PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Sabtu, 10 Disember 2011

1,160 pemimpin PAS lafaz ikrar bai'ah hari ini | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Seramai 1,160 orang pemimpin PAS dari seluruh negara melafazkan ikrar bai'ah memikul tanggungjawab kepada perjuangan parti untuk menegakkan perintah Allah di negara ini, di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Mereka terdiri daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat; Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat; Ahli-ahli Jawatankuasa Jabatan Pilihanraya PAS Pusat; Pengarah dan Setiausaha Jabatan Pilihanraya Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat.

Selain itu termasuk Yang Dipertua dan Setiausaha PAS kawasan-kawasan: Pengarah dan Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS negeri-negeri; Pengarah, Setiausaha dan Ahli-ahli Jawatankuasa Pilihanraya PAS kawasan-kawasan; Pengerusi dan Setiausaha Lajnah Tarbiyah PAS negeri-negeri.

Turut serta Pengerusi dan Setiausaha Lajnah Tarbiyah PAS kawasan-kawasan; Pengerusi dan Setiusaha Lajnah Tarbiyah Dewan Ulama negeri, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS negeri; Pengerusi dan Setiausaha Lajnah Tarbiyah Urusan Ulama kawasan, Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat kawasan dan 10 orang wakil Nisa' negeri-negeri.

Bacaan ikrar bai'ah diketuai oleh Pengarah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dengan diikuti Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, Naib-Naib Presiden dan pemimpin-pemimpin utama PAS lain bersama-sama pemimpin-pemimpin terbabit.

Lafaz baiah tersebut dibacakan sekitar jam 3.30 petang yang berbunyi: "Alhamdulillahi hirabbil alamin, wassalatu wassalam ala asrafil ambiai warmusalin, waala alihi wa sohbihi ajmain, am ma bad ......

"Dengan nama Allah yang telah mengutuskan rasul-Nya Muhammad sallallahu alaihi wasallam, saya dengan ini berikrar dan berbai'ah bahawa saya akan memikul amanah dan tanggungjawab dalam mengikhlaskan diri kepada perjuangan PAS untuk menegakkan agama/perintah Allah subhanahu wataala dan rasul-Nya.

"Saya juga akan sentiasa menjaga dan memelihara semua perkara yang menjadi kerahsiaan urusan dan perjalanan Parti Islam Se-Malaysia (PAS)".

Ikrar bai'ah itu dilafaz dengan Idris, Abdul Hadi, kepimpinan utama parti dan kesemua pemimpin terbabit berdiri sambil tangan memegang kertas yang bercetak kata-kata tersebut, tetapi tidak dengan mengangkat tangan seperti ikrar-ikrar yang dibuat oleh sesetengah pihak.

Lafaz ikrar bai'ah itu dibuat sempena program Ijtimak Tarbawi Pilihanraya anjuran Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat dengan kerjasama Lajnah Politik PAS Pusat di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di KUIZM bermula jam 8.00 pagi tadi.

Ijtimak tersebut dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 9.15 pagi yang turut menyampaikan ucapannya atas tajuk "Teguhkan Jamaah Teruskan Jihad".

Selepas itu, program diteruskan dengan pembentangan kertas kerja pertama oleh Ustaz Idris Ahmad yang bertajuk "Peranan Tarbiyah Kepada Petugas Pilihan Raya".

Kertas kerja kedua pula dibentangkan oleh Bendahari PAS Pusat yang juga dari Majlis Syura, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman yang bertajuk "Jihad dan Penghayatannya - Bertekad Memenangi PRU 13".

Manakala majlis penutupnya disempurnakan oleh Abdul Hadi dengan ucapannya yang berkisar atas tajuk "Kesepaduan Fikrah dan Amal Jamaie Dalam Menghadapi PRU 13".

Sebaik sahaja Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang selesai menyampaikan ucapannya yang juga amanatnya selaku Presiden parti, pengerusi majlis terus menjemput Idris untuk memulakan majlis bai'ah yang dibacakan dengan penuh keikhlasan oleh beliau, Abdul Hadi, kepimpinan utama parti dan kesemua pemimpin terbabit.

Perpaduan suara mereka membuatkan Dewan Datuk Fadzil Noor bukan sekadar bergema dengan janji para pemimpin PAS untuk terus berbakti di jalan Allah, tetapi turut menjadi saksi tentang kesepaduan semangat mereka untuk menempuhi pelbagai halangan dalam usaha mendaulatkan agama Allah di tanah air ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan