Syria terus bergolak – siri II
Dr Mujahid Yusof Rawa, | 03 Jul 2013 |
Pendahuluan
Setelah artikel saya yang pertama keluar dalam usaha untuk memahami
konflik Syria, ramai yang meminta supaya artikel susulan ditulis bagi
mencerakinkan lagi alasan bahawa isu di Syria bukan soal ‘sectarian
violence’ antara Sunni vs Syiah tetapi ia lebih merupakan masalah
kepincangan kepimpinan dan kepentingan geo-politik yang mengancam
kepentingan kuasa besar.
Kezaliman Melepasi Mazhab Tidak ada mana-mana mazhab samada Sunni atau Syiah yang mewajarkan sebarang bentuk kezaliman. Pemeliharaan nyawa adalah merupakan titik persetujuan Sunni dan Syiah melainkan mana-mana Sunni dan Syiah tidak menghormati prinsip ini maka tindakannya tidak boleh dianggap sebagai amalan Sunni atau Syiah tetapi amalan individu yang merosakkan nama mana-mana mazhab. Basyar Al Assad hanya mewarisi kezaliman dari ayahnya Hafez Al Assad apabila suara bangkangan terus ditindas. Kebangkitan rakyat sudah sampai ke kemuncaknya di mana mereka melepasi garis takut dan Basyar bertindak balas dengan terus mengancam dan membunuh rakyatnya.
Logik yang mudah difahami dalam konflik hubungan pemimpin dan
rakyat ialah keganasan hanya akan melahirkan keganasan seumpamanya.
Basyar tidak melihat dalam kerangka demokrasi yang dituntut oleh
rakyatnya tetapi Basyar memburukkan keadaan dengan menjadi lebih
diktator dalam menghadapi situasi ini. Implikasi reaksi dalam konteks
pergolakan politik adalah punca utama dan bukan kerana golongan Sunni
memberontak terrhadap golongan Syiah.
Ironi Majoriti vs Minoriti
Jika kita mengandaikan asas konflik berdarah di Syria ialah kerana
pertembungan minoriti vs majoriti, keadaan di Iraq pada zaman Saddam
Husin menyaksikan golongan Sunni yang minoriti memerintah Iraq yang
majoritinya ialah Syiah. Di Syria pula golongan Syiah yang minoriti dari
Alawiyin menjadi pemimpin untuk golongan rakyat yang majoritinya ialah
Sunni.
Apakah kebangkitan rakyat di Iraq tempoh hari dengan kehadiran
tentera penjajah Amerika merupakan kebangkitan Syiah ke atas Sunni?
Ataukah di Syria kebangkitan Sunni ke atas Syiah?
Saya tidak berfikir demikian tetapi kedua-dua pemimpin sama ada
Saddam atau Basyar berkongsi satu sebab mengapa rakyat memberontak iaitu
penindasan ke atas rakyatnya sendiri. Jadi isunya ialah penindasan dan
penindasan boleh berlaku majoriti menindas minoriti mahupun minoriti
menindas majoriti seperti kesnya di Iraq era Saddam dan Syria kini.
Kepentingan Kuasa Besar
Ada dua kepentingan kuasa besar di Timur Tengah, pertama minyak dan kedua ialah kewujudan Israel mesti dipelihara. Syria berada pada kepentingan kedua Kuasa Besar. Amatlah kurang bijak untuk kita mengandaikan Amerika yang mewakili Kuasa Besar tidak mengambil kesempatan kebangkitan rakyat di Syria.
Ada dua kepentingan kuasa besar di Timur Tengah, pertama minyak dan kedua ialah kewujudan Israel mesti dipelihara. Syria berada pada kepentingan kedua Kuasa Besar. Amatlah kurang bijak untuk kita mengandaikan Amerika yang mewakili Kuasa Besar tidak mengambil kesempatan kebangkitan rakyat di Syria.
Pendekatan Amerika selama ini ialah untuk memastikan ‘regime
change’ berlaku supaya kepentingan Israel dipelihara dan penentangan
terhadap Israel dari pejuang Palestine dapat dikawal. Syria dalam
perspektif Amerika adalah jiran Israel yang buat masa ini tidak banyak
membantu dasar Amerika terhadap Israel.
Malah Syria menjadi tempat perlindungan kepada pejuang Hamas yang
Sunni dan Hizbullah yang bermazhabkan Syiah. Perlindungan itu bukan
kerana mazhab kerana Hamas bukan dari mazhab Syiah, ia lebih merupakan
dasar Syria yang tidak mengiktirafi Israel malah menuntut Bukit Golan
yang ditawan Israel. Amat jelas perlindungan Syria ke atas Hamas dan
Hizbollah adalah tentang kepentingan keselamatan dan memelihara
kedaulatan bukan melindungi mana-mana mazhab.
Keganasan Kepuakan
Terma ‘Keganasan Kepuakan’ atau ‘Sectarian Violence‘ dipakai untuk menggambarkan konflik antara fahaman atau mazhab atau agama dari penduduk dalam negeri yang sama. Pertembungan Sunni dan Syiah bukanlah isu yang baru, ia bermula sejak peristiwa pembunuhan Saidina Ali dan berterusan pertembungan itu sepanjang sejarah umat Islam.
Terma ‘Keganasan Kepuakan’ atau ‘Sectarian Violence‘ dipakai untuk menggambarkan konflik antara fahaman atau mazhab atau agama dari penduduk dalam negeri yang sama. Pertembungan Sunni dan Syiah bukanlah isu yang baru, ia bermula sejak peristiwa pembunuhan Saidina Ali dan berterusan pertembungan itu sepanjang sejarah umat Islam.
Masalahnya ialah ketika proses konflik ini berlaku muncul
ajaran-ajaran sesat sehingga setiap mazhab mempunyai ajaran sesat
masing-masing. Basyar adalah daripada Syiah Alawiyin yang bagi golongan
Syiah sendiri menganggapnya sebagai sesat. Jadi ungkapan Syiah lawan
Sunni itu sendiri perlu diberi fahaman yang jelas malah Basyar juga
seorang yang mengamalkan dasar negara yang berfahaman Baath Nasiriyiah (Sosialis Arab).
Teori Sunni vs Syiah perlu dilihat dalam konteks pertembungan
bersifat politik lebih daripada kepuakan. Kepuakan dijadikan alat sahaja
untuk mengukuhkan kepentingan politik pihak tertentu sebagai sentimen
untuk kepentingan mengekalkan kuasa atau merebut kuasa. Cetusan
semangat mazhab dalam hal ini lebih mudah dibangkitan berbandingkan isu
ekonomi mahupun politik.
Amat jelas di Syria isu mazhab hanyalah sentimen untuk mendapat
simpati namun kesannya amatlah buruk kerana ia menjadi satu medan
pertempuran yang lebih luas menjangkau luar bumi Timur Tengah. Usaha
dialog demi keharmonian mazhab pasti akan terbantut kerana syak wasangka
semakin meningkat dan sentimen prejudis menguasai keadaan.
Apakah Penyelesaiannya?
Jelas dalam hal ini remedi mesti berpandukan kepada masalah sebenarnya yang berlaku di Syria. Pastinya Basyar perlu berundur kerana kezalimannya untuk mempertahankan kuasa berada di kemuncak. Negara Islam mesti memberi tekanan dengan memutuskan hubungan dengan regim Basyar.
Jelas dalam hal ini remedi mesti berpandukan kepada masalah sebenarnya yang berlaku di Syria. Pastinya Basyar perlu berundur kerana kezalimannya untuk mempertahankan kuasa berada di kemuncak. Negara Islam mesti memberi tekanan dengan memutuskan hubungan dengan regim Basyar.
Penyelesaian politik melalui kesatuan semua pihak yang memberontak
supaya bersetuju untuk menumpukan tekanan pada rekonsiliasi nasional
mesti digerakkan oleh negara Islam dan masyarakat antarabangsa.
Kesalahan jenayah perang dari kedua belah pihak hendaklah dihadapkan ke
mahkamah antarabangsa manakala isu pelarian semestinya perlu mendapat
perhatian masyarakat antarabangsa. Dengan menumpukan kepada permasalahan
sebenar kita boleh menghindari sentimen Sunni vs Syiah yang kini
menguasai polemik isu di Syria.
Penulis ialah AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.