500,000 pekerja Bangladesh layak ke Malaysia
Harakahdaily, | 18 Nov 2013 |
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh Norlin Othman berkata sejak Malaysia dan Bangladesh menandatangani perjanjian persefahaman pengambilan pekerja asing dalam sektor perladangan pada hujung tahun lepas, kira-kira 1.4 juta rakyat Bangladesh mendaftar untuk bekerja di Malaysia.
"Setelah membuat tapisan, hanya 500,000 yang layak kerana terdapat permohonan yang tidak memenuhi kelayakan seperti usia yang terlalu tua dan terlalu muda," katanya kepada pemberita Malaysia di sini.
Norlin berkata ada juga permohonan yang ditolak kerana terlebih kelayakan seperti siswazah.
Namun, pihaknya hanya menerima 10,000 permintaan untuk pekerja perladangan daripada majikan di Malaysia.
Mengikut rekod, kira-kira 320,000 pekerja Bangladesh bekerja secara sah dalam pelbagai sektor di Malaysia ketika ini.
Sejak 2010, rakyat negara ini yang bekerja di Malaysia menghantar pulang wang sebanyak RM3 bilion, jumlah tertinggi berbanding pekerja Indonesia (RM2.9 bilion), Nepal (RM1.9 bilion), India (RM625 juta) dan Filipina (RM561 juta).
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada di sini untuk lawatan rasmi sulung beliau mulai 17 Nov hingga 19 Nov.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya Sheikh Hasina hari ini bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Bangladesh. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan