|     KUALA LUMPUR, 28 Dis:  Kisah seorang pembantu rumah Indonesia dirogol oleh majikannya yang  merupakan seorang menteri bermula apabila sebuah badan kebajikan dan hak  asasi manusia, Migrant Care, menerima sepucuk surat aduan daripada adik  mangsa.  Surat tanpa tarikh (gambar) yang ditaip dengan mesin  taip biasa itu mendakwa kakaknya yang bernama Robengah telah diperkosa  oleh seorang menteri kerajaan Malaysia beberapa kali.  "Kakak saya telah diperkosa oleh majikannya Pak Menteri beberapa  kali. Hingga satu hari tanggal 19/02/07, kuasa Allah perbuatan kejinya  itu telah terlihat oleh Datin isterinya yang sangat baik melayan semua  pembantu rumah. Datin telah hantar kakak saya pulang ke Indonesia  keesokannya, tanggal 20/02/07," cerita adik mangsa kepada badan yang  menjaga kebajikan pekerja Indonesia yang bekerja di luar negeri itu.  Melalui surat inilah, Migrant Care telah menyiasat laporan ini  dengan  menghantar tiga sukarelawannya ke rumah Robengah yang terletak  di Banjarnegara, Jawa Tengah, Indonesia.  Migrant Care adalah Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran  Berdaulat (Member of Migrant Forum in Asia and International NGO  Platform on Migrant Workers' Convention) yang beralamat di Jl. Pulo Asem  I C No 15 RT 015 RW 001 Jati, Jakarta Timur 13220 Indonesia.  Banyak kes yang berjaya diselesaikan oleh mereka dalam menjaga  kebajikan pekerja Indonesia di Malaysia. NGO ini juga membantu rakyat  Malaysia yang ingin mencari saudara mara mereka di Indonesia sebagaimana  yang berlaku kepada keluarga Azreen Che Ishak, gadis dari kampung Sawah, Rantau, Negeri Sembilan yang dibawa ke Lombok, Indonesia.  Perjalanan ke Banjarnegara pada 24 Julai 2007 merupakan satu  perjalanan yang panjang bagi para sukarelawan ini. Ia bermula sehari  sebelum itu lagi apabila mereka bertolak dari Jakarta ke Jawa Tengah  pada 23 Julai. Namun, demi tugas, mereka ke sana untuk mengesahkan  laporan yang mereka terima itu.  Perjalanan ke Banjarnegara  Ketika dalam perjalanan, mereka terngiang-ngiang kata-kata rayuan  adik mangsa rogol ini yang meminta kasihan belas agar kehormatan wanita  Indonesia ini dibersihkan.  "Tolong kami Pak. Bersihkan kehormatan wanita Indonesia yang mencari  rezeki buat anak-anak yang sekolah. Apakah memperkosa pembantu rumah  pekerja asing yang tak bisa baca dan tak bisa tulis, adalah satu budaya  orang kenamaan di Malaysia," rayu adik mangsa dalam surat aduan itu.  Melalui alamat yang diberikan adik mangsa itu, mereka berjaya menemui  Robengah yang sedang sibuk mempersiapkan makanan untuk pekerja yang  sedang mempersiapkan rumah baru mereka.  Mereka ke sana untuk mendapatkan cerita sebenar dari mangsa sendiri.  Ini kerana, surat aduan itu penuh keyakinan kakaknya akan ceritakan  segala-galanya.  "Kakak saya akan ceritakan segala-galanya. Saya sertakan foto  majikannya bersama kakak saya yang berdiri disebelahnya (bertudung biru)  bersama pembantu rumah yang lain dan Datin isterinya," cerita surat  aduan itu lagi.   Namun mereka bertiga juga teringat pesan adik mangsa itu. Ini kerana,  beliau bimbang kes yang berlaku kepada wanita Monggolia, Altantuya  Shariibuu berulang kepada kakaknya.  "Tolong bapak rahsiakan alamat kakak saya kerana Pak Menteri itu  punya banyak wang dan kenalan di Indonesia. Khuatir nanti keluarga kakak  saya akan diapa-apakan seperti kasus Altantuya di Malaysia," tulis adik  mangsa itu lagi.  Mereka bertiga sampai di rumah Robengah kira-kira jam 11 pagi. Namun,  suasana yang ada tidak membolehkan isu pemerkosaan ini ditanya terus  kepadanya sehingga jam lewat petang. Ini kerana suami serta dua anaknya  sentiasa berada di sisinya.  Mereka hanya berjaya mendapat sejarah kerja Robengah di rumah  majikannya di Kuala Lumpur selama lapan tahun itu. Dalam pada itu,  mereka juga sempat bergambar bersama.  Pengakuan Robengah  Namun, selepas pulang ke rumah salah seorang dari mereka iaitu  kira-kira jam 8.30 malam, mereka menelefon Robengah melalui anaknya.  Dalam perbualan telefon itulah, Robengah mengaku diperkosa  majikannya. Tetapi beliau meminta sangat-sangat isu pemerkosaan itu  tidak diperbesarkan kerana dia malu dan takut.  Maklumlah, dia hanya orang kecil sedangkan Pak Menteri itu orang besar dan berpengaruh.  Suami Robengah juga menelefon mereka semua supaya isu ini tidak  diperbesarkan dan menganggap ini adalah satu cobaan untuk keluarganya.  Pada 26 Julai sekali lagi para sukarelawan ini menelefon Robengah melalui ibu pejabat mereka di Jakarta.  Robengah kali ini juga meminta agar ia tidak diperbesarkan namun dia  mengesahkan telah diperkosa menjelang pulang ke kampung halamannya.  Menurut adiknya, kali terakhir Robengah diperkosa pada 19 Februari  2007 dan kejadian ini telah terbongkar apabila dilihat sendiri oleh  isteri menteri ini.  Robengah kemudiannya telah dihantar pulang oleh isteri menteri itu pada keesokan harinya iaitu pada 20 Februari 2007.  Kenyataan media  Selepas membuat penyiasatan dan menemubual mangsa inilah, Migrant  Care telah mengeluarkan satu kenyataan media pada 1 Ogos 2007. Ia telah  ditandatangani oleh tiga orang iaitu Wahyu Susilo (Policy Analyst), Anis  Hidayah  (Executive Director) dan Alex Ong (Country Director).  Kenyataan ini telah disiarkan kembali oleh Tenaganita, sebuah NGO hak  asasi pekerja pada  26 Disember baru-baru ini selepas dokumen siasatan  kes ini didedahkan oleh WikiLeaks.  Dokumen siasatan kes pemerkosaan ini dikatakan telah sampai ke  kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, kedutaan Amerika di Jakarta dan  pejabat Perdana Menteri ketika Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad  Badawi adalah Perdana Menterinya.  Berdasarkan dokumen dari kedutaan Amerika inilah WikiLeaks  mendedahkan kembali kes ini kerana dokumen yang didedahkan oleh  WikiLeaks semuanya daripada dokumen yang bocor dari Amerika.  Pendedahan ini kemudiannya diangkat oleh blogger Rocky Bru (Ahirudin  Atan), pemimpin akhbar The Malay Mail, dalam blognya baru-baru ini.  Bermula dari situlah Harakahdaily menyiasat kes ini dan mendapat  cerita ini. Menurut maklumat awalnya, menteri ini sudah bersara tetapi  selepas disiasat rupanya menteri ini masih kekal dalam kabinet Datuk  Seri Najib Razak sekarang.     LAPORAN BERKAITAN  Siapakah menteri rogol amahnya?  Menteri rogol amah tetapi selamat  |