PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Jumaat, 9 Disember 2011

'Baru kini Umno teringat PAS parti orang Melayu'.
Ahli jawatankuasa PAS Idris Ahmad menyindir Umno yang cuba mengajak PAS bersatu atas nama perpaduan Melayu, sedangkan selama ini mereka memandang PAS sebelah mata seolah-olah parti Islam itu bukan parti Melayu.

Idris mendakwa tindakan Umno berbuat demikian selepas merasa parti itu terancam dan menyedari orang Melayu mula menolak Umno.

"Sewaktu mereka kuat seolah-olah PAS ini, parti haram. Apa yang mereka tidak buat kepada PAS selama ini.

"Sekarang mereka cuba mengajak PAS bersatu atas nama perpaduan Melayu, kononnya Melayu terancam pada hal yang terancam ialah Umno.

"Terbaru, seruan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) di dalam Perhimpunan Agung Umno supaya PAS meninggalkan DAP demi agama dan Melayu, dan menuduh PAS kuda tunggangan DAP," katanya.

Dalam kenyataannya, Idris mendakwa ramai pemimpin PAS ditahan ISA ditukar tempat kerja, diturun pangkat, diskriminasi bantuan, menganaktirikan negeri Kelantan dan menghalang ustaz PAS memberi ceramah agama.

Idris yang juga bekas ketua penerangan PAS mempersoalkan mengapa Umno tidak menegur Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek yang didakwa "celupar" terhadap Islam.

"Ketika mereka menuduh DAP mengancam Melayu, rakan sejawat mereka “MCA” begitu biadab dengan Islam dan Melayu... Cuba bayangkan jika ucapan itu keluar daripada pemimpin DAP?," katanya.

Idris juga mempersoalkan sebuah NGO pro-Umno di Pulau Pinang semalam menghadiahkan replika kek najis kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sempena ulangtahun ke 51.

"Ajaran mana yang mengajar sikap begini? Adakah ini yang dikatakan Islam wasatiah?

"Semua tindakan ini memalukan Islam dan menjauhkan orang bukan Islam dengan Islam yang harmoni dan mulia," katanya.

Sehubungan itu, Idris menggesa pemimpin Umno menghentikan pelawaan untuk bersatu dengan PAS dan menegas bahawa PAS mempunyai jati diri dan tahu meletakkan kompas perjuangan.

"PAS mendahului Islam daripada segalanya, walaupun apa cercaan yang diterima kerana ini adalah lumrah perjuangan.

"Perjuangan PAS semakin diterima, sentiasa segar di hati rakyat, ketika Umno sedang mengalami mimpi ngeri untuk mara ke hadapan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan