PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Ahad, 1 April 2012

Gambar ceramah Umno terhangat minggu ke-13

Harakahdaily, 01 Apr 2012

KUALA LUMPUR, 1 April: Sekeping gambar daripada ceramah Umno yang dipaparkan oleh blog addin77.blogspot.com sebagai contoh wasatiyyah yang dianjurkan oleh Perdana Menteri, Najib Razak adalah artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke 13.

Pada tangga kedua ialah misteri laporan blog tulisan blogger popular Mohd Sayuti Omar (MSO) yang bertajuk “Awang Adek Hussein akan menangis tidak berlagu?” di mana mengulas maklumat yang diterima beliau bahawa sesuatu akan berlaku kepada timbalan menteri kewangan itu dalam masa terdekat, yang disifatkannya 90 peratus benar, sedih dan terkejut.

Kontroversi sms yang dihantar keluar Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Teng Chang Khim yang jatuh ke tangan Adun-adun BN disyaki angkara Presiden JATI, Datuk Dr Hasan Ali menduduki tempat ketiga.

Teng telah menghantar sms menggunakan senarai 'broadcast' telefon Blackberrynya kepada seluruh Exco Kerajaan Negeri yang mana dalam senarai tersebut masih terdapat nama bekas exco itu.

Sms yang dihantar oleh Teng kepada semua exco yang berbunyi "This is possibly the last winding up sessions for exco, opportunity should be fully used to talk about our success in the past 4 years like whay Yaacon is doing now."



Tetapi sms tersebut telah disebarkan kepada adun Barisan Nasional dengan memberitahu Speaker bersikap berat sebelah dan mahu ia dijadikan isu untuk mereka keluar meninggalkan dewan negeri.

Di tangga keempat ialah ulasan MSO mengenai temberang Hasan dalam kontroversi peruntukan membaiki pejabat Exco Selangor, di mana Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengesahkan bahawa bekas pesuruhjaya PAS Selangor itu telah membelanjakan sebanyak RM329,000 untuk memperbaiki pejabatnya di mana angka itu mendahului perbelanjaan oleh Exco lain untuk membaiki pejabat masing-masing.

Di tangga kelima ialah artikel mengenai misteri pemilik sebuah kereta mewah, Bugatti Veyron yang dikatakan perlu membayar RM24,598.50 cukai jalan setahun oleh blogger tukanglawan.

“Jadi, milik siapakah kereta berkuasa tinggi ini, dikhabarkan ianya milik anak bekas perdana menteri, milik orang kuat umno, parti yang kononya memperjuangkan bangsa melayu,” soal beliau.

Berikut ialah 10 artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu, 25 hingga 31 Mac, 2012.

Sasterawan Negara ajak rakyat Johor tolak BN

Mohd Rashidi Hassan, 31 Mac 2012

JOHOR BAHARU, 31 Mac: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menyeru rakyat Johor mengundi Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum akan datang.

"Saya mengajak semua orang kampung, dan golongan yang teraniaya supaya bangkit mengundi pembangkang (Pakatan Rakyat)," ujarnya.

A Samad berkata demikian dalam ucapannya di Dialog Masalah Tanah Rakyat Johor dekat sini.

Program yang dianjurkan PAS Johor berjaya menghimpunkan ramai rakyat Johor, khususnya orang-orang Melayu, mengadu nasib bahawa mereka dianiaya oleh kerajaan Umno BN Johor.

Tegas A Samad, selaku golongan Sasterawan, beliau berkarya dengan puisi dan sajak, untuk mengajak rakyat Johor, supaya bangkit menolak kedangkalan Umno-BN.

Antara pengadu yang hadir adalah golongan nelayan di Penggerang, Kota Tinggi yang mengadu tanah rakyat akan diambil untuk projek Petronas Rapid.

Rakyat bangkit membantah kerana perkampungan nelayan merupakan perkampungan tradisi yang hendak diambil atas alasan pembangunan.

"Tanah kami hendak dirampas, semua hendak dipindahkan, masjid hendak dipindah, rumah, tanah, malah kubur pun hendak dipindahkan.

"Yang hidup teraniaya, yang sudah mati pun menjadi mangsa," ujar wakil nelayan Penggerang.

Hadir sama di majlis dialog tersebut ialah AJK. PAS Pusat, Mazlan Aliman, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkefly Ahmad, Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat dan panel peguam.

Najib jangan ingat rakyat Perak 'mudah lupa'

V Sivakumar, 01 Apr 2012

Najib telah melakukan satu kesilapan besar dengan merampas kerajaan Perak daripada Pakatan Rakyat. Dalam PRU12, rakyat Perak telah memberi mandat kepada PAS, DAP dan PKR untuk memerintah negeri ini.

Sejak 9 Mac 2008, Barisan Nasional telah cuba sedaya upaya untuk tumbangkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Pelbagai taktik kotor telah direncanakan oleh Najib untuk mendapatkan semula negeri Perak daripada Pakatan Rakyat. Semua agensi-agensi kerajaan telah disalahgunakan untuk mencapai matlamat Barisan Nasional itu. Akhirnya kerajaan pilihan rakyat telah ditumbangkan apabila 3 orang wakil rakyat berjaya ‘dibeli’ oleh Najib.

Perbuatan yang sungguh jijik itu merupakan kesilapan maha besar yang telah dilakukan oleh Najib. Beliau tidak sedar bahawa tindakan kejam itu boleh menghantui Barisan Nasional sehingga hari ini.

Rakyat Malaysia, khususnya rakyat Perak sangat marah terhadap Najib, Zambry dan Adun-Adun ‘katak’ yang tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat Perak melalui pilihanraya. Mereka ini telah menderhaka kepada rakyat untuk kepentingan politik mereka. Golongan ini tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak. Perbuatan mereka ini juga telah meruntuhkan kemurniaan sistem demokrasi di negara kita.

Najib menyangka ‘rakyat Perak mudah lupa’. Oleh yang demikian beliau berani merampas kerajaan Perak dengan menggunakan kekerasan polis dan memanupulasikan mahkamah. Tetapi, rakyat Perak tidak melupakan perisiwa hitam yang berlaku pada awal tahun 2009. Segala apa yang berlaku masih jernih dalam ingatan seluruh warga Perak.

Pakatan Rakyat yang memerintah negeri Perak selama 11 bulan dengan cekap dan berkesan ditumbangkan kerana ketamakan kuasa pemimpin-pemimpin Barisan Nasional. Rakyat Perak kecewa kerana Pakatan Rakyat tidak diberi masa yang secukupnya untuk memerintah negeri dan membuktikan kewibawaannya.

Sebelum Pakatan Rakyat melaksanakan polisi-polisi yang dirancang untuk rakyat Perak, Barisan Nasional telah menggulingkan kerajaan itu dengan cara yang terkutuk.

Rakyat Perak mahu melihat satu perubahan dalam pentadbiran negeri ini. Mereka telah menolak kerajaan Barisan Nasional dalam PRU12, tetapi mereka kembali berkuasa melalui ‘pintu belakang’. Rakyat Perak bersedia untuk ‘ajar’ Barisan Nasional dalam PRU13. Mereka sedang menunggu hari mengundi untuk mengembalikan kuasa rakyat.

Najib dan kuncu-kuncunya sedar bahawa mereka telah hilang kepercayaan rakyat Perak. Najib tahu Barisan Nasional akan tumbang semula di negeri Perak. Kali ini Barisan Nasional akan hilang lebih banyak kerusi kerana tindakan zalimnya merampas satu kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi.

Oleh kerana Najib takut akan kalah besar, beliau terpaksa ‘turun padang’ banyak kali di negeri Perak. Beliau melancarkan pelbagai program, mengadakan banyak jamuan makan dan memberi wang ringgit untuk mengambil hati rakyat Perak.

Najib terdesak dan terpaksa memberi tumpuan melampau di negeri Perak kerana beliau sedar tentang kesilapan yang telah dilakukan olehnya. Dalam ‘road show’ Najib, Perak merupakan negeri yang paling kerap beliau turun padang untuk bertemu dengan rakyat. Ini membuktikan bahawa Najib kini takut kepada rakyat Perak yang sedang menanti untuk menghukumnya dalam PRU13.

Kerajaan telah membuat pembayaran RM608.68 juta sepanjang tempoh 11 minggu kepada rakyat melalui lawatan rasmi Najib dan timbalannya, Muhyiddin Yassin ke seluruh negara baru-baru ini.

Jumlah ini merupakan "peruntukan segera" yang diluluskan dari Januari hingga 15 Mac yang telah diserahkan semasa lawatan mereka berdua ke semua negeri, dengan Perak merekodkan kelulusan tertinggi sebanyak RM220.38 juta untuk 34 projek. Lebih daripada 1/3 jumlah peruntukan segera itu telah ditaburkan di negeri Perak.

Jelas bahwa Najib takut akan kalah teruk di negeri Perak dalam PRU13. Beliau tidak perlu berbelanja besar di Perak jika Barisan Nasional benar-benar mempunyai keyakinan dan mempunyai peluang yang cerah untuk menang. Dulu Najib beli ‘katak’ di Perak, sekarang dengan konsep unggulnya ‘I help you, You help me’ beliau sedang bermati-matian untuk membeli rakyat Perak itu sendiri.