PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Sabtu, 7 Mei 2011

Persiapan PRU 13 agenda penting muktamar
Hazayani Zakaria

GOMBAK, 7 Mei: Kekuatan PAS mesti diterjemahkan dalam pilihan raya umum ke-13 dan persiapannya harus dijadikan agenda penting untuk dibincangkan dalam muktamar parti Jun ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS harus memenangi pilihan raya umum kerana ianya akan mempengaruhi keyakinan rakyat terhadap parti itu dan ianya merupakan cabaran yang harus dipikul oleh semua pimpinan dan ahli parti.

"Cabaran dalam muktamar kali ini, bagaimana PAS nak perkukuhkan persiapan untuk menghadapi PRU ke-13. PAS parti yang paling lama, paling banyak pengalaman, cawangan banyak, ahli banyak tapi data yang ada tak mencukupi kalau tak diterjemahkan dalam konteks pilihan raya.

"Kemenangan pilihan raya jadi ukuran dalam konteks politik. Memanglah dalam Islam kita menang ke kalah kita kena istiqamah,tapi umum menilai kita bergantung kepada pencapaian dalam pilihan raya.

"Jadi kalau kita masuk pilihan raya tiba-tiba pencapaian kita rendah,akan ada kesan politik dan mempengaruhi keyakinan rakyat," kata beliau ketika ditemui selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) ke-28, dekat sini, hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut berkata, muktamar kali ini juga harus memberi tumpuan kepada strategi memperkukuhkan peranan PAS dalam Pakatan Rakyat kerana PAS dikenali sebagai parti yang menjadikan Islam sebagai dasarnya.

"Bagaimana kita nak perkukuhkan peranan PAS dalam Pakatan Rakyat.Kita tak mahu kita hanya menumpang tapi kena bersama menerajui perubahan dan kepimpinan dalam Pakatan.

"Ini cabaran besar kerana terdapat isu-isu yang dibangkitkan berkaitan agama dan melibatkan hukum yang merupakan cabaran kepada pemimpin-pemimpin PAS," katanya.

Menurutnya juga, PKR dan DAP akhir-akhir ini turut menerima serangan yang teruk daripada BN dan PAS sebagai parti Islam pula sering diserang berkaitan pendekatan Islam yang dibawa.

"Kita lihat sekarang cabaran dalam PKR, Datuk Seri Anwar (Ibrahim) kena serang teruk dengan beberapa ahli lompat parti.

"DAP pula berhadapan dengan cabaran untuk meluaskan pengaruh untuk keluar daripada orang Cina sahaja.

"Jadi PAS dilihat dalam pendekatan agama.Jadi kita tak nak lihat pendekatan agama dalam konteks yang negatif.

"Kita tak tegaskan agama yang PAS bawa bukan tertutup tapi agama sebagai rahmat kepada seluruh alam samaada kepada orang Islam atau bukan Islam.

"Kita kena terjemahkan supaya orang bukan Islam tidak melihat PAS ini sebagai ancaman. Tapi kalau pendekatan PAS sendiri agak tetutup, menyebabkan mereka salah anggap terhadap PAS," katanya juga.

Tambahnya lagi, PAS menafikan kekalahan mereka di kesemua kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak disebabkan orang bukan Islam menolak dasar Islam yang dibawa.

"Ada orang cuba kaitkan kekalahan PAS di Sarawak kerana dasar Islam yang kita bawa tapi kita bantah.

"Kita dapat dokongan daripada orang Kristian.Mereka bawa kita ke rumah panjang dan bersama-sama kita dalam kempen. Jadi kita tak ditolak kerana agama.

"Ini yang perlu kita yakinkan masyarakat dan PAS perlu bersama dalam arus perubahan politik negara," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan