13 Jamadil Akhir 1433 H | 5 Mei 2012
|
Abdul Aziz Mustafa,
|
05 Mei 2012
|
KUALA LUMPUR, 5 Mei:
Mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak begitu takutkan
pilihan raya yang adil dan bersih sehingga sanggup menjadikan dirinya
dilihat begitu bodoh, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu
(gambar).
"Asalkan dapat mengelakkan pilihan raya yang bersih dan adil, Najib
sanggup hina dirinya sehingga beliau nampak bodoh sungguh," katanya.
Beliau juga tidak sangka Najib sanggup bercakap merapu dan menuduh
rakyat yang menuntut pilihan raya yang adil dan bersih mahu
menggulingkan kerajaan.
Mohamad juga mempersoalkan, Najib terancam dengan siapa sebenarnya?
Siapa mahu guling kerajaan, Bersih atau pesaing-pesaingnya di dalam Umno, tanya beliau lagi.
"Dakwaan Najib mengenai percubaan hendak guling kerajaannya itu ditujukan kepada siapa?
"Ditujukan kepada desakan-desakan dalam Umno sendiri termasuk dari godfather mereka atau kepada Bersih?
"Kalau ditujukan kepada Bersih, dia salah alamat," katanya.
Menurut Mohamad, hanya orang gila sahaja yang sanggup mendakwa
perhimpunan Bersih 3.0 minggu lepas bertujuan mahu menggulingkan
kerajaan di luar cara pilihan raya.
"Perhimpunan itu menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.
Perhimpunan itu menuntut dibersihkan daftar pengundi. Perhimpunan itu
menuntut ahli Umno berhenti sebagai Pengerusi SPR (Suruhanjaya Pilihan
Raya).
"Kalau mahu guling kerajaan Najib di luar cara pilihan raya, hendak buat apa tuntut semua itu?" tegas beliau.
Mohamad berkata, walaupun kejayaan perhimpunan Bersih 3.0 menjadikan
Najib berasa sangat terancam, tetapi yang lebih mengancam kedudukannya
ialah arus deras dari dalam Umno sendiri yang begitu tidak puas hati
terhadap cara beliau dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin
Tun Hussein mengendalikan kebangkitan rakyat itu.
"Rakyat yang berhimpun dalam Bersih 3.0 itu tak boleh buat pakatan
sulit untuk jatuhkan kerajaan Najib, mereka hanya mampu jatuhkan
kerajaan Najib melalui pilihan raya dan sebab itulah mereka menuntut
pilihan raya yang adil dan bersih.
"Yang boleh buat pakatan sulit untuk jatuhkan Najib ialah orang-orang
utama Umno yang tidak berpuas hati terhadap kepimpinan Najib," kata
beliau.
Mohamad juga ketawa besar bila ditanya tentang dakwaan Najib kononnya
ada rancangan mahu mengheret perhimpunan Bersih 3.0 sehingga dua tiga
hari atau lebih daripada itu dan menjadikan Dataran Merdeka seperti
Dataran Tahrir di Mesir.
"Kalau Najib kata begitu dengan tujuan menjadikan dakwaan itu sebagai
propaganda terdesak untuk menipu rakyat, hanya orang bodoh yang
percaya.
"Rakyat sudah melihat tiga perhimpunan Bersih dan rakyat yang cerdik
tahu bahawa bukan mereka yang berhimpun yang mencetuskan kekacauan itu,"
katanya.
Jika dengan membuat dakwaan itu Najib menganggap dia telah
menghebahkan maklumat sulit yang diberitahu kepadanya, kata Mohamad
lagi, akan lebih teruklah penilaian rakyat terhadap kebolehan Najib.
"Kalau Najib mahu rakyat kutip 'disinformation' seperti itu dan
mempercayainya, saya bimbang rakyat akan menganggap beliau sebagai
Perdana Menteri paling bodoh dalam sejarah Malaysia.
"Najib janganlah jadikan dirinya dilihat begitu bodoh," katanya.
Mohamad juga yakin "dakwaan tidak cerdik" Najib itu langsung tidak
dapat membantu kepercayaan rakyat yang semakin merudum terhadap beliau
dan kerajaannya.