PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Ahad, 21 Ogos 2011

Perkuat jentera PAS dekati masyarakat
Harakahdaily

ALOR GAJAH, 21 Ogos: PAS perlu memperkuatkan jenteranya melalui pendekatan turun padang untuk bertemu masyarakat di samping aktiviti mesra rakyat.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari memberitahu, pihaknya meneruskan program turun padang ke kawasan-kawasan pada bulan Ramadhan ini.

Katanya, selepas PAS negeri membentuk jentera yang merupakan asas kekuatan parti, aktiviti mendekati masyarakat diteruskan termasuk mendaftar pemilih dan menjawab tohmohan pihak lawan.

Baginya, masyarakat di negeri ini boleh bersama dengan PAS melalui pendedahan pemimpin parti di semua peringkat.

Justeru, ujarnya, PAS negeri berusaha untuk bertemu dengan pemimpin masyarakat bagi menyampaikan mesej perjuangan parti.

“Ini merupakan tanggungjawab kita untuk dekat dengan masyarakat dan mereka boleh menerima kita, mereka mahu kita mesra dengan mereka,” ujarnya ujarnya ketika ditemui selepas menunaikan solat tarawih di Sekolah Rendah Islam al-Munawwarah, Durian Tunggal, malam tadi.

Sebelum itu, majlis berbuka puasa diadakan di pekarangan sekolah itu yang disertai Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Hadir sama malam tadi ialah Timbalan-timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Kamarudin Sidek, Ustaz Mohd Noor Omar, Sofi Wahab, Setiausaha Perhubungan, Asri Shaik Abd Aziz, Ketua Pemuda, Yuhaizad Abdullah dan Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah, Ustaz Imran Abd Rahman.

Justeru, beliau menambah, pemimpin PAS setempat perlu lebih peka terhadap permasalah yang dihadapi penduduk dan seterusnya bertindak menyelesaikannya mengikut kemampuan masing-masing.

“Apabila kita berjaya selesai masalah masyarakat, maka mereka rasa PAS dekat dengan mereka dan ini dapat memecahkan tembok yang mengatakan PAS tak boleh mendekati masyarakat,” katanya lagi.

Mengenai pengukuhan jentera pilihan raya parti, beliau berkata, sehingga malam tadi, jentera PAS negeri telah turun ke kawasan Masjid Tanah, Kota Melaka, Tangga Batu, Jasin dan Alor Gajah.

“Lawatan ini adalah untuk melaksanakan misi pilihan raya bagi memberi kesedaran dan motivasi kepada petugas,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan