PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Khamis, 16 Disember 2010

Roboh - ada gambar.
Oleh Mohd Rashidi Yusuf.

LENGGONG: "Makcik nak buat kenduri perkahwinan anak tinggal tiga minggu saja lagi tiba-tiba jambatan depan rumah roboh dilanda banjir kilat tiga hari lalu, langsung tidak boleh digunakan.
"Banjir kilat tiga malam lepas akibat limpahan air Sungai Nerok itu juga telah mengakibatkan satu lagi jambatan yang siap dibina April lalu retak apabila rasuknya patah," kata Wan Khadijah Wan Ahmad, 63.
Wan Khadijah yang rumahnya itu terletak kira-kira 20 meter dari jambatan roboh di kampung Bor, Banggol Belimbing dekat sini, lebih bimbang sekiranya jambatan retak yang letaknya kira-kira 200 meter dari rumahnya juga akan roboh dan tidak boleh digunakan pada hari kenduri nanti.
Berikutan itu warga emas itu berharap kerajaan menyegerakan pembinaan jambatan baru atau membaikpulih jambatan sedia ada yang roboh itu yang sudah beberapa kali mengalami kerosakan akibat dilanda banjir.
Katanya, jambatan laluan utama ke rumah dan beberapa rumah jirannya itu sejak dibina kira-kira 10 tahun lalu, telah rosak agak teruk ketika banjir kilat dua hari sebelum Aidiladha lalu dan berbahaya kepada laluan.
"Sejak dibina telah beberapa kali rosak termasuk kerosakan yang berlaku ketika banjir sebelum Raya Korban baru-baru ini dan memang dikira berbahaya kepada laluan, terutama laluan bermotorsikal sebelum roboh lagi tiga malam lepas," katanya.
Seorang pekerja swasta, Abdul rahman Khamis, 48, yang pulang bersama isteri dan anaknya ke rumah mentuanya di kampung itu pada keesokan hari selepas banjir kilat itu terpaksa juga menggunakan jambatan itu walaupun berbahaya.
Katanya, rumah mentuanya terletak kira-kira 15 meter dari jambatan itu dan sekiranya hendak menggunakan jambatan yang retak, mereka terpaksa berjalan kaki sejauh 200 meter dalam keadaan jalan berlumpur selepas banjir.
"Jambatan yang baru siap dibina April lalu itu mengalami keretakan, saya tidak berani berkereta melalui jambatan itu dan sekiranya lalu juga kena tinggal kereta dan terpaksa berjalan di atas jalan berlumpur," katanya.
Jambatan roboh dan jambatan retak itu adalah dua daripada tiga jambatan di Kampung Banggol Belimbing yang mengalami kerosakan ketika banjir kilat atau banjir lumpur akibat limpahan air Sungai Nerok bermula jam 11 malam tiga malam lalu selepas hujan lebih dua jam.
Banjir dua hari sebelum Aidiladha lalu telah mengakibatkan sebuah jambatan menyeberangi sungai itu di laluan utama Jalan Raya Lama Lenggong-Kuala Kangsar di Kampung Bor juga mengalami kerosakan akibat rasuknya patah.
Jambatan berkenaan yang rosak teruk ketika banjir besar 11 dan 12 November 2009 dan siap dibina semula beberapa bulan kemudiannya, terpaksa ditutup kepada semua laluan kenderaan baru-baru ini.
Berikutan itu sebuah jambatan bailey dibina dan kini hampir siap sepenuhnya.
Sementara itu banjir kilat tiga malam lepas turut mengakibatkan kira-kira 50 buah rumah, sebuah masjid, lima premis kedai dan tiga dewan di Kampung Banggol Belimbing, Banggol Batu, Taman Kota Tampan dan Chain ditenggelami air separas antara 0.2 selain sekurang-kurangnya tiga jambatan menyeberangi Sungai Nerok meter dan 1.5 meter.
Tamat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan