Penyokong Manchester United Mai Sini Jap!! Baca Ni..
Assalamualaikum ustaz, saya
adalah salah seorang peminat bola sepak dunia.. saya meminati banyak
pasukan Eropah. ini kerana ada lambang Salib Setan .. saya mahu tahu
adakah saya sebagai seorang muslim boleh memakai jersi tersebut.
Saya
hanya meminati pasukan tersebut, sekiranya tidak boleh dipakai, adakah
dalil yang melarang kita memakainya. Saya ada berbincang bersama rakan -
rakan, mereka beritahu saya bahawa kita boleh memakai asalkan kita
tidak mengagungkan lambang tersebut. Saya memang ragu - ragu dalam hal
ini. Tolonglah selesaikan masalah saya ini ustaz. sekian, wassalam.
JAWAPAN
Wa'alaikumussalam,
Apa-apa sahaja logo jika adalah
benar-benar sebuah lambang salib, ia tidak boleh dipakai sama ada di
baju atau lainnya bagi seorang Muslim. Kerana penganut Islam tidak
dibenarkan mengiklankan sebarang perkara yang bertentangan dengan Islam.
Dalilnya adalah cukup mudah iaitu firman Allah:-
وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلإِثْمِ وَٱلْعُدْوَانِ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
Ertinya : dan jangan
tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu
kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya ( Al-Maidah : 2)
Imam Ibn Kathir ketika
menafsirkan ayat ini membawakan sebuah hadis yang menjelaskan lagi
larangan member apa jua bantuan sama ada tersirat dan tersurat kepada
hal ehwal yang bertentangan dengan aqidah dan hukum Islam. Hadisnya
ومن دعا إلى ضلالة كان عليه من الإثم مثل آثام من اتبعه إلى يوم القيامة ، لا ينقص ذلك من آثامهم شيئا
Ertinya : Barangsiapa yang
menyeru atau mengajak ke arah sesuatu yang sesat (dosa), dia akan
menanggung dosanya sebagaimana dosa-dosa orang yang mengikuti ajakan dan
seruannya sehinggalaha hari kiamat, tidak terkurang dosa itu walau
sedikit ( Riwayat Muslim & Ibn Majah )
RED DEVIL, CARLSBERG & CHEVROLET
Jika ia bukan lambang salib,
tapi hanya dirasakan sebagai salib hasil imaginasi sendiri, maka tiada
masalah untuk memakainya, contohnya seperti kereta Chevrolet. Lambang
kereta ini, seseorang individu mungkin menganggapnya sebagai salib namun
individu yang lain mungkin merasakan sebaliknya termasuk orang kristian
sendiri. Apapun, jika seseorang itu secara tidak dapat dikawal sentiasa
terbayang merasakan ia lambang salib, tatkala itu, elok ia dijauhi
juga. Namun, dalam konteks biasa, logo kereta tersebut bukanlah salib.
Satu persoalan berkaitan adalah lambang Red Devil pada logo Manchester United.
Walaupun hakikat sebenarnya kita
tidak tahu bentuk Syatitan yang sebenarnya, namun apabila manusia telah
membuat imaginasi tersendiri berkenaan bentuk Syaitan, menamakannya
sebagai Devil dan diterima umum sebagai satu lambang Devil. Tatkala itu
lambang Red Devil yang berada di logo Manchester United juga termasuk
dalam antara logo-logo yang TIDAK BOLEH, diiklankan dan disyiarkan
(ditayang dan dibanggai) oleh seorang Muslim sama ada ditampal di
dinding mahupun digunakan di atas pakaiannya.
Justeru, apa-apa logo jika telah
diterima umum sebagai satu lambang syaitan, kemungkaran, kejahatan,
heavy metal dihiasi amalan dan perbuatan kesyaitanan seperti (Black
Metal). Logo itu telah menjadi haram untuk digunapakai.
Berbalik kepad Red Devil, jika
ia benar-benar membawa imej umum sesuatu yang bersifat kesyaitanan, atau
apa-apa aktiviti kesyaitanan dan dosa. Tatkala itu sudah termasuk dalam
kategori Black Metal dan sememangnya tidak terlepas dari hukum haram.
LOGO MANCHESTER UNITED HARUS DAN MAKRUH BILA ?
Tetapi jika imej kesyaitanan dan
aktviti dosa besar seperti Black Metal tersebut tidak berkait dengan
Red Devil, kerana ia lebih membawa imej umum kepada hal bola sepak dan
sukan, tatkala itu ia masih boleh digunakan.
Begitu juga jika ada individu
tertentu boleh menyongsang arus lalu mendakwa ia berjaya mengelakkan
hati dan pemikirannya dari mengakui ia sebuah lambang syaitan, dan kekal
merasakan ia hanya sebuah lambang kumpulan bola sepak terkenal dunia
yang tiada kaitan dengan syaitan atau sepertinya, tatkala itu BOLEH dan
DIHARUSKAN baginya untuk memakainya.
Walaupun begitu, jika ia boleh
menimbulkan fitnah di kalangan orang lan yang melihat, sehingga pemakai
dianggap selaku menyokong sesuatu yang diharamkan, hukum HARUS berubah
kepada makruh. Kesimpulannya, dalam hal Red Devil, hukum boleh jadi
berbeza-beza kerana kepercayaan, keyakinan si pemakai dan orang yang
melihat. Yang terbaik, sudah tentulah menjauhinya akibat rasa syubhah
yang wujud.
Yang pasti, individu yang soleh
dan mengabdikan diri kepada Allah tidak akan sama sekali memerlukan logo
ini di dalam kehidupannya. Jika berminat sekalipun, cukuplah menyokong
pasukan tersebut dalam pertandingannya tanpa perlu melibatkan diri dan
menghabiskan duit dengan membeli jersi-jersi dan barang berlogo
sebegitu.
Namun begitu, memakai jersi
pasukan Liverpool yang dengan jelas memaparkan logo arak Carlsberg
adalah muktamad hukumnya adalah HARAM menurut hukum Islam berdasarkan
dalil-dalil dan hujah sebelum ini dan juga yang diberikan di bawah.
Pengharaman juga adalah MUKTAMAD
bagi mana-mana pakaian dan barangan yang mempromosi iklan bank-bank
konvensional yang menawarkan produk Riba. Umat Islam dilarang sama
sekali secara sepakat ulama, mempromosikan mana-mana bank konvensional
kerana dosanya sama seperti berperang dengan Allah dan RasulNya serta
berzina 36 kali. Baca di SINI dan SINI .
Hujah dan tulisan ini bukan
semata-mata TERHAD kepada kumpulan dan logo yang disebutkan, namun
meliputi logo-logo dan jersi-jersi mana-mana pasukan dan kumpulan lain
di dunia.
LAGI DALIL HADIS
Selain dalil Al-Quran di atas,
sebahagian dalil lain kepada pengharaman mengguna termasuk memakai
sesuatu yang diharamkan untuk Muslim adalah hadis :-
نهانا رسول الله صلى الله عليه
وسلم أن نشرب في آنية الذهب والفضة وأن نأكل فيها، وعن لبس الحرير والديباج
وأن نجلس عليه، وقال: هو لهم (أي للكفار) في الدنيا ولنا في الآخرة
Ertinya : Rasulullah
Sallahualahiwassalam telah melarang kami makan dan minum dari bekas yang
diperbuat dari emas dan perak, dan memakai (kaum lelaki) pakaian dari
sutera dan juga menggunakannya untuk alas duduk, baginda juga berkata :
itu semuanya untuk orang kafir di dunia, dan kita hanya dibenarkan di
Syurga kelak. ( Riwayat Al-Bukhari)
Berasaskan dari hadis terbabit, lalu para ulama membuat kesimpulan sebuah kaedah iaitu :-
وما حرم استعماله حرم اتخاذه تحفة وزينة
Ertinya : dan apa-apa yang
diharamkan penggunaanya, diharamkan juga mengambilnya sebagai baranngan
yang disayangi ( barang dianggap berharga = masterpiece) dan perhiasan.
( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusuf Al-Qaradawi)
Kaedah ini menjawab persoalan
sama ada ia diagungkan atau tidak, hakikatnya pemakaian, menjadikan
hiasan sama ada sebagai pakaian, hiasan di rumah dan ditontonkan kepada
orang ramai itu adalah sebenarnya secara langsung merupakan satu bentuk
pengagungannya.
KESIMPULAN
Hukumnya memakai baju kumpulan
bola berlambang salib secara jelas dan berlogo apaapa jenama yang
diharamkan oleh Islam seperti Carlsberg itu adalah berdosa dan
diharamkan untuk orang Islam memakainya dan dijadikan perhiasan dan
masterpiece yang dibanggai.
Mankala hukum memakai pakaian
yang berlambang Red Devil adalah di antara Harus dan Makruh sebagaimana
yang disebutkan situasi berbezanya di atas. Namun, sekiranya ia
benar-benar dianggap sebagai logo dan tanda Devil dan tanda negatif dan
kejahatan bagi masyarakat awam di sesuatu tempat, ia boleh berubah
menjadi haram.
Manakala menggunakan kereta berlogo Chevrolet adalah harus.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan