PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Sabtu, 13 November 2010

Persepsi 'Melayu lemah' mainan politik Umno
Nazri Abdullah

SHAH ALAM, 13 Nov: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar berkata slogan 'Ketuanan Melayu' yang dimainkan Umno dengan menanam persepsi Melayu lemah adalah tidak berasas sama sekali.

Buktinya, kata beliau sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 penguasaan kerusi Melayu di parlimen terus meningkat dari 108 kepada 130 kerusi pada PRU 2008.

"Kita telah tunjukkan dan amat jelas statistiknya bahawa kedudukan politik Melayu dari sudut itu adalah kuat.

"Maka yang sebenarnya sebab Melayu dilihat lemah ini ialah kerajaan Umno BN yang dibentuk selepas PRU 2008 itu," katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Beliau berkata demikian sewaktu membentangkan kertas kerja ‘Umno dan Krisis Ketuanan Melayu’ pada Seminar PAS Ganti Umno, di sini, hari ini.

Katanya, yang lemah bukan Melayu tetapi Umno, khususnya selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Menurutnya, Umno sengaja mewujudkan persepsi tersebut selepas hilang sokongan Melayu pada PRU ke 12.

Ianya ditambah pula dengan beberapa negeri dominan Melayu seperti Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor dikuasai Pakatan Rakyat.

"Krisis politik Umno hari ini mempunyai dua punca utama iaitu masalah ekonomi orang Melayu dan masalah undi orang Melayu," katanya lagi.

Umno, katanya, sedar bahawa dasar baru yang dibuat selepas Dasar Ekonomi Baru (DEB) tamat pada 1990 sehingga kini tidak banyak menaikkan taraf hidup orang Melayu.

Mereka juga sedar bahawa dasar-dasar politik mereka juga sudah tidak dapat diterima Orang Melayu.

Beliau turut menyenaraikan semula 17 bukti Umno pengkhianatan Melayu yang pernah didedahkannya sebelum ini.

Antaranya melemahkan institusi raja Melayu, melemahkan sistem kehakiman, menarik royalti Terengganu dan menyekat royalti Kelantan, memperkenal PPSMI, menarik peruntukan Sekolah Agama Rakyat dan terbaru mahu menggadai tanah Kampung Baru kepada bukan Melayu.

Namun segala krisis Umno itu diterbalikkan dan dituding kepada Pakatan Rakyat sebagai yang bersalah dalam 'permainan politik' mereka.

Beliau memberi contoh bagaimana kerajaan PR Selangor dan Perak menjadi mangsa serangan Umno kerana kedua-dua negeri ini mempunyai adun bukan Melayu lebih ramai khususnya dari DAP dan PKR.

"Ladang ternakan babi di Selangor, walaupun dirancang semasa BN, tetapi digambarkan sebagai projek PR yang dipengaruhi DAP.

"Di Perak, dasar menukar status tanah TOL kepada tanah miilik kepada masyarakat Cina yang berpuluh tahun mendudukinya, dikaitkan sebagai kekuatan DAP dan kelemahan PAS," katanya.

Permainan politik Umno BN juga disifatkannya sebagai berjaya dengan membawa imej sederhana apabila parti-parti pembangkang ditonjol sebagai ekstremis.

Rakyat kini, katanya sedang menilai kredibiliti BN dan akan terus menyokong PR jika PAS, PKR dan DAP mampu membuktikan bahawa mereka boleh duduk bersama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan