PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Jumaat, 27 Julai 2012

Dr. Mashitah Ibrahim Mengakui Mahathir Halang Pelaksanaan Hudud Di Kelantan?

Nasrudin Hassan Tantawi tetap mengatakan bahawa Karpal Singh sudah berlembut pendirian mengenai pelaksanaan hukum hudud dan boleh berbincang dengan Pas mengenainya. Karpal bertegas bahawa ini tidak benar dan pendiriannya tidak berubah sejak dahulu lagi. Siapa bercakap benar dan siapa berbohong? Logiknya tentulah tuan empunya badan (Karpal) lebih mengetahui hati, fikiran dan pendiriannya sendiri. Apa yang jelas daripada perbalahan Ketua Pemuda Pas dan Pengerusi DAP ialah polemik hukum hudud antara keduadua parti ini tetap meruncing walaupun sudah berlarutan 20 tahun.
Lebih jelas ialah tuduhan bahawa Umno sebagai punca kerajaan Pas tidak boleh melaksana hukum hudud di Kelantan adalah tidak benar. Sejak 1993-94, Pas menuduh Kerajaan Persekutuan sebagai penghalang Kanun Jenayah Syariah II yang dalamnya terkandung hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.
Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat rupanya masih trauma dengan kandungan surat Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kononnya mengancam akan mengambil tindakan jika Pas meneruskan hajat mereka itu.
Tapi itu dua dekad lalu. Tun Dr Mahathir sudah lama bersara dan tidak berkuasa lagi. Apa lagi yang nak ditakutkan? Jika berani kerana ALLAH, kenapa takut kepada manusia?
Hakikat sebenarnya ialah cabaran Pas dalam usaha melaksanakan hudud kerana tentangan kuat dan total DAP, bukan Umno. Ketika enakmen ini dibawa ke Dun Kelantan pada 1994, kesemua 36 Ahli Dewan yang hadir telah menyokong, termasuk dua Adun Umno iaitu Wan Mohd Najib Wan Mohamed (Limbongan) dan Nordin Salleh (Sg Pinang).
Yang tidak mengundi ialah Nik Aziz, sebab berada di hospital. Baru-baru ini, apabila seorang wakil rakyat Umno mencadangkan Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hudud memandangkan Kelantan gagal, saya turut menyokong cadangan itu.
Dalam hal ini, pendirian Umno konsisten. Kita menyokong hukum ALLAH. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Hindarilah hukum selama kamu masih menemui alasan untuk menghindarinya.”(Riwayat Ibn Majah) Daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tolaklah hukum terhadap Muslimin selama kamu boleh maka jika ada jalan keluar lepaskanlah dia, sebagai seorang imam atau hakim itu jika keliru dalam memberikan ampunan, adalah lebih baik daripada keliru menjatuhkan hukuman.” (Riwayat Tarmidzi) Umno berpendirian bahawa rakyat perlu diberi penjelasan dahulu serta cukup kepakaran dan prasarana sebelum melaksanakan hukum ini.
Beberapa prinsip asas ini saya ulas dengan panjang dan boleh ditonton dalam YouTube. Sebaliknya, DAP bermatimatian menentang pelaksanaan hudud.
Kenyataan Karpal bahawa Pas kena langkah mayat dia dulu adalah yang paling diingati dan masih dirujuk sehingga ke hari ini.
Karpal pernah minta Yang di- Pertuan Agong guna kuasanya di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan untuk mendapat pandangan Mahkamah Agung sama ada Perlembagaan boleh dipinda untuk membolehkan pelaksanaan undang-undang hudud ke atas bukan Islam.
Lim Kit Siang berpendapat hukum hudud tidak demokratik dan bercanggah dengan hak asasi manusia. Katanya, Pas tidak menghormati hak bukan Islam.
Bangkangan DAP berjaya sehingga Pas tidak berani memasukkan agenda negara Islam dan hukum hudud dalam manifesto pilihan raya pembangkang.
Pemimpin pembangkang lain termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya berhati-hati apabila bercakap pasal hudud dan lebih selesa ia tidak dibangkitkan.
Beberapa ilmuwan dan tokoh perundangan Islam juga berpendapat bahawa undangundang hudud yang didrafkan oleh Pas banyak kelemahannya. Tan Sri Ahmad Ibrahim berkata hudud Pas bukan sahaja bercanggah dengan
Perlembagaan malah dengan pandangan Mazhab Shafiedan Hanafi. Prof Datuk Dr Mahmud Saedon Awang Othman berkata hukum hudud di Kelantan tidak lengkap, sempit dan boleh mengundang pelbagai masalah.
Prof Mohd Hashim Kamali, Prof Dr Syed Hussein Alatas, Datuk Zaid Ibrahim dan Dr Chandra Muzaffar semuanya pernah mengeluarkan pendapat menentang hudud ala Pas.
Misalnya, undang-undang hudud di Terengganu ketika Pas memerintah (1999-2004) tidak  sama dengan hudud di Kelantan.
Manakala, Pas Kedah pula beri pelbagai alasan tidak boleh melaksana hudud di negeri itu, termasuk mahu menunggu Kelantan melaksanakannya dahulu. Walaupun ternyata tidak mampu, Pas masih menjajakan isu ini sebagai bahan kempen dalam ceramah, terutama bila tiba musim pilihan raya.
Soalnya: jika benar nak laksana, bagaimana Pas nak bendung bantahan DAP (dan PKR) dalam keadaan Pas adalah parti terkecil dari segi kerusi dan pengaruh dalam PR? ~sinarharian
Addin :
Kita tidak pelik apabila non muslim tidak mahu laksanakan hudud.. tapi yang peliknya  dan lebih malang apabila seorang yang mengakui muslim, mengucapkan syahadah serta mengakui Malaysia negara Islam tetapi masih tidak mahu laksanakan hudud.. Walaupun sudah 55 tahun memerintah tetapi masih bermain wayang..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan