PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Selasa, 13 Disember 2011

54 kerusi parlimen BN di felda tergugat | Print |
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 14 Dis: Peneroka Felda di seluruh negara memberi amaran akan melakukan "transformasi politik" pada pilihan raya umum ke-13 yang akan memberi kesan buruk kepada Umno BN.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Mazlan Aliman berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mesti menarik balik cadangan menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke dalam Bursa Malaysia (BSKL) jika benar-benar mahu membela kepentingan warga Felda.

Justeru Mazlan berkata, pihaknya sedang menunggu jawapan positif daripada pejabat Perdana Menteri mengenai surat permohonan untuk bertemu Najib pada 20 Disember ini.

Pertemuan itu bagi menuntut Najib memecat Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda yang didakwa menyebabkan "huru-hura" dalam pengurusan Felda dan mengekalkan kedudukan Datuk Dzulkifli Abd Wahab sebagai Pengarah Besar Felda.

Tuntutan agar Isa dipecat juga kerana beliau dilihat sangat bersungguh-sungguh mahu FGVH disenaraikan ke BSKL, diyakini untuk mengaut keuntungan bagi kroninya dalam pada aset peneroka akan tergadai.

Sementara itu, arahan bercuti terhadap Dzulkifli, kata Mazlan merupakan cara untuk menyingkirkan beliau kerana dianggap sebagai penghalang usaha Isa untuk penyenaraian FGVH.

"Kami bersedia berdepan dengan golongan pengkhianat ini. Mereka adalah penjajah moden yang mahu merampas hak rakyat.

"Perdana Menteri mesti ada pendirian tegas dan meraikan warga Felda yang selama ini sabgai setia kepada kerajaan Umno BN. Jika tidak, pengundi Felda di 54 kerusi Parlimen dan 92 Dun bersedia membuat "transformasi politik" yang bakal menggegarkan keputusan pilihan raya ke-13 nanti," kata beliau selepas menyerahkan memorandum menyokong Dzulkifli di Ibu Pejabat Felda, Jalan Gurney, dekat sini, semalam.

Mazlan menegaskan, apa yang dibimbangi peneroka ketika ini adalah mengenai masa depan Felda yang semakin malap apabila FGVH disenaraikan di BSKL kerana 360,067 hektar tanah milik mereka akan dicagarkan kepada FGVH selama 99 tahun.

"Bukan itu sahaja, proses penyenaraian FGVH akan melibatkan Felda menjual kesemua sahamnya dalam FGVH. Sebab itulah Datuk Dzul menentang usaha penyenaraian ini dan peneroak tetap setia di belakang beliau," kata Mazlan.

Tambah memburukkan keadaan, tanah-tanah kosong di Felda yang selama ini dimanfaatkan untuk tanaman kontan, industri kecil, perumahan generasi kedua Felda dan projek hiliran akan menjadi milik FGVH.

Tanah yang dipohon pada masa hadapan juga menjadi hak FGVH bersimbolkan Felda manakala FGVH akan berkuasa penuh dengan istilah "diberi kenikmatan aman sentosa".

"FGVH mendapat hak kawalan mutlak ke atas tanaman, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya yang sedia ada dan pada masa depan termasuk mengenai jenis kontrak jual beli hasil dan harga.

"FGVH juga akan mengendalikan aktiviti menanam semula dan menerima segala insentif daripada kerajaan serta menyelenggara dan membina infrastruktur yang diperlukan. FGVH bakal menelan Felda," tegas Mazlan yang disertai 50 wakil peneroka daripada beberapa Felda yang hadir memberikan sokongan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan