PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Sabtu, 4 Jun 2011

Mohamad Sabu nafi laporan ulama tewas
Ismail Hashim dan Aziz Muda

GOMBAK, 4 Jun: Ceramah malam akhir Muktamar Tahunan PAS ke 57 di Taman Melewar, dekat sini mendapat sambutan memberangsangkan.

Suasana meriah dan sesak dengan ribuan hadirin menggamit kenangan makmurnya pusat tarbiyah sekitar 10 tahun lalu.

Kini bangunan pusat tarbiyah ini telah bertukar wajah dengan penampilan moden sesuai dengan kehendak semasa.

Di sinilah terletaknya Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) yang telah memulakan sesi pengajian tidak lama sebelum ini.

Ada pandangan menyatakan, jika sesuatu majlis ceramah itu diadakan di Taman Melewar mendapat sambutan menggalakan berbanding tempat lain di sekitarnya.

Dikatakan juga Taman Melewar mempunyai ruh perjuangan yang hebat kerana itulah anggota masyarakat dari semua tempat datang jika sesuatu itu dibuat di situ.

Mohamad Sabu nafi Berita Minggu

Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menafikan tajuk muka hadapan Berita Minggu yang meletakkan tajuk Ulama Tewas di muka hadapan.

Katanya, PAS sejak dahulu bukan sahaja menghormati ulamak bahkan golongan agama itu diletakkan dalam tertinggi, Majlis Syura Ulamak untuk memandu parti.

Berbanding Umno, tegasnya, yang hanya meletakkan agama di dalam sebuah biro sahaja sama seperti biro sukan, belia dan pertanian.

Sambil ketawa kecil, Haji Mohamad berkata, sejak bila Umno hendak pada ulamak melainkan mereka hanya berdusta semata.

"Kita tak menolak ulama, malah kami tetap menyanjungi ulama sejak dulu lagi," demikian tegas Timbalan Presiden PAS yang baru, Mohamad Sabu.

Sehubunan itu, Umno diminta berhenti dari membuat tuduhan tidak berasas terhadap ahli-ahlli PAS dengan mengatakan mereka menolak golongan ulama, ekoran kekalahan beberapa orang bertaraf ustaz bagi pertandingan jawatan Timbalan dan Naib Presiden PAS dalam Muktamar PAS Ke-57.

Menurut Mohamad Sabu, Umno tidak perlu berlagak baik dengan memperlihatkan mereka menyanjungi ulama kerana para pemimpin Umno sudah diketahui umum dengan sikap buruknya selama ini yang memperlekehkan golongan ulama.

Katanya, para pemimpin Umno tidak perlu membuat tuduhan yang bukan-bukan terhadap ahli-ahli PAS dengan kemenangannya bagi jawatan Timbalan Presiden PAS kerana ia tidak langsung membawa maksud itu dalam PAS.

"Sebaliknya, saya dan ahli-ahli PAS yang lain tetap menyanjungi ulama sejak dulu sejajar dengan dasar parti yang kami perjuangkan," katanya.

Di dalam ceramah sama, Mohamad berkata, jangan diharapkan kepada Umno untuk menjaga agama di negara ini.

Kami dididik ulama - Husam

Sementara itu, Naib Presiden PAS yang baru, Datuk Husam Musa dalam ceramahnya di tempat yang sama antara lain turut mengatakan perkara yang sama dengan Mohamad Sabu.

Menurut Husam, tuduhan yang dibuat oleh Umno itu ternyata tidak berasas kerana beliau, Mohamad dan rakan-rakannya yang lain tetap tidak akan lari dari bernaung di bawah kepimpinan ulama selagi berada dalam PAS.

"Tuduhan yang dibuat oleh Umno itu ternyata datangnya dari orang yang terdesak dan kehabisan modal.

"Dalam masa yang saya, PAS akan menjadi bertambah kuat di bawah kepimpinannya sekarang yang pasti akan terus dididik oleh golongan ulama," tegasnya.

Manakala dua lagi Naib Presiden yang terus dipilih oleh para perwakilan PAS memegang jawatan itu, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub, dalam ceramah mereka di tempat yang sama malam tadi antara lain turut memperkatakan perkara yang sama.

Mereka sepakat untuk terus memperkuatkan PAS dengan barisan kepimpinan baru bersama golongan ulama dengan serangan lebih berbisa terhadap Umno BN, bagi membolehkan PAS dan Pakatan Rakyat melangkah ke Putrajaya menerusi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan