Isnin, 12 Mac 2012
Maki wartawan: Adnan gali kubur sendiri
| Khairil Abdul Rahim, | 12 Mac 2012 |
KUANTAN, 12 Mac: “Mana-mana pemimpin yang memaki hamun wartawan bermakna sedang menggali kubur sendiri,” kata Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saad.
Beliau mengulas insiden Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang secara terang-terang menjerit mengatakan “wartawan bodoh”, “akhbar bodoh” dan mengulanginya beberapa kali ketika sidang medianya selepas perasmian Karnival Buku Pahang 2012 di sebuah hotel di sini kelmarin.
Beliau juga dikatakan turut mengusir wartawan-wartawan daripada akhbar Cina dan disaksikan oleh orang ramai.
Adnan bertindak demikian kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan laporan akhbar-akhbar Cina yang yang menurutnya menyiarkan kenyataan beliau berkaitan sisa proses kilang Lynas akan dilupuskan di lombong tinggal di Sungai Lembing.
Suhaimi berkata, sepatutnya jika kenyataan tersebut bohong beliau memanggil sidang akhbar dan menafikannya bukan bertindak secara emosi.
“Wartawan adalah pelapor kepada rakyat apa yang kerajaan yang mereka pilih, ingin lakukan dan mereka bekerja secara profesional. Takkan itupun Menteri Besar tak tahu.
“Jadi mengusir wartawan samalah seperti mengusir rakyat. Sebab itu saya kata beliau mahu menggali kubur politiknya,” katanya.
Tambah Suhaimi, jika Adnan bertindak lebih matang beliau boleh mengarahkan pengawal hotel terbabit menghalang terus wartawan akhbar Cina masuk ke dalam hotel itu daripada menjerit dan menghalau wartawan berkenaan.
Sementara itu Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) turut mengutuk keras kenyataan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob kerana menggelar petugas media sebagai "bodoh".
Presiden NUJ Chin Sung Chew berkata, pihaknya amat terkejut dengan reaksi Adnan itu dan menganggapnya sebagai menghina maruah wartawan, biadap dan turut mencampuri kebebasan media.
Menurut saksi, Adnan juga menolak kamera yang dipegang oleh seorang jurugambar dan mencabar aksi itu disiarkan. Tiga wartawan akhirnya meninggalkan sidang akhbar tersebut.
Sebelum ini Adnan juga pernah dikaitkan dengan “samseng” kerana pernah menunjukkan isyarat lucah ketika hari pencalonan Pilihan raya Kecil Sanggang, Temerloh.
Adnan juga pernah naik angin dalam dewan undangan apabila dicelah oleh ketua pembangkang daripada PAS ketika itu Ustaz Idris Omar.
Saya ditahan dalam keadaan lapar dan dahaga
| Mazlan Aliman, | 12 Mac 2012 |
Tindakan Kerajaan BN Sabah yang didalangi Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menghalang saya masuk ke Sabah sebagai angkuh, bongkak dan bacul.
Notis Penolakan Masuk di bawah Seksyen 65(1)(a) Akta Imigresen 1959/63 yang ditandatangani oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Sabah, Addy Rizal bin Jamlidi telah mencabul hak asasi saya sebagai warganegara Malaysia.
Berkali-kali saya mempersoalkan kenapa saya di tahan dan tidak di benarkan masuk ke Sabah?
Apa kesalahan saya; apa jenayah yang saya lakukan? Mereka mengatakan tiada alasan dan sebab melainkan arahan Pihak Berkuasa Negeri!
Saya dikawal ketat, dalam keadaan lapar; bukan sahaja tidak diberi makan; segelas air pun tiada!
Saya telah membuat laporan Polis di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan di hantar balik melalui penerbangan Air Asia ke Kuala Lumpur sekitar jam 11 malam tadi.
Hampir dua tahun yang lalu, regim Taib Mahmod juga telah memperalatkan Imigresen untuk menghalang saya masuk ke Sarawak.
Saya berkeyakinan ini semua berpunca dari kebimbangan dan ketakutan regim Musa Aman dan Taib Mahmod dari kebangkitan rakyat yang menentang kezaliman Kerajaan BN.
Isu rampasan tanah Adat atau NCR berleluasa dan sangat kritikal. Kuasa Ketua Menteri sangat besar; sewenang-wenangnya tanah yang di duduki dan di usahakan penduduk puluhan tahun di rampas. Kononnya penduduk menceroboh kawasan hutan simpan dan tadahan air.
Ada rumah penduduk yang dibakar, kebun di sodok oleh jentolak, tanaman musnah dicincang lumat oleh anggota penguatkuasa kerajaan negeri seperti Jabatan Hutan dll.
Peliknya; kawasan yang dirampas di beri pula kepada syarikat-syarikat kroni atas nama pembangunan. Rakyat menderita dan hilang pergantungan.
Hatta; menuntut hak di Mahkamah pun di tangkap, dipukul dan di penjarakan seperti yang berlaku di Pensiangan.
Saya mengetuai Lajnah(Biro) Pembangunan Tanah & Wilayah PAS Pusat bersama rakan-rakan berulang alik ke Sabah Sarawak secara konsisten bertahun lamanya. Turun ke kawasan Pedalaman dan menyaksikan penderitaan rakyat.
Kemiskinan tegar, kemunduran melampau, sangat kurangnya kemudahan asas dan tersiksanya rakyat akibat cengkaman regim BN yang menindas rakyat. 20 tahun ke belakang jika dibandingkan Semenanjung.
Bahkan jika di ukur dengan negeri Kelantan pun seperti langit dengan bumi!
Kelantan jauh lebih maju dan membangun daripada Sabah dan Sarawak.
Saya bawa wakil penduduk ke Parlimen bertemu menteri dan pimpinan BN dan Pakatan Rakyat. Kita iringi mereka membuat aduan di Suhakam. Suhakam mengakui isu tanah Sabah dan Sarawak begitu kritikal dan political will pimpinan BN untuk menyelesaikannya sangat menyedihkan. Laporan Polis, serahan memorandum, bawa kes ke Mahkamah dan apa ruang telah kami lakukan.
Himpunan 123
Pagi ini Himpunan 123 Bangkit di adakan di perkarangan Pejabat Ketua Menteri. Ratusan rakyat yang datang dari Tawau, Keningau, Pensiangan, Kudat, Lahad Datu, Sandakan, Sepanggar dll dengan Bas sewa khas serta pengangkutan awam dilayan begitu buruk oleh Musa Aman.
Harapan tinggi rakyat yang sengsara kerana tanah mereka di dirampas untuk mengiringi pimpinan Ngo dan pimpinan etnik kaum menyerah memorandum di anggap remeh Kerajaan BN.
Adakah wajar pegawai rendah di tugaskan menerima memorandum hanya di 'tepi jalan' Wisma Negeri?
Mana pergi Musa Aman atau sekurang2nya Menteri Kanan Sabah? Hina sungguh rakyat jelata diperlaku Kerajaan BN!
Apa salahnya di bawa masuk wakil2 NGO dan penduduk sekurang-kurangnya di ruang tamu Wisma Negeri?
Apa salahnya Kerajaan Negeri mendengar dulu isi hati dan derita rakyat?
Ada penduduk menempuh perjalanan selama 12 jam; hanya mampu makan nasi bungkus sepanjang perjalanan, tayar kereta pancit di tengah jalan dan macam-macam kesukaran yang di alami untuk sampai ke Pejabat Ketua Menteri. Begini kesudahan layanan Musa Aman. Mana slogan ' Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan?
Perjuangan rakyat akan di teruskan. Seperti slogan penduduk Sabah; 'Tanah adalah nyawa kami, tanah adalah kehidupan kami.'
Kami tidak akan putus harapan dan patah semangat. Regim Musa Aman wajib ditumbangkan!
-------------------------------------------
Penulis, AJK PAS Pusat, telah dihalang memasuki Sabah malam tadi. Beliau ditahan dan dihantar balik kemudiannya ke Semenanjung.
LAPORAN BERKAITAN
Mazlan Aliman ditahan, dihalang masuk Sabah
Pesalah rasuah tetap terima hukuman Allah
| Nik Abdul Aziz Nik Mat, | 12 Mac 2012 |
1. Saya ditanya tentang pengumuman Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mengundur diri dari memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat apabila tamat tempoh sebagai Ahli Dewan Negara pada 8 April ini.Pada saya, ia bukan satu pengumuman yang mengejutkan memandangkan ia hanya berkuatkuasa apabila tamat tempoh sebagai Ahli Dewan Negara.
Lebih tepat sebenarnya ia hanyalah pengumumam untuk tidak menyambung kontrak sebagai Senator atau Ahli Dewan Negara.
2. Meletak jawatan atau mengundur diri berkemungkinan boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi, namun perlu diingat sebarang kesalahan yang melibatkan wang rakyat dan orang ramai tetap tidak akan selesai dengan meletak jawatan.
Ia perlu dibayar dan diperjelaskan kerana jika tidak, ia akan menjadi beban di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.
3. Persoalan beban di akhirat hanya ada di dalam Islam. Ia tidak wujud di dalam pengajian aliran sekular mahupun aliran-aliran selain daripada Islam.
Justeru, seorang muslim jika dipertanggungjawabkan untuk memikul amanah tidak akan melakukan rasuah dan penyelewengan kerana yakin ia akan ditanya oleh Allah SWT di akhirat kelak.
Orang yang melakukan rasuah ialah orang yang yakin bahawa amalannya tidak akan menjadi pahala di akhirat, lantas baginya cukuplah dengan kekayaan di dunia memuaskan hatinya sekalipun diperolehi dengan cara yang haram. Hakikat inilah yang disebut oleh Allah SWT :
وَيَوْمَ يُعْرَضُ الَّذِينَ كَفَرُوا عَلَى النَّارِ أَذْهَبْتُمْ طَيِّبَاتِكُمْ فِي حَيَاتِكُمُ الدُّنْيَا وَاسْتَمْتَعْتُمْ بِهَا فَالْيَوْمَ تُجْزَوْنَ عَذَابَ الْهُونِ بِمَا كُنْتُمْ تَسْتَكْبِرُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَبِمَا كُنْتُمْ تَفْسُقُونَ
yang bermaksud : “Dan (ingatlah), semasa orang-orang kafir didedahkan kepada neraka (serta dikatakan kepada mereka): "Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya; maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik" - Surah al-Ahqaf, ayat 20
4. Manakala orang yang beriman, kerjanya di dunia diperhalusi agar tidak melanggar syariat Allah SWT kerana dia yakin di sebalik kepayahan yang ditempuhi di dunia, ia dijanjikan dengan pahala oleh Allah SWT di akhirat.
Keyakinan inilah yang menghalang tangannya untuk menandatangani cek secara tipu, meluluskan projek secara tipu dan menerima deposit wang secara tipu.
5. Hakikatnya, manusia mungkin boleh sahaja terlepas daripada pendakwaan di dunia dengan meletakkan jawatan kerana baginya perletakan jawatan dan mengundur diri itu boleh menutup cerita, tetapi cerita yang sebenar tetap jua akan terdedah di mahkamah Allah SWT.
Dalam hal ini saya bukanlah merujuk kepada kes ini semata-mata, tetapi untuk semua kes dan melibatkan sesiapa sahaja.
6. Pada saya, tidak mengejutkan jika perjuangan sekular diseliputi oleh kes-kes penyelewengan dan rasuah kerana itulah sahaja cara mereka mendapat laba setelah Islam pun mereka ketepikan.
Tinggal lagi, banyak atau sedikit. Yang di atas kerjanya merompak dengan jumlah billion, yang di tengah jumlahnya jutaaan dan yang di bawah pula menghirup saki baki kuah yang ditinggalkan!
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan.
Ahad, 11 Mac 2012
Mazlan Aliman ditahan, dihalang masuk Sabah
| Harakahdaily, | 11 Mac 2012 |
KUALA LUMPUR, 11 Mac: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman (gambar) hari ini dihalang dari memasuki Sabah.
Beliau yang dihubungi Harakahdaily memberitahu, beliau ditahan oleh pegawai Imigresen selepas tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu kira-kira jam 8.45 malam ini.
"Saya tiba di lapangan terbang kira-kira jam 8.45 tadi, tiba-tiba saya ditahan tanpa sebarang alasan.
"Saya diberitahu ianya arahan pihak berkuasa kerajaan negeri," katanya.
Difahamkan beliau yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Wilayah PAS Pusat bersama 10 lagi anggota jawatankuasa ke Sabah untuk lawatan kerja selama tiga hari.
"Yang lain semua boleh masuk kecuali saya seorang sahaja yang ditahan," katanya yang kini ditahan di pejabat Imigresen di lapangan terbang itu hampir sejam.
Beliau mendakwa dihalang masuk di bawah seksyen 65(1) Akta Imigresen 1959.
Beliau memaklumkan akan membuat satu laporan polis di sana selepas berhubung dengan peguamnya.
Mazlan ditemani pegawai khas lajnah, Fadhil Osman, Razman Zakaria (Pengerusi Bapa),Kol.(B) Nazari (Kerabat), Abd. Rahman Ramli (Bangkit).
Beliau dijadual menyertai himpunan aman 123 Bangkit esok di Kota Kinabalu dan akan menubuhkan NGO Keabat dan Bangkit bagi negeri Sabah.
Menurutnya, ketika cuba mendapatkan penjelasan mengapa ditahan, pegawai Imigresen tersebut menyatakan hanya menjalankan tugas.
Setelah ditahan hampir sejam, beliau telah diarahkan supaya pulang ke Semenanjung serta merta.
Jumaat, 9 Mac 2012
Ingat tarikh 13 Mac teringatlah kepada sahabat seni aku, Sdr Suhaimi Ahmad atau Cikgu Suhaimi. Teringat kepada dia sebab puisi yang baru sedikit aku tulis belum siap-siap lagi. Jadi terbantut pula idea setelah teramat lama tidak lagi berada dalam dunia sastera.
Dah mulakan beberapa bait tetapi terhenti dan terus termati idea.
Masanya telah hampir...
Dah jadi begini berasa malas pula nak hadir program santai malam puisi di rumahnya di Kampung Sira, Lenggong nanti. Malu juga kalau tidak ada apa-apa lagi yang termampu aku ungkapkan nanti.
Ah!... tengoklah malam ni aku cuba-cuba tulis kalau-kalau berjaya terhasilkan sebuah puisi lombak pun dah oke...
'Impak 13' himpun jentera muslimat seluruh Perak
| Muhammad Faeez, | 09 Mac 2012 |
IPOH, 9 Mac: Dewan Muslimat PAS Negeri Perak akan menghimpunkan seluruh jentera mereka sebagai persiapan terakhir menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.
Ketuanya, Dr Najihatussaleha Ahmad berkata, program yang diberi nama Himpunan Muslimat PAS Negeri Perak (Impak 13) itu akan diadakan pada 25 Mac ini di Hotel Hillcity, Ipoh.
Menurutnya, program tersebut bertujuan untuk menghimpunkan seluruh tenaga muslimat serta meningkatkan motivasi gerak kerja dalam menghadapai PRU ke-13 nanti.
“Tujuan program ini juga adalah untuk mencipta gelombang muslimat dalam menghadapi PRU13 nanti,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini, hari ini.
Katanya lagi, program tersebut juga bertujuan mengerat serta merapatkan hubungan sesama jentera muslimat daripada seluruh negeri Perak.
“Di kesempatan itu, Dewan Muslimat juga akan melancarkan Skuad Kebajikan Muslimat PAS Negeri Perak (ERAT) bagi menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan dan program bersama rakyat,” ujarnya.
Justeru, beliau menjemput seluruh muslimat PAS negeri Perak ke program yang julung-julung kali diadakan itu.
Pemuda PAS Selangor bersih rumah mangsa banjir
| Harakahdaily, | 09 Mac 2012 |

KUALA LUMPUR, 9 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melahirkan rasa sedih di atas musibah banjir yang berlaku secara mengejut di Selangor baru-baru ini dan merakamkan ucapan takziah kepada penduduk dan mangsa banjir kilat di Kampung Lembah Jaya Utara dan Derah Hulu Langat sehingga ada yang kehilangan nyawa.
Seramai 500 keluarga telah terjejas dengan musibah itu dan banyak keperluan-keperluan asas yang yang telah rosak teruk.
Banjir yang berlaku pada kali ini adalah yang terburuk pernah berlaku di kawasan-kawasan tersebut.
“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga pihak mangsa bersabar di atas ujian ini dan redha di atas ketentuan Ilahi,” ujar ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan dalam satu kenyataan.
Katanya, setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya yang tidak diketahui oleh manusia biasa.
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga, katanya merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada para petugas dan sukarelawan daripada pelbagai pihak dan agensi yang telah turun ke kawasan musibah untuk membantu mangsa-mangsa berpindah daripada rumah-rumah mereka ke tempat-tempat yang lebih selamat selain melakukan operasi pembersihan terhadap lumpur dan sisa-sisa banjir.
Beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan dan mengerahkan seluruh ahli pemuda PAS dari kawasan-kawasan berhampiran bersama dengan Unit Amal Pemuda PAS untuk turut sama membantu petugas-petugas sukarelawan menjalankan operasi menyelamat dan pembersihan di kawasan-kawasan terbabit.
Pemuda PAS Selangor juga, ujarnya merayu kepada seluruh rakyat yang prihatin dapat menghulurkan sumbangan berupa kewangan, makanan, pakaian dan lain-lain lagi kepada mangsa-mangsa banjir terbabit.
“Semoga sumbangan para dermawan akan meringankan bebanan mangsa-mangsa banjir tersebut,” katanya.
Majlis pertunangan anak Najib dibiaya kerajaan?
| Muhammad Faizal, | 09 Mac 2012 |
PETALING JAYA, 9 Mac: PKR hari ini mendakwa kerajaan telah menaja majlis pertunangan anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berjumlah RM409,767.00.
Pengarah strateginya, Rafizi Ramli berkata, dokumen rasmi dari sebuah hotel di Kuala Lumpur yang diperolehinya itu membuktikan bahawa segala bayaran bagi majlis tersebut dibiayai oleh Pejabat Perdana Menteri.
Rafizi berkata, ianya berupa bayaran majlis bankuet di Hotel Shangri La yang didakwa menyediakan katering untuk majlis berkenaan.
"Hari ini PKR mengemukakan bukti kukuh bahawa majlis tersebut dibiayai oleh rakyat apabila keseluruhan urusan tempahan dan pembayaran dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri.
"Ini dokumen untuk bukti-bukti yang jelas, yang mana perbelanjaan sepenuhnya sebanyak RM409,767 ribu telah digunakan," jelasnya pada sidang media di pejabat PKR hari ini.
Perbelanjaan tersebut menurut Rafizi meliputi kos jamuan VIP seramai 36 orang sebanyak RM18,792, kos jamuan tetemu seramai 862 orang sebanyak RM309,975 dan juga kos pengendalian majlis RM81,000.
Menurut Rafizi lagi, PKR juga telah membuat semakan dan berjaya mengesahkan bahawa individu-individu di dalam dokumen tersebut adalah sahih dan bekerja di organisasi masing-masing.
"Dengan pendedahan ini PKR berpendapat sudah sampai masanya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan menyiasat penyelewengan wang rakyat oleh Perdana Menteri termasuk barisan kabinetnya.
"Kita mahu Najib menjawabnya pada sidang dewan rakyat minggu depan, dari mana peruntukan itu diambil," katanya lagi.
Najib sanggup mohon maaf kepada keluarga Altantuya?
| Harakahdaily, | 09 Mac 2012 |
KUALA LUMPUR, 9 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat isu yang melibatkan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu semakin mencalarkan imej Datuk Seri Najib di mata masyarakat.
Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, penghakiman bertulis yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Md Yasin seakan mahu mengheret ‘seseorang yang berkuasa’ di sebalik pembunuhan model tersebut.
“Penghakiman ini mewujudkan persoalan dan persepsi masyarakat, adakah institusi mahkamah dalam kes ini benar-benar bebas berfungsi ataupun telah diikat dan dikongkong oleh mereka yang berkuasa di belakangnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, lebih mengusutkan keadaan apabila dalam penghakimannya, Datuk Mohd Zaki Md Yasin merumuskan bahawa motif pembunuhan tidak penting walaupun ianya relevan.
“Tidak penting tujuan bunuh, justeru, mengapa Altantuya dibunuh?” soalnya.
Dua orang yang telah didapati bersalah adalah anggota Unit Tindakan Khas iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar.
Kedua-duanya adalah pegawai keselamatan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu.
“Soalnya pula, bagaimana kedua-dua anggota ini yang bertugas menjaga keselamatan pemimpin negara boleh terlibat melakukan operasi membunuh ini dengan begitu kejam?
“Apa kaitan kedua-dua mereka dengan Altantuya?” tanya Riduan lagi.
Tambahnya, tidak mungkin anggota polis melakukan jenayah itu tanpa sebab.
Menurutnya, mesti ada arahan oleh mereka yang lebih tinggi darinya untuk melakukan perbuatan itu DPPM berpandangan, sepatutnya misteri kes itu mudah terjawab dengan merungkai satu demi satu persoalan sehingga akhirnya akan menemui jawapan yang sebenar.
“Lihatlah bagaimana kes Datuk Sosilawati yang dibunuh dengan modus operandi yang hampir sama. Kes ini disiasat dengan beitu teliti sehingga akhirnya menemukan motif pembunuhan tersebut,” ujarnya lagi.
Namun demikian, kata beliau dalam kes Altantuya motif pembunuhan ditutup seakan mahu menutup terus cerita ini dari terus disiasat.
Walau apa pun alasannya, ujarnya rakyat melihat pembabitan Najib dalam kes itu.
Beliau berkata, meskipun mungkin beliau tidak terlibat secara langsung, namun pembabitan kedua-dua anggota keselamatan dalam kes itu amat merendahkan reputasi Najib.
Tambahan pula, ujarnya orang kepercayaan beliau, Abdul Razak Baginda juga dikatakan terlibat meskipun kemudiannya dibebaskan dan didapati tidak bersalah.
“Kes ini juga amat memalukan negara di mata dunia kerana dunia menganggap Malaysia bukanlah sebuah negara yang selamat dikunjungi,” katanya.
Justeru, tambahnya apa yang berlaku kepada Altantuya tidak mustahil juga berlaku kepada pelancong lain yang berkunjung ke negara ini.
“Dalam keadaan Datuk Seri Najib merayu-rayu rakyat dengan permohonan maaf dan menyesali atas ‘ketelanjurannya’, sanggupkah beliau memohon maaf kepada keluarga Altantuya atas pembabitan bekas pegawai keselamatannya.
“Beranikah beliau berdepan dengan keluarga mendiang dan memohon maaf kerana kejadian itu berlaku di Malaysia?” tanya beliau lagi.
Beliau menambah, berjiwa besarlah Najib jika sanggup mengaku salah atas apa yang berlaku terhadap model Mongolia itu.
