PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Rabu, 3 Julai 2013

ISU SERIA

Syria terus bergolak – siri II

Dr Mujahid Yusof Rawa, 03 Jul 2013
Pendahuluan

Setelah artikel saya yang pertama keluar dalam usaha untuk memahami konflik Syria, ramai yang meminta supaya artikel susulan ditulis bagi mencerakinkan lagi alasan bahawa isu di Syria bukan soal ‘sectarian violence’ antara Sunni vs Syiah tetapi ia lebih merupakan masalah kepincangan kepimpinan dan kepentingan geo-politik yang mengancam kepentingan kuasa besar.

images

Kezaliman Melepasi Mazhab Tidak ada mana-mana mazhab samada Sunni atau Syiah yang mewajarkan sebarang bentuk kezaliman. Pemeliharaan nyawa adalah merupakan titik persetujuan Sunni dan Syiah melainkan mana-mana Sunni dan Syiah tidak menghormati prinsip ini maka tindakannya tidak boleh dianggap sebagai amalan Sunni atau Syiah tetapi amalan individu yang merosakkan nama mana-mana mazhab. Basyar Al Assad hanya mewarisi kezaliman dari ayahnya Hafez Al Assad apabila suara bangkangan terus ditindas. Kebangkitan rakyat sudah sampai ke kemuncaknya di mana mereka melepasi garis takut dan Basyar bertindak balas dengan terus mengancam dan membunuh rakyatnya.
Logik yang mudah difahami dalam konflik hubungan pemimpin dan rakyat ialah keganasan hanya akan melahirkan keganasan seumpamanya. Basyar tidak melihat dalam kerangka demokrasi yang dituntut oleh rakyatnya tetapi Basyar memburukkan keadaan dengan menjadi lebih diktator dalam menghadapi situasi ini. Implikasi reaksi dalam konteks pergolakan politik adalah punca utama dan bukan kerana golongan Sunni memberontak terrhadap golongan Syiah.

NEW-SYRIA

Ironi Majoriti vs Minoriti

Jika kita mengandaikan asas konflik berdarah di Syria ialah kerana pertembungan minoriti vs majoriti, keadaan di Iraq pada zaman Saddam Husin menyaksikan golongan Sunni yang minoriti memerintah Iraq yang majoritinya ialah Syiah. Di Syria pula golongan Syiah yang minoriti dari Alawiyin menjadi pemimpin untuk golongan rakyat yang majoritinya ialah Sunni.
Apakah kebangkitan rakyat di Iraq tempoh hari dengan kehadiran tentera penjajah Amerika merupakan kebangkitan Syiah ke atas Sunni?
Ataukah di Syria kebangkitan Sunni ke atas Syiah?
Saya tidak berfikir demikian tetapi kedua-dua pemimpin sama ada Saddam atau Basyar berkongsi satu sebab mengapa rakyat memberontak iaitu penindasan ke atas rakyatnya sendiri. Jadi isunya ialah penindasan dan penindasan boleh berlaku majoriti menindas minoriti mahupun minoriti menindas majoriti seperti kesnya di Iraq era Saddam dan Syria kini. Kepentingan Kuasa Besar
Ada dua kepentingan kuasa besar di Timur Tengah, pertama minyak dan kedua ialah kewujudan Israel mesti dipelihara. Syria berada pada kepentingan kedua Kuasa Besar. Amatlah kurang bijak untuk kita mengandaikan Amerika yang mewakili Kuasa Besar tidak mengambil kesempatan kebangkitan rakyat di Syria.
Pendekatan Amerika selama ini ialah untuk memastikan ‘regime change’ berlaku supaya kepentingan Israel dipelihara dan penentangan terhadap Israel dari pejuang Palestine dapat dikawal. Syria dalam perspektif Amerika adalah jiran Israel yang buat masa ini tidak banyak membantu dasar Amerika terhadap Israel.
Malah Syria menjadi tempat perlindungan kepada pejuang Hamas yang Sunni dan Hizbullah yang bermazhabkan Syiah. Perlindungan itu bukan kerana mazhab kerana Hamas bukan dari mazhab Syiah, ia lebih merupakan dasar Syria yang tidak mengiktirafi Israel malah menuntut Bukit Golan yang ditawan Israel. Amat jelas perlindungan Syria ke atas Hamas dan Hizbollah adalah tentang kepentingan keselamatan dan memelihara kedaulatan bukan melindungi mana-mana mazhab. Keganasan Kepuakan
Terma ‘Keganasan Kepuakan’ atau ‘Sectarian Violence‘ dipakai untuk menggambarkan konflik antara fahaman atau mazhab atau agama dari penduduk dalam negeri yang sama. Pertembungan Sunni dan Syiah bukanlah isu yang baru, ia bermula sejak peristiwa pembunuhan Saidina Ali dan berterusan pertembungan itu sepanjang sejarah umat Islam.
Masalahnya ialah ketika proses konflik ini berlaku muncul ajaran-ajaran sesat sehingga setiap mazhab mempunyai ajaran sesat masing-masing. Basyar adalah daripada Syiah Alawiyin yang bagi golongan Syiah sendiri menganggapnya sebagai sesat. Jadi ungkapan Syiah lawan Sunni itu sendiri perlu diberi fahaman yang jelas malah Basyar juga seorang yang mengamalkan dasar negara yang berfahaman Baath Nasiriyiah (Sosialis Arab).
Teori Sunni vs Syiah perlu dilihat dalam konteks pertembungan bersifat politik lebih daripada kepuakan. Kepuakan dijadikan alat sahaja untuk mengukuhkan kepentingan politik pihak tertentu sebagai sentimen untuk kepentingan mengekalkan kuasa atau merebut kuasa. Cetusan semangat mazhab dalam hal ini lebih mudah dibangkitan berbandingkan isu ekonomi mahupun politik.
Amat jelas di Syria isu mazhab hanyalah sentimen untuk mendapat simpati namun kesannya amatlah buruk kerana ia menjadi satu medan pertempuran yang lebih luas menjangkau luar bumi Timur Tengah. Usaha dialog demi keharmonian mazhab pasti akan terbantut kerana syak wasangka semakin meningkat dan sentimen prejudis menguasai keadaan. Apakah Penyelesaiannya?
Jelas dalam hal ini remedi mesti berpandukan kepada masalah sebenarnya yang berlaku di Syria. Pastinya Basyar perlu berundur kerana  kezalimannya untuk mempertahankan kuasa berada di kemuncak. Negara Islam mesti memberi tekanan dengan memutuskan hubungan dengan regim Basyar.
Penyelesaian politik melalui kesatuan semua pihak yang memberontak supaya bersetuju untuk menumpukan tekanan pada rekonsiliasi nasional mesti digerakkan oleh negara Islam dan masyarakat antarabangsa. Kesalahan jenayah perang dari kedua belah pihak hendaklah dihadapkan ke mahkamah antarabangsa manakala isu pelarian semestinya perlu mendapat perhatian masyarakat antarabangsa. Dengan menumpukan kepada permasalahan sebenar kita boleh menghindari sentimen Sunni vs Syiah yang kini menguasai polemik isu di Syria.
Penulis ialah AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan