PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Selasa, 2 November 2010

November 3, 2010

PRK: BN mungkin rampas Galas, kecundang di Batu Sapi?

Oleh : Mohd Suhaimi Al-Maniri

Ramalan saya supaya pilihanraya kecil DUN Galas, Kelantan dan Parlimen Batu Sapi serentak telah menjadi kenyataan. Pada 4hb. November 2010, pengundi di kedua-dua kawasan berkenaan akan menentukan wakil rakrat mereka yang baru.

Di DUN N45 Galas, pertandingan satu lawan satu antara calon BN (UMNO) dan PR (PAS). BN mengemukakan Abdul Aziz Yusof, Setiausaha UMNO Gua Musang dan PR pula menamakan Dr. Zulkifli Mohamad, Pemangku Yang Dipertua PA Gua Musang. Kerusi ini kosong ekoran kematian Che Hashim Sulaima (PAS).

Sebelum Che Hashim Sulaima (PAS) menawaskan Mohamad Saupi Deraman, calon BN pada pilihanraya umum 2008 dengan kelebihan 646 undi. Sebelum itu, kerusi ini adalah milik BN dan tidak pernah jatuh ketangan pembangkang, melainkan dalam pilihanraya umum tahun 1990 dan 1995 sahaja kepada calon parti Melayu Semangat 46 yang di pimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li.

Malah faktor pengaruh Ku Li turut diakui oleh PAS yang telah ber”kubu” di sini sejak lebih 3 dekad lalu. Sekiranya Ku Li bertanding dalam pilihanraya kecil ini, PAS sanggup untuk tidak bertanding.

Kehebatan Ku Li yang sentiasa dijaja media adalah berjaya merampas Kelantan dari tangan PAS pada tahun 1978 melalui kerjasama UMNO-Berjasa dan kemudian sekali lagi berjaya merampas Kelantan pada tahun 1990 melalui kerjasama PAS-Semangat 46-Berjasa-Hamim.

Tetapi setelah membubarkan Parti Melayu Semangat 46 pada bulai Oktober 1996 dan menyertai UMNO semula pengaruh Ku Li semakin merosot. Dalam pilihanraya umum 2008, Ku Li gagal mengatasi undi yang diperolehi Dr Zulkifli Mohamad, calon PAS di DUN Galas bagi pengundian parlimen Gua Musang.

Kekalahan BN di DUN galas dalam pilihanraya umum lalu bukanlah kerana kekuatan PAS di sini, tetapi lebih kepada faktor masalah dalaman UMNO yang wujud ekoran penyertaan semula Ku Li dan pengikutnya ke dalam UMNO Gua Musang.

Mengikut maklumat yang sampai kepada saya daripada beberapa pihak, peluang PAS dan UMNO dalam pilihanraya kecil ini adalah “50-50” tetapi kelebihan ada pada UMNO kerana kerusi ini merupakan kubu meraka sejak awal lagi.

Sungguhpun begitu peluang Dr Zulkifli memang kerusi ini tetap ada jika beliau berjaya menyakin orang asal dengan perjuangannya untuk membentuk Jawatankuasa Khas Orang Asal dan Urusetia Orang Asal untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang asal di Galas ini.

3 Penjuru di Batu Sapi

Manakala di Palimen Batu Sapi pula berlaku pertandingan 3 penjuru dalam pilihanraya kecil kali ini diantara BN (PBS), PR (PKR) dan bekas komponen BN, SAPP. BN meletakkan balu mendiang Edmund Chong, Linda Tsen Thau Lin (PBS) yang akan bersaing dengan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee (SAPP) dan peguam, Ansari Abdullah (PKR). Kesemua calon ini adalah dari luar Batu Sapi.

Dalam pilihanraya umum 2004, Ir Edmund Chong Ket Wah (PBS) menang tidak bertanding dan dalam tahun 2008, beliau menewaskan calon bebas, Dr Chung Kwong Wing dengan majority 3,708 undi.

Rekod PKR di kerusi ini tidak baik apabila gagal menghantarkan calon mereka dalam pilihanraya umum 2004 dan 2008 yang lepas. Peluang Ansari Abdullah bergantung penerimaan lebih 15,000 pengundi muslim di sini yang menjadi pengundi majoriti kerana pengundi Cina dijangka akan lari kepada Yong Teck Lee, Presiden SAPP.

Malah mengikut maklumat yang disampaikan kepada saya, pengundi-pengundi yang menolak calon BN di sini bersedia memberikan peluang kepada bekas Ketua Menteri Sabah itu mewakili mereka dalam pilihanraya kecil kali ini.

Berdasarkan pemerhatian saya, setelah 11 PRK diadakan selepas PRU ke-12 pada 2008 lalu, Sembilan daripadanya diadakan dalam era pemerintahan Najib Tun Razak. Semuanya kekal kepada status quo, melainkan Kuala Terengganu jatuh kepada PR (PAS), Hulu Selangor kembali kepada BN (MIC) dan Sibu jatuh kepada PR (DAP).

Jika kekalahan BN di Batu Sapi benar-benar terjadi, satu lagi musibah yang akan dihadapi BN Sabah selepas ini setelah BN Sarawak juga sudah tidak semantap dulu lagi bila BN (SUPP) gagal mempertahankan kerusi parlimen Sibu pada Mei lepas kepada DAP.

Adalah lebih baik BN melipatgandakan usaha mempertahankan Batu Sapi dari menumpukan sepenuh perhatian dan usaha mereka merampas Galas. Pilihanraya kecil serentak pada April, 2009 sebelum ini pun menyaksikan BN mengekalkan kerusi DUN Batang Ai, Sarawak, PKR mengekalkan kerusi DUN Bukit Selambau dan PAS mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gantang.

Apa pun, kita tunggu dan lihat keputusan kebijaksanaan pengundi-pengundi DUN Galas dan parlimen Batu Sapi pada 4hb. November, 2010 ini. Apakah kenaikan harga minyak RON97 sebanyak 5 sen mulai 2hb. November semalam memberikan kesan kepada rakyat untuk tidak lagi yakin kepada BN menjaga kebajikan rakyat?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan