PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Rabu, 25 Mei 2011

Lapor polis jika terima VCD lucah fitnah
Khaulah Azwar

RAWANG, 25 Mei: Pakatan Rakyat di Rawang menyelar tindakan yang dilakukan oleh pihak tertentu yang telah menghantar 3 keping salinan VCD seks bersiri dengan risalah lucah dalam bahasa Melayu.

“Kami telah membuat laporan polis di IPD Rawang pagi tadi dengan tujuan meminta pihak polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang melakukan kerja penyebaran risalah berunsurkan lucah dan fitnah ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Gan Pei Nei.

Turut bersama beliau beberapa orang Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sekitar Dun Rawang.

Menurutnya, VCD seks tersebut telah diterima lima pengerusi JKKK Kampung Baru Cina dalam daerah Gombak, manakala bahan sama diterima di dua kampung kawasan Melayu.

Katanya, risalah itu adalah bertujuan untuk memburukkan Datuk Sri Anwar Ibrahim dan mereka ingin rakyat tahu kononnya watak dalam VCD itu adalah Ketua Pembangkang.

“Kita yakin rakyat tidak semudah itu mempercayai rakaman tersebut yang sudah pasti pelakunya bukan Anwar,” ujarnya.

Beliau sudah membuat semakan kiriman VCD tersebut di mana pengirimnya dari Shah Alam dan telah diberikan kepada JKKK Kampung Baru Daerah Gombak yang melibatkan 5 kawasan.

“Kiriman tersebut telah kami terima pada hari Isnin, 23 Mei 2011. Manakala bagi Kampung Melayu, Rawang pula kiriman tersebut daripada Melaka yang telah diterima 24 Mei,” katanya.

Beliau yakin kiriman yang diterima itu daripada orang yang sama yang merupakan konspirasi yang amat teruk dengan tujuan untuk mempengaruhi rakyat.

Katanya, perbuatan yang tidak mendatangkan manfaat itu sudah pasti boleh merosakkan minda rakyat dan menjadi kebimbangan jika pelajar-pelajar sekolah melihat VCD lucah itu.

"Kita harap pihak polis memandang serius isu ini. Tindakan undang-undang tegas perlu diambil terhadap mereka yang melakukan kerja-kerja penyebaran dan membuat VCD lucah ini.

“Saya harap rakyat yang telah menerima VCD lucah ini perlu membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan