PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Jumaat, 12 Ogos 2011

Rusuhan: Hishammuddin buta hati, pekak telinga
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Ogos: Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak dapat membezakan di antara perhimpunan aman Bersih 2.0 yang bermatlamat murniberbanding rusuhan membakar dan menyamun yang berlaku di United Kingdom (UK).

Setiausaha Organisasi DAP, Teresa Kok berkata kenyataan Menteri Dalam Negeri itu bahawa rakyat Malaysia harus bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu tidak menjurus ke situasi rusuhan di UK adalah tidak munasabah.

(Sumber: Hisham: Be thankful Bersih not like London riots http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/hisham-be-thankful-bersih-not-like-london-riots/)

Katanya, perhimpunan Bersih 2.0 yang berlaku di Kuala Lumpur (KL) langsung tidak boleh disamakan dengan rusuhan di UK.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh membuat perbandingan antara rusuhan di UK dan himpunan aman Bersih 2.0 di KL.

Di UK, rusuhan telah berlaku secara rambang tanpa sebarang agenda yang jelas atau spesifik melainkan menghasilkan suatu keadaan yang kacau-bilau.

Di KL, perhimpunan Bersih 2.0 mempunyai matlamat yang jelas dan telah dianjurkan secara terancang. Agenda, tarikh dan waktu bersurai telah dinyatakan secara terus-terang buat pengetahuan pihak kerajaan, PDRM, media dan orang awam dari awal-awal lagi. Penganjur Bersih 2.0 telah menegaskan bahawa perhimpunan mereka adalah perhimpunan yang aman dari awal-awal lagi.

Di UK, beratus-ratusan perniagaan dan orang awam telah disamun oleh perusuh. Kehilangan harta benda dianggarkan bernilai berjuta-juta Sterling Pound.

Di KL, tidak ada satu pun laporan kedai disamun oleh penyokong Bersih 2.0. Sebaliknya, kedai yang buka pada hari itu seperti kedai makan minum mencapai perniagaan yang menguntungkan kerana kehadiran beribuan penyokong Bersih 2.0 di KL.

Di UK, berpuluh-puluh kereta dan bangunan telah dibakar dan dirosakkan oleh perusuh menyebabkan keadaan berasap dan membahayakan keselamatan.

Di KL, asap yang wujud berpunca daripada tembakan gas pemedih api oleh pihak Unit Simpanan Persekutuan (Federal Reserve Unit atau FRU) ke atas penyokong BERSIH 2.0 yang berhimpun secara aman. Gas pemedih mata dan meriam air juga ditembak ke kawasan Hospital Tung Shin di mana penyokong Bersih 2.0 cuba berlindung.

Di UK, perusuh memegang senjata seperti pisau, batu dan “molotov cocktail”.

Di KL, penyokong Bersih 2.0 tidak bersenjata tetapi sekadar memakai t-shirt kuning yang diharamkan oleh Hishammuddin sendiri. Sejak bila t-shirt atau pun warna kuning dapat menggugat keselamatan dalam negeri?

Di UK, perusuh secara aktifnya cuba menyerang dan mencederakan polis.

Di KL, penyokong Bersih 2.0 mengelakkan pertembungan dengan PDRM dan FRU. Tindak balas para peserta Bersih 2.0 bersifat pasif dan tidak agresif.

“Saya ingin menggesa Hishammuddin supaya membuka hati beliau dan mengambil iktibar daripada bagaimana kerajaan dan pasukan polis United Kingdom mengawal keadaaan rusuhan yang sebenar,” kata Teresa dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Di UK, pihak polis hanya menahan 1,000 orang walaupun rusuhan telah berlanjutan selama lima hari.

Di KL, pihak polis telah menahan lebih daripada 1,600 orang dalam tempoh satu hari sahaja hanya kerana mereka cuba berhimpun di pusat bandar secara aman.

Beliau juga merasa kesal kerana Hishammuddin masih buta hati dan tidak insaf walaupun beratus-ratusan rakaman video membuktikan PDRM dan FRU telah menggunakan kekerasan yang keterlaluan telah dimuat naik ke atas Internet untuk tontonan orang ramai.

“Beliau masih memekakkan telinganya terhadap kutukan keras oleh warga Malaysia dan komuniti antarabangsa dan masih menyokong tindakan PDRM dan FRU,” katanya.

Sehingga hari ini, ujarnya sebulan telahpun berlalu sejak perhimpunan Bersih 2.0 diadakan, Hishammuddin dan PDRM masih gagal membentangkan laporan keganasan PDRM dan FRU kepada orang ramai.

“Apakah ini menunjukkan ketidakcekapan dan kelalaian Kementerian Dalam Negeri dan PDRM dari segi siasatan terhadap anggotan PDRM sendiri?” soalnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan