PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Jumaat, 9 Disember 2011

Azizan pertahan Nik Aziz tanding pilihan raya | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menyelar pihak tertentu yang cuba mempertikai hasrat Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk terus bertanding pilihan raya.

Katanya, mana-mana pihak luar tidak wajar campur tangan terhadap hasrat Menteri Besar Kelantan itu, sebaliknya menyerahkan kepada rakyat negeri itu untuk membuat pilihan.

"Saya sokong sepenuhnya jika beliau mahu bertanding lagi pada PRU13.

“Kepimpinan beliau masih diperlukan sama ada dalam PAS atau pun di Kelantan. Malah parti sendiri tidak pernah bangkitkan isu itu. Desakan datang daripada pihak luar," katanya dipetik Sinar Harian.

Tambahnya lagi, tiada sebab untuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz berundur ekoran beliau juga masih kuat untuk mentadbir negeri itu.

“Kalau beliau masih mampu tadbir negeri dan rakyat masih sokong beliau untuk jadi Menteri Besar, tiada salahnya untuk beliau bertanding semula pada pilihan raya akan datang.

"Malah jika beliau yakin boleh menang, tiada sebab untuk tidak jadi calon,” petik akhbar berbahasa Melayu itu lagi.

Selasa lalu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, berkata, tidak ada sebab untuk beliau berundur seperti desakan beberapa perwakilan semasa perhimpunan agung Umno baru-baru ini.

Malah, beliau berikrar akan tetap bertanding pada PRU13 kerana mahu terus berlawan dengan Umno.

Nik Abdul Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan pada 1990. Pada PRU 2008, beliau mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Chempaka, dengan mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar, dengan majoriti 4,249 undi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan