PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Ahad, 14 November 2010

BANJIR DI LENGGONG






LENGGONG: Sepuluh keluarga terpaksa dipindah apabila tujuh kampung termasuk pekan dilanda banjir lumpur membabitkan hampir 100 rumah, sebuah masjid dan lebih 20 premis kedai selepas hujan kira-kira tiga jam sejak petang semalam.
Di Mukim Temelong, Kampung Banggol Batu dan Taman Kota Tampan paling teruk, di mana 10 daripada hampir 30 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di surau taman berkenaan selain di rumah saudara mara.
Banjir lumpur akibat limpahan air Sungai Nerok mulai jam 8.30 malam itu turut melanda Masjid Kampung Banggol Batu dan tujuh premis kedai, termasuk sebuah kedai runcit, sebuah bengkel motorsikal, sebuah kedai pakaian dan sebuah kedai makan.
Khalid Yusof, 41, terpaksa menggunakan lori jiran untuk memunggah barangan di dalam kedai seperti beras, gula, dan pelbagai barangan lain selain peti ais dan lain-lain apabila air masuk ketika hujan masih turun.
Katanya, ketika air mulai masuk dia sedang berada di rumahnya untuk mengurus air yang masuk sedikit ke dalam rumah akibat longkang melimpah dan pada ketika sama jiran memberitahu kedainya dimasuki air.
"Sebaik jiran memberitahu air mulai masuk ke dalam kedai, saya bergegas ke kedai untuk menyelamatkan barang-barang di dalamnya yang lebih penting daripada keadaan di dalam rumah.
"Nasib baik dengan pertolongan jiran-jiran peti air serta barangan di dalamnya dapat diselamatkan,' katanya.
Khalid berkata, dia bernasib baik apabila air mulai surut jam 11 malam dan walaupun air naik hingga ke paras 0.4 meter di dalam kedainya dia tidak mengalami kerugian besar.
Pemilik bengkel motorsikal, Badri Othman, 40, pula berkata, dia kerugian kira-kira RM20,000 apabila sebuah mesin kompresor dan tiga buah motorsikal ditenggelami air, tidak sempat diselamatkan kerana rumahnya juga dilanda banjir.
Katanya, air naik dengan pantas, manakala dia dan keluarga terpaksa bergelut dengan banjir di rumahnya di Banggol Batu, menyebabkan bengkelnya yang terletak di Taman Kota Tampan tidak sempat diurus.
Seorang peniaga makanan, Mohd Yusri Yacob, 36, terpaksa menghentikan perniagaannya apabila air naik ketika hujan masih turun dan kemungkinan tidak dapat berniaga untuk sekurang-kurangnya dua hari.
Sementara itu, tiga sekeluarga di kampung banggol batu yang sedang menunggu rumah PPRT, bernasib baik dapat menyelamatkan barangan penting di dalam rumah sebelum berpindah ke rumah saudara di kampung sama.
Ketua keluarga, Mohd Mizi Abdul Rani, 28, berkata ketika hujan lebat sejak jam 6 petang, dia, adiknya, Mohd Radzi, 26, dan ibunya Hasnah Abdullah, 64, bergegas memunggah barang-barang penting termasuk barangan elektrik ke tingkat atas rumah.
"Air naik separas 1.5 meter di dalam rumah dan walaupun semua barang-barang sempat diselamatkan, kami tiga beranak terpaksa berpindah bimbang kalau-kalau air naik lagi," katanya.
Mohd Mizi berkata, banjir kali ini adalah yang ketiga melanda rumah mereka pada tahun ini, di mana kali kedua selepas Aidilfitri lalu sepertimana dilaporkan akhbar ini.
Di Mukim Lenggong pula, di pekan Lenggong sendiri kira-kira 10 premis kedai termasuk sebuah kedai motorsikal dan kedai mesin Singer dilanda banjir limpahan air longkang, bagaimanapun tidak ada kerosakan harta benda berlaku.
Di Kampung Sumpitan 40 buah rumah dan dua buah kedai dilanda banjir lumpur mulai lebih dua jam mulai 11 malam akibat limpahan air Sungai Temelong, bagaimanapun tidak ada mangsa dipindahkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan