Majlis pertunangan anak Najib dibiaya kerajaan?
Muhammad Faizal, | 09 Mac 2012 |
PETALING JAYA, 9 Mac: PKR hari ini mendakwa kerajaan telah menaja majlis pertunangan anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berjumlah RM409,767.00.
Pengarah strateginya, Rafizi Ramli berkata, dokumen rasmi dari sebuah hotel di Kuala Lumpur yang diperolehinya itu membuktikan bahawa segala bayaran bagi majlis tersebut dibiayai oleh Pejabat Perdana Menteri.
Rafizi berkata, ianya berupa bayaran majlis bankuet di Hotel Shangri La yang didakwa menyediakan katering untuk majlis berkenaan.
"Hari ini PKR mengemukakan bukti kukuh bahawa majlis tersebut dibiayai oleh rakyat apabila keseluruhan urusan tempahan dan pembayaran dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri.
"Ini dokumen untuk bukti-bukti yang jelas, yang mana perbelanjaan sepenuhnya sebanyak RM409,767 ribu telah digunakan," jelasnya pada sidang media di pejabat PKR hari ini.
Perbelanjaan tersebut menurut Rafizi meliputi kos jamuan VIP seramai 36 orang sebanyak RM18,792, kos jamuan tetemu seramai 862 orang sebanyak RM309,975 dan juga kos pengendalian majlis RM81,000.
Menurut Rafizi lagi, PKR juga telah membuat semakan dan berjaya mengesahkan bahawa individu-individu di dalam dokumen tersebut adalah sahih dan bekerja di organisasi masing-masing.
"Dengan pendedahan ini PKR berpendapat sudah sampai masanya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan menyiasat penyelewengan wang rakyat oleh Perdana Menteri termasuk barisan kabinetnya.
"Kita mahu Najib menjawabnya pada sidang dewan rakyat minggu depan, dari mana peruntukan itu diambil," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan