PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Jumaat, 9 Mac 2012

Pemuda PAS Selangor bersih rumah mangsa banjir

Harakahdaily, 09 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 9 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melahirkan rasa sedih di atas musibah banjir yang berlaku secara mengejut di Selangor baru-baru ini dan merakamkan ucapan takziah kepada penduduk dan mangsa banjir kilat di Kampung Lembah Jaya Utara dan Derah Hulu Langat sehingga ada yang kehilangan nyawa.

Seramai 500 keluarga telah terjejas dengan musibah itu dan banyak keperluan-keperluan asas yang yang telah rosak teruk.

Banjir yang berlaku pada kali ini adalah yang terburuk pernah berlaku di kawasan-kawasan tersebut.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga pihak mangsa bersabar di atas ujian ini dan redha di atas ketentuan Ilahi,” ujar ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan dalam satu kenyataan.

Katanya, setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya yang tidak diketahui oleh manusia biasa.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga, katanya merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada para petugas dan sukarelawan daripada pelbagai pihak dan agensi yang telah turun ke kawasan musibah untuk membantu mangsa-mangsa berpindah daripada rumah-rumah mereka ke tempat-tempat yang lebih selamat selain melakukan operasi pembersihan terhadap lumpur dan sisa-sisa banjir.

Beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan dan mengerahkan seluruh ahli pemuda PAS dari kawasan-kawasan berhampiran bersama dengan Unit Amal Pemuda PAS untuk turut sama membantu petugas-petugas sukarelawan menjalankan operasi menyelamat dan pembersihan di kawasan-kawasan terbabit.

Pemuda PAS Selangor juga, ujarnya merayu kepada seluruh rakyat yang prihatin dapat menghulurkan sumbangan berupa kewangan, makanan, pakaian dan lain-lain lagi kepada mangsa-mangsa banjir terbabit.

“Semoga sumbangan para dermawan akan meringankan bebanan mangsa-mangsa banjir tersebut,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan