PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Ahad, 27 Januari 2013

Nyaris ditembak lelaki khalwat
Wartawan Sinar Harian
25 Januari 2013
Jamaluddin (dua, kanan)
Jamaluddin (dua, kanan) bersama isteri dan rakan seperjuangan melihat anugerah yang diterima.
SUNGKAI - Pengalaman hampir ditembak oleh seorang lelaki yang disyaki melakukan kesalahan berkhalwat pada 2009 di Taiping tidak mungkin dilupakan bagi Tokoh Pegawai Penguatkuasa Agama, Jamaluddin Othman.

Jamaluddin, 56, pesara Telekom Malaysia (TM), antara penerima anugerah yang disampaikan sendiri oleh Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di Dewan Besar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Jaya Utara Trolak, di sini, semalam.

Katanya, ketika itu dia sedang menjalankan tugas penguatkuasaan bersama lima rakan setelah menerima maklumat berkenaan khalwat di sebuah rumah tumpangan di Taiping.

"Kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 pagi menyebabkan saya hampir kehilangan nyawa apabila lelaki itu yang berdua-duaan dengan wanita bukan muhrimnya mengacukan pistol ke arah saya," katanya.

Tambahnya, jarak antara lelaki itu tidak sampai tiga meter menyebabkan dia dan rakan setugasnya berundur kerana bimbang berlaku perkara yang tidak diingini.

“Lelaki itu mengacukan pistol ke arah kami dan jika dia menarik picunya, saya tidak tahu apa akan  terjadi.

“Kami kemudiannya meminta pertolongan polis untuk membawa lelaki itu ke balai polis bersama pasangannya di atas kesalahan berkhalwat,” katanya.

Jamaluddin berkata, walaupun berdepan dengan situasi mencemaskan dan menerima ancaman menerusi telefon, tugas sebagai penguatkuasa  tetap diteruskan.

Sementara itu, Tokoh  Keluarga Mithali, Danyal Ghazali, 70, berkata, ibu bapa perlu menjadi rakan baik kepada anak-anak di samping menerapkan disiplin terhadap mereka.

Katanya, ibu bapa sekarang lebih gemar mengambil orang gaji sehinggakan lupa tanggungjawab mereka dalam mendidik anak-anak.

"Keadaan itu menjadi punca mengapa anak-anak masa kini berjauhan dengan ibu bapa sehinggakan timbul pelbagai masalah di dalam keluarga," katanya.

Tambahnya, dia mendidik sebelas anaknya secara sendiri dan tidak pernah menghantar mereka mengikuti mana-mana kelas tuisyen.

“Hasilnya, dua daripada mereka menerima Diploma manakala sembilan lagi menerima Ijazah serta Master di dalam Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)  dalam pelbagai bidang,” katanya.
Artikel Berkaitan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan