PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Isnin, 11 November 2013

Kanun Syariah: NDP teguh di belakang Sultan Brunei

Harakahdaily, 12 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Seluruh warga Parti Pembangunan Bangsa (NDP) menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan limpah rahmat, taufiq dan hidayah-Nya serta kekuatan dan keazaman yang kental ke atas Sultan Hassanal Bolkiah yang telah mengumumkan titah perkenan mewartakan Kanun Jenayah Islam pada 22 Oktober 2013 yang akan dilaksanakan secara berperingkat enam bulan dari sekarang.

Sehubungan itu, NDP mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Baginda di atas keputusan mewartakan Kanun Jenayah Islam itu.

“Kami amat tersentuh dengan keberanian, ketegasan dan hikmah Kebawah DYMM dan berikrar untuk terus berdiri di belakang Kebawah DYMM bagi memperkasa dan mempertahankan syariat Islam di bumi Brunei Darussalam ini,” ujar Presiden NDP, Mahmud Morshidi Othman (gambar) dalam satu kenyataan.

Kenyataan penuh seperti di bawah.

1. Seluruh warga Parti Pembangunan Bangsa (NDP) menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan limpah rahmat, taufiq dan hidayahNya serta kekuatan dan keazaman yang kental ke atas Kebawah DYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah mengumumkan titah perkenan mewartakan Kanun Jenayah Islam (Hudud) pada 22 Oktober 2013 yang akan dilaksanakan secara berperingkat enam bulan dari sekarang, Insya Allah.

2. NDP mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah DYMM dan Kerajaan Baginda di atas keputusan mewartakan Kanun Jenayah Islam ini. Kami amat tersentuh dengan keberanian, ketegasan dan hikmah Kebawah DYMM dan berikrar untuk terus berdiri di belakang Kebawah DYMM bagi memperkasa dan mempertahankan syariat Islam di bumi Brunei Darussalam ini.

3. Bermula tahun 1912, iaitu di era pemerintahan Sultan Muhammad Jamalul Alam II, telah dikuatkuasakan Enakmen Undang-Undang Islam 1912 (No.1/1912). Selanjutnya pada tahun 1948 Sultan Ahmad Tajudddin telah melantik Penasihat Jama’ah Syari’ah dalam usaha melaksanakan sistem perundangan Islam dengan lebih kemas dan teratur. Usaha murni tersebut kemudian diteruskan oleh Sultan Omar Ali Saifuddien III melalui penguatkuasaan Undang-Undang Majlis Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi pada tahun 1956 dan memaktubkan di dalam Perlembagaan 1959, Islam sebagai Ugama Rasmi Negara Brunei Darussalam.

4. Kini seratus tahun telah berlalu, Alhamdulillah, dapatlah dikira bahawa pewartaan ini adalah kemuncak kepada sebuah hasrat dan cita-cita Institusi Kesultanan Brunei untuk mengunggulkan syariat Islamiyah di Negara Brunei Darussalam.

5. Bertitik tolak daripada lakaran sejarah murni ini, kita memandang ke hadapan bahawa keadilan dan ihsan akan tetap tegak mengungguli sistem pemerintahan negara yang dicintai ini. Demikian itulah jalan paling lurus menuju negara aman makmur dan mendapat keampunan Allah.

6.Memetik titah Kebawah DYMM mengenai pewartaan Kanun Jenayah Syariah ini, “Tidak diragukan lagi, ia adalah sebahagian dari sejarah besar kita dan negara. Dengan ini, Alhamdulillah, pada peringkat ini tanggungjawab kita di hadapan Allah telahpun tertunai.”, adalah bertepatan dengan sistem pemerintahan raja mutlak di mana, kebertanggungjawaban di sisi Allah SWT adalah sepenuhnya terletak di pundak bahu Ulil Amri.

7. Justeru bagi setiap rakyat yang beriman dan cintakan keadilan adalah wajib untuk mentaati Baginda sebagai Ulil Amri selagi mana Baginda tidak mengajak rakyat ke jalan syirik. Presiden NDP dalam ucapannya di Kongres ke-8 NDP pada 21 Jun 2013 merakamkan, “Kesungguhan Baginda untuk melaksanakan Perintah Kanun Hukum Jenayah Syariah adalah suatu yang luar biasa kerana tidak ramai pemimpin Negara umat Islam yang mempunyai komitmen setinggi kesungguhan Baginda itu. Dalam hal ini, NDP telah menegaskan hukum WAJIB mentaati Baginda Kebawah DYMM.”

8. Dalam ucapan yang sama, Presiden NDP juga menggesa agar kerajaan menyediakan sarana yang selengkapnya bagi menjamin perlaksanaan kanun tersebut mencapai matlamat tuntutan Islam yang sebenarnya. Beliau menekankan betapa perlunya ada persiapan yang sempurna dan rapi dari aspek kerangka perundangan, pengamal dan pelaksana bagi menjamin keutuhan tuntutan syariah itu sendiri.

9. Dengan berkuatkuasanya Undang-Undang Kanun Jenayah Islam ini, insya Allah dengan inayahNya akan wujud masyarakat yang yang benar-benar gerun untuk melakukan sebarang bentuk jenayah. Contohnya, apabila seseorang itu takut dipotong tangannya, lalu dia akan terhalang dari mencuri dan sebaliknya ia akan mendorongnya supaya bekerja dan berusaha untuk mencari rezeki yang halal, natijahnya negara zikir ini akan melahirkan rakyat yang rajin dan bebas dari meminta-minta.

10. Insya Allah, sebarang sungutan dan keraguan mengenai Kanun Jenayah Islam ini pasti akan terhurai apabila nikmat keamanan dan kemakmuran sejati itu dapat dirasakan oleh setiap rakyat, sebab undang-undang jenayah Islam adalah berpaksikan keadilan dan perikemanusiaan, dan menjaga kepentingan dan maslahah yang lebih besar.

11. Kanun Jenayah Islam antara lain bertujuan memberikan pembalasan yang setimpal dengan kesalahan, bertujuan untuk mendidik dan mengajar masyarakat seluruhnya, sebagaimana hikmah perlaksanaan hukuman di khalayak ramai.

12. Islam menekankan peri perlunya melakukan pencegahan terhadap apa jua perkara yang boleh mendorong masyarakat melakukan jenayah dan maksiat. Umpamanya menutup pusat kegiatan maksiat, memudahkan urusan berpoligami, meningkatkan ekonomi dan pendapatan masyarakat dan sebagainya (amr ma’ruf nahi munkar).

13. Insya Allah bemulanya dari Kanun Jenayah Islam ini akan tertegaklah keadilan yang lebih luas yang diredhai oleh Allah SWT seperti yang diungkap oleh Allahyarham Prof Dr Saedon, “Setiap orang adalah sama di sisi undang-undang. Tidak ada orang yang di atas undang-undang tetapi memang ada yang dikecualikan oleh undang-undang ini, bukan kerana keistimewaannya tetapi kerana kekurangannya”.

“Dan di dalam hukum qisas itu ada (jaminan) kehidupan bagi kamu, wahai orang yang berakal supaya kamu bertaqwa.” (al-Baqarah: 179)

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya (dengan mematuhi segala hukum-hukumnya); dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (al-Baqarah: 208)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan