Selepas menghadapi serangan bertubi-tubi dari Umno/BN dan media yang mereka kuasai, ternyata Pakatan Rakyat masih mampu bertahan, malah sedang menyusun persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 pada bila-bila masa.
Ini sebuah kegigihan dan keazaman yang luar biasa bagi Pakatan Rakyat untuk membuat perubahan bagi kepentingan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, iaitu perubahan ke arah pelaksanaan keadilan dan demokrasi sebenar serta pembahagian kekayaan negara dengan adil dan saksama, tanpa rasuah.
Bagi melaksanakan agenda menghadapi PRU Ke-13 ini, dua program besar diadakan di mana pada 29 November lalu telah diadakan Persidangan Menteri Besar/Ketua Menteri Pakatan Rakyat di Shah Alam Selangor dan menyusul sebuah lagi program besar iaitu Konvensyen Pakatan Rakyat kali kedua yang akan diadakan di Dewan Melinnium, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 19 Disember ini.
Pulau Pinang dipilih, barangkali kerana negeri itulah paling banyak menerima pelbagai tuduhan dan dakwaan berunsur perkauman dari parti lawan. Oleh itu tentunya konvensyen ini menghantar mesej jelas bahawa Pakatan Rakyat masih mampu bertahan di Pulau Mutiara itu. (Gambar: Konvensyen pertama Pakatan Rakyat yang menampakkan perpaduan utuh di kalangan mereka.Apa berlaku untuk kali kedua ini?)
Antara agenda Konvensyen tersebut ialah membincangkan isu penting – antaranya isu tanah Felda dan Felcra dan Tanah Adat, isu air di Selangor dan tempat lain, isu tol, isu pelaburan yang kian merosot, masalah isu pekerja wanita di Sabah dan Sarawak dan pelbagai isu lain.
Ini semua adalah isu penting, namun yang juga sangat penting diberikan penekanan dalam Konvensyen Pakatan itu ialah masalah rangkaian penerangan negeri-negeri Pakatan Rakyat, khususnya di Selangor, yang kelihatan belum dapat diselesaikan. Ini menyebabkan begitu banyak usaha terbaik untuk rakyat dari negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat belum benar-benar diketahui oleh rakyat terutama di kawasan pedalaman.
Memang telahpun diputuskan bahawa Pakatan Rakyat akan melancarkan majlis penerangan besar-besaran di beberapa buah negeri, namun ramai berpendapat supaya pelaksanaan majlis penerangan ini mestilah benar-benar berkesan.
“Ia bukan saja sekadar majlis ceramah dan menyampaikan risalah atau memberi taklimat di kalangan pendukung Pakatan Rakyat saja, tetapi penerangan mestilah pergi jauh ke akar umbi rakyat, terumata di pedalaman, supaya rakyat mengetahui kebaikan Pakatan Rakyat,” kata Ir. Ibrahim Jalil, seorang perunding pembinaan yang sangat bersimpati dengan Pakatan Rakyat.
Baginya, tidaklah perlu sangat mengadakan perhimpunan yang lebih banyak dihadiri oleh kalangan penyokong PAS, DAP dan PKR, sedangkan kebanyakan rakyat terbanyak belum lagi diberikan penerangan secukupnya.
Seorang doktor perubatan di Petaling Jaya, Dr. Rosman Abd Ghani yang juga menyokong Pakatan Rakyat berkata, “Saya selalu pulang ke kampung di Selangor, masalahnya, orang kampung belum banyak yang mengetahui kebaikan kerajaan Pakatan Rakyat.”
Bahkan, katanya, ada di antara mereka yang tidak tahu siapakah Menteri Besar Selangor sekarang dan mereka tidak begitu tahu mengenai perubahan yang berlaku sejak Pakatan Rakyat memerintah Selangor selepas pilihan Raya umum Mac 2008 dulu.
Baginya, ini masalah besar dan beliau berharap JKKK, Ahli Majlis Daerah dan Perbandaran, Penghulu dan Ketua Kampung, malah AJK masjid dan surau juga perlu tampil mengambil peranan menerangkan program kerajaan Pakatan Rakyat untuk membantu rakyat.
Seorang pesara guru, Haji Zainudin Ahmad dari Gombak, Selangor mempunyai pendapat yang sama. Malah beliau sedar, wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat begitu sibuk dengan pelbagai tugas hingga tidak semua tempat dapat dikunjungi mereka.
“Saya ada kenal beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat, saya kesihan melihat mereka seperti tak cukup tangan dan waktu untuk berkejar ke sana kemari menemui rakyat. Oleh itu, mereka yang ada maklumat mengenai kerajaan Pakatan Rakyat perlu membantu menyampaikan penerangan akan program ekonomi dan sosial Pakatan Rakyat,” katanya.
Malah beliau sendiri setiap ada kesempatan, memberi penerangan secara kecil-kecilan dengan beberapa orang yang beliau temui sama ada di masjid, surau atau restoran, atau di mana saja.
Bagi kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng, yang ‘diserang’ hebat dengan suara perkauman, bahawa apa yang perlu dilakukan oleh kerajaannya ialah juga memberi penerangan berkesan kepada orang Melayu di sana mengenai keadilan dan kesaksamaan kerajaan negeri dan menolak fitnah pihak musuh Pakatan.
Setakat ini, nampaknya, walaupun belum menyeluruh, tetapi program penerangannya sudah menampakkan hasil. Rakyat Pulau Pinang sudahpun merasakan perbezaan ketara antara kerajaan lama (BN) dengan kerajaan baru (Pakatan Rakyat).
Sementara itu, jentera Penerangan di Kedah dan Kelantan sudah bergerak dalam tahap yang memuaskan, walaupun masih perlu ditingkatkan lagi. Menurut laporan, dua negeri itu telah melakukan kerja penerangan dan dengan aktif menambah pengundi baru.
Walaupun baru menghadapi banjir besar, namun jentera pilihan raya Kedah berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
Sementara di Kelantan, dengan pengalaman kekalahan di Galas dan kemerosotan undi PAS di Manik Urai dulu, rasanya PAS Kelantan cukup sedar dan benar-benar mendengar loceng amaran dari kekalahan tersebut, iaitu untuk bangkit kembali dan memperkukuh jentera parti.
Pendeknya apa yang diharapkan dari langkah penting Pakatan Rakyat untuk menghadapi PRU Ke-13 nanti ialah memperkasa jentera parti, mendaftar pengundi baru sebanyak-banyaknya, mendekati golongan muda, di samping mengekalkan hubungan dengan pengundi tradisi.
Adapun resolusi Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat di Shah Alam baru-baru ini memang sangat baik. Persoalannya ialah pelaksanaan dari resolusi tersebut.
Justru Konvensyen Pakatan Rakyat kali kedua di Pulau Pinang 19 Disember ini sangat penting, di mana sehari sebelumnya – pada 18 November – diadakan perhimpunan besar-besaran penyokong Pakatan Rakyat di Pulau Pinang juga.
Dengan ini jelaslah bahawa walaupun sedikit cedera disebabkan serangan bertubi-tubi, Pakatan Rakyat masih utuh. Ini adalah manifestasi bahawa masih tetap wujud pendukung Pakatan Rakyat dari tiga parti itu yang tetap setia meneruskan perjuangan untuk membawa perubahan bagi kepentingan rakyat berbilang bangsa. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan