranya diadakan dengan tidak adil.

“Mudah untuk BN memanipulasikan undi, namun tidak mahu berbuat demikian kerana berpegang kepada prinsip pilihan raya bersih dan adil,” katanya.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pengakuan itu sangat mengejutkan kerana dilafazkan Datuk Seri Najib Razak.

“Ia merupakan satu kenyataan yang merbahaya dan membayangkan hakikat sebenar yang sedang berlaku dalam negara ini.

“Jika benar BN boleh memanipulasi undi, kami ingin bertanya setakat manakah mereka mampu melakukannya? Adakah siri kemenangan pemerintah dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil turut berpunca daripada manipulasi,” katanya di sini.

Fadhli berkata, kenyataan Perdana Menteri tersebut membayangkan beliau mengakui BN mampu memanipulasi undi sekali pun tidak mengaku mereka telah melakukannya.

“Adakah kemenangan Najib di kerusi Parlimen Pekan dengan majoriti 22,922 undi pada pilihanraya umum 2004 berlaku manipulasi kerana beliau hanya menang kelebihan 241 undi pada 1999.

“Ini secara tidak langsung mengesahkan dakwaan Bersih 2.0 sistem pilihanraya di negara ini telah dicemari pelbagai isu,” ujarnya.

Pada 9 Julai lalu Bersih 2.0 berjaya menghimpunkan ratusan ribu penyokong di Kuala Lumpur bagi mendesak SPR dan kerajaan melakukan reformasi dalam pengendalian pilihan raya.

“Dengan ini kami mendesak kerajaan dan SPR lebih serius berusaha memastikan pilihanraya lebih bersih dan adil dapat terlaksana termasuk menggunakan dakwat kekal,” katanya.


Golongan muda tetap bersama PAS
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 1 Ogos: PAS Kelantan yakin golongan muda di negeri itu tetap bersama mereka meskipun Umno BN dilihat sedang giat mendekati golongan ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, PAS sentiasa berwaspada dengan tindak tanduk Umno BN yang ingin menawan kira-kira 400,000 pengundi muda pada pilihan raya umum ke-13.

"Setakat ini PAS Kelantan masih dapat menguasai golongan muda samaada yang tinggal di Kelantan atau di luar Kelantan dan kita sentiasa memberi penjelasan mengenai isu-isu yang sering dibangkitkan Umno seperti isu tanah, ladang rakyat dan sebagainya," kata beliau ketika ditemui di Himpunan Anak Kelantan D'Perantauan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kelmarin.

Mengulas mengenai kempen Gelombang Merah yang dilancarkan Umno Kelantan, Ahmad mendakwa Umno cuba mengambil kesempatan menyamakan gelombang itu dengan kemaraan pasukan bola sepak Kelantan Red Warrior.

"Gelombang Merah ini sebenarnya peringkat awal sahaja nampak Umno bersemangat kerana dia mengambil kesempatan dengan kebangkitan pasukan bola Kelantan.

"Maka dia cuba nak menggunakan semangat bola sepak kelantan itu dengan kebangkitan Gelombang Merah," katanya.

Namun kata Ahmad, PAS Kelantan menjelaskan kepada rakyat khususnya golongan muda bahawa Gelombang Merah itu tiada kaitan dengan pasukan bola sepak negeri itu.

"Selepas itu rakyat faham dan PAS juga berusaha untuk menjelaskan kepada rakyat bahawa gelombang merah tidak ada kait mengait dengan bola dan PAS pun buat gerakan juga iaitu Tegakkan Islam Hancurkan Jahiliyah," katanya.

Tambahnya juga, kempen itu dilihat gah kerana mendapat bantuan media arus perdana yang menghebahkan kempen tersebut.

"Gelombang Merah pada peringkat awal dilihat berjaya kerana dibantu media arus perdana tapi kita dapat jelaskan kepada golongan muda dengan cara turun padang menemui mereka," katanya.

Februari lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Gelombang Merah bertemakan “Transformasi 1Kelantan Gelombang Rakyat” akan dilaksanakan Pergerakan Pemuda Umno negeri Kelantan melalui penganjuran ceramah, kursus, seminar dan gerak kerja.

Kempen itu bagi mengalihkan sokongan golongan muda daripada PAS kepada Umno BN.


Ku Li ganti Anwar hanya lawak jenaka
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Ogos: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan khabar angin yang disebar oleh cyber troopers Umno yang mengaitkan beliau dengan perbincangan melantik Tengku Razaleigh Hamzah sebagai ketua Pakatan Rakyat menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai lawak jenaka.

Sambil menafikan perkara itu, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menasihatkan mereka yang menyebarkan fitnah itu agar segera menghentikannya sesuai dengan bulan Ramadhan yang mulia.

"Lawak jenaka!, Itulah saja yang boleh saya sifatkan kepada khabar angin yang mengaitkan saya dengan perbincangan rahsia untuk melantik YBM Tengku Razaleigh sebagai Ketua Pakatan Rakyat menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya nasihatkan, sempena bulan Ramadhan ini, tulislah perkara-perkara yang betul dan benar. Ingatlah, apa yang ditulis dan diucap akan menjadi bahan untuk dihisab oleh Allah SWT di akhirat kelak," katanya melalui Facebook.

Penjelasan itu sekaligus menolak khabar angin yang tersebar itu.

Sebelum ini Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendakwa telah mendapat maklumat bahawa Pakatan Rakyat mempelawa Tengku Razaleigh Hamzah untuk dilantik sebagai ketua pembangkang bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang merupakan bekas ahli PKR itu mendakwa pelawaan terhadap Tengku Razaleigh itu ekoran Anwar yang berhadapan masalah berhubung kontroversi video seks dan dipercayai akan dipenjarakan berikutan kes liwat.

Menurutnya ianya juga sebagai persiapan Pakatan Rakyat bagi menghadapi Plihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Ekoran dakwaan itu, beberapa blogger Umno kemudiannya menuduh Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah dalang utama yang merancang untuk membawa Tengku Razaleigh ke dalam Pakatan Rakyat.

Mereka mendakwa terdapat satu pertemuan telah berlaku antara Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan anak-anak pejuang Umno termasuk anak kepada bekas Menteri Besar Selangor Harun Idris, Mazlan Harun bersama anak Tun Ghafar Baba, Tamrin Ghafar serta seorang pegawai berkerja di rumah Tengku Razaleigh.

Pertemuan itu didakwa berlaku di kediaman Menteri Besar Kelantan.

Mengulas lanjut tuduhan tidak berasas itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata beliau hairan kenapa dakwaan tersebut timbul, atau keputusan untuk memenjarakan Anwar sememangnya benar.

"Apa yang peliknya, ada akhbar yang boleh membuat cerita bahawa cadangan ini timbul kerana dijangka Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ke penjara ekoran kes liwatnya yang sedang dibicarakan.

"Adakah benar keputusan mahkamah di negara ini sudah boleh dijangka atau sememangnya keputusan tersebut sudah bocor?" soalnya.

Isnin, 25 Julai 2011

Nazrin: Raja perlu penasihat berani nyata kebenaran
Jul 25, 11 8:22pm
Kongsi 10
Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah bertitah adalah amat penting Raja-Raja disembah maklumkan secara berterus terang mengenai cerita sebenar dan sama sekali tidak dipagari oleh mereka yang berkepentingan diri sehingga Raja tergamak diperalatkan.

"Raja wajib memiliki kumpulan penasihat yang jujur lagi ikhlas, kumpulan penasihat yang peka kepada denyut jantung dan denyut nadi warga, kumpulan penasihat yang tegas lagi berani menyatakan yang benar," titah baginda dalam Wacana Ilmu Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang bertema "Peranan Institusi Raja Melayu Dalam Memupuk Perpaduan Warga" di Shah Alam hari ini.

Menurut baginda, Raja sendiri hendaklah bersedia menerima hakikat dan kenyataan, betapa pahit dan berat sekalipun, kerana keadilan tidak mungkin dapat ditegakkan tanpa kebenaran.

Raja Nazrin Shah bertitah bahawa Raja tidak dapat berperanan secara bermakna sekiranya Raja sentiasa dilukiskan dengan sebaik-baik gambaran.

"Ia bukan sahaja melukiskan gambaran palsu tetapi telah tidak bersifat adil kepada Raja, menidakkan hak Raja menyempurnakan tanggungjawab secara saksama untuk membolehkan peranan Raja diterima baik oleh warga," titah baginda.

Baginda bertitah adalah benar persaingan politik semakin sengit dan juga benar isu agama dan isu kaum amat sensitif tetapi persaingan politik hanyalah mengambil kesempatan memperjudikan isu agama dan isu kaum serta mengeksploitasi sentimen ketidakpuasan hati rakyat yang lebih rencam.

"Dalam setiap perselisihan dan dalam segala perbalahan tidak mungkin satu pihak betul semua dan tidak mungkin satu pihak salah semua tetapi kaedah mencarikemenangan mutlak dan kaedah mahu menjatuhkan lawan telah mengetepikan elemen adab, elemen adat, elemen moral dan elemen agama," titah Raja Nazrin.

Baginda bimbang jika suhu politik semakin panas, impian untuk membina perpaduan akan menemui mimpi ngeri yang sangat menakutkan.

Oleh itu baginda bertitah perlu ada institusi yang berwibawa untuk menurunkan suhu politik yang semakin panas, institusi yang kekal berkecuali dan institusi yang dapat diterima untuk membantu menenangkan suasana.

Raja Nazrin bertitah untuk itu amatlah penting dipastikan Raja kekal dalam disiplin yang berada di atas polemik politik tetapi Raja juga ada amanah, ada tanggungjawab untuk memastikan negara aman dan warga hidup secara rukun secara damai.

"Tetapi Raja tidak memiliki lampu ajaib yang boleh memupuk perpaduan dalam sekelip mata apatah lagi jika suasana sudah terlalu berkecamuk," titah baginda.

Menurut Raja Nazrin, sebaik peranan kepada Raja adalah untuk memberi nasihat secara tertutup kepada pelbagai instrumen negara mengenai tanggungjawab masing-masing supaya Raja tidak disalahtafsir mencampuri secara langsung urus tadbir negara.

Baginda bertitah bahawa perpaduan tidak akan berjaya dipupuk dalam situasi politik yang tidak stabil dan tidak matang selepas pilihan raya umum ke-12 di mana perlu ada penerimaan kepada realiti dan pemahaman bahawa tuntutan melakukan perubahan kepada yang lebih baik adalah lumrah alam.

"Perpaduan memerlukan kesediaan melakukan pengorbanan, menerima kekalahan dengan reda dan merayakan kemenangan dengan keinsafan," titah baginda.

Raja Nazrin Shah juga bertitah bahawa dalam dinamik politik yang sedang berlaku, adalah bertambah penting Raja selaku tonggak kestabilan dan payung penyatuan rakyat, bersifat berkecuali supaya semasa berlakunya krisis, Raja berupaya memberikan nasihat, teguran dan pandangan yang mencerminkan keadilan tanpa memihak.

"Payung kedaulatan negara ini (Raja) jangan sama sekali dirosakkan, jangan sama sekali ditiriskan, jangan hanya dicari bila panas terlalu terik atau hujan sudah turun.

"Payung negara ini adalah lambang kedaulatan warga, lambang kedaulatan negara, memberi teduh di hari panas, menangkis air di hari hujan," titah baginda.