KUALA LUMPUR, 29 April: PAS memberi masa 30 hari untuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk meletakkan jawatan.
Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi
(gambar), berkata masa tersebut sudah mencukupi bagi kedua-duanya meletakkan jawatan ekoran terdedahnya keahlian parti politik mereka.
"Kita
beri notis 30 hari untuk kedua-duanya meletakkan jawatan. Sewajarnya
mereka tidak non-partisan, kerana mereka merupakan 'pengadil' dalam
sesebuah pilihan raya," tegas Syed Azman, pada sidang media yang
diadakan di Pejabat Agung PAS, hari ini.
Beliau berkata demikian
sebagai mengulas terbongkarnya identiti Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul
Aziz Mohd Yusof, dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad bin Wan Omar yang
merupakan ahli Umno.
Perkara tersebut disokong Timbalan Presiden
PAS, Mohamad Sabu yang juga Pengerusi Lajnah Penggerak Demokrasi dan
Mobilasi PAS Pusat.
Katanya, sebagai seorang 'pengadil', adalah tidak adil baginya memihak kepada mana-mana 'pemain'.
"Sama
macam bola sepak. Kalau Manchester United lawan Manchester City, mana
boleh pengadil dari Manchester United. Mana boleh Selangor lawan
Kelantan, pengadilnya Selangor. Teruklah Kelantan," kata beliau.
Sehubungan
itu, Mohamad berkata pihaknya akan menyerahkan memorandum mendesak
Abdul Aziz dan Wan Ahmad meletakkan jawatan sebagai pengerusi dan
timbalan pengerusi SPR, esok, di Putrajaya.