PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Khamis, 2 Disember 2010

Tangguh: Najib tidak jamin kekal Presiden Umno
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 2 Dis: Alasan Datuk Seri Najib Razak bahawa pemilihan Umno ditangguhkan kerana mahu menumpukan kepada pemantapan parti dilihat sebagai pengakuan krisis Umno belum selesai.

Sambil tidak menolak ianya signal Pilihan Raya (PRU) 13 sudah hampir, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, alasan Presiden Umno itu juga menggambarkan ketakutan untuk berdepan perpecahan teruk jika berlaku pemilihan.

"Ini menunjukkan Umno masih alami krisis kepimpinan dalaman.

"Najib merasakan dia sendiri tidak ada jaminan akan kekal Presiden Umno," kata Mahfuz kepada Harakahdaily hari ini.

Ditanya apa asas dakwaan itu, beliau berkata Najib sekarang merasakan wujudnya ancaman dari timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin katanya dilihat 'lebih Melayu' lebih-lebih lagi beliau turut menyokong perjuang Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berbanding Najib.

Pendirian dan imej timbalan presiden Umno itu juga jelasnya dilihat lebih 'serasi' oleh ahli Umno untuk mengetuai parti itu.

Lebih besar katanya, Najib juga sedar tentang wujudnya kumpulan yang mahu veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah kembali ke persada politik Umno.

Ianya berlaku selepas ahli parlimen Gua Musang itu berjaya membawa kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas, November lalu.

Biarpun meletakkan asas tersebut, beliau juga tidak menolak kemungkinan akan berlakunya PRU 13 tahun hadapan.

Sehubungan itu, Pakatan Rakyat tegasnya perlu bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan pilihan raya.

"Semua pihak dalam Pakatan Rakyat perlu buat persiapan menghadapi PRU.

"Saya kira ini juga petanda jelas PRU 13 sangat hampir," katanya.

Najib semalam memberitahu pemilihan Umno bagi peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi (MT) yang dijadualkan diadakan pada tahun depan ditangguhkan selama 18 bulan.

Katanya, keputusan bersama itu dibuat bagi membolehkan Umno memberi tumpuan kepada proses pemantapan dan pemulihan parti berdasarkan Model Politik Baru iaitu bagi memastikan kelangsungan Umno sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan