PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Ahad, 28 Ogos 2011

Bebas daripada telunjuk syaitan
Aida Rahayu Mohd Badri

Pertama dan selamanya, marilah kita panjatkan rasa syukur kepada Allah S.W.T yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat kembali kepada fitrah setelah melalui fasa tarbiyyah di bulan Ramadhan. Juga selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Penyelamat Ummah, Rasulullah SAW, ahli keluarga beliau, para sahabat dan tabien sekalian.

Sesungguhnya kita telah melalui fasa tarbiyyah tahunan di bulan Ramadhan yang disebut-sebut sebagai penghulu segala bulan. Selama tiga puluh hari hidup kita menyaksikan pertarungan sengit antara diri yang ingin menuntut fitrah menurut nafsu yang tidak sedikit. Justeru apabila tiba 1 Syawal, Allah Maha Suci telah mewajibkan umat Islam meraikan kemenangan perjuangan ini dengan pengharaman berpuasa dan diwajibkan kita merayakan 1 Syawal ini.

Maka diharapkan dengan kedatangan Syawal serta berlalunya Ramadhan bersama-sama proses tarbiah mampu menjadi bekalan bagi menghadapi bulan-bulan seterusnya. Gunakanlah segala hasil tarbiah Ramadhan untuk menyemarakkan lagi semangat beribadah dan bermujahadah. Pastikan kita sentiasa berterusan mengunjungi masjid dan surau untuk menunaikan solat berjamaah, mengikuti kelas-kelas pengajian, tadarus al-Quran dan amalan-amalan kebajikan sehingga dapat membentuk diri dan umat Islam yang mantap iman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Insya’Allah, akan diperolehi pertolongan yang dijanjikan oleh Allah kepada umat Islam.

TRANSFORMASI DIRI DI BULAN RAMADHAN

Sesungguhnya perkara yang paling digemari Rasulullah adalah bersederhana (wasatiyyah). Maka bersesuaian dengan Ramadhan yang bakal ditinggalkan, alangkah mulianya jika setiap kita lebih mengutamakan keperluan(need) daripada kehendak(desire) dalam merancang sesuatu hal. Kita wajar berusaha supaya amal selepas Ramadhan ini tidak sesekali bercampur aduk dengan perkara-perkara berbentuk maksiat serta pembaziran kerana ia amat bertentangan dengan ajaran Islam.

Menyahut tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu “1Malaysia : Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera”, marilah kita sama-sama mentransformasikan diri daripada diri yang dulu kepada yang lebih baik dengan impak ibadah dalam bulan Ramadhan yang telah kita jalani sebelum ini. Signifikan hari kemerdekaan yang jatuh pada bulan Syawal ini bukan hanya semata-mata perlu dirasai dengan merdekanya negara kita daripada kawalan kuasa asing; penindasan dan penjajahan ataupun merdeka daripada mengikut telunjuk orang lain.

Tetapi ayuh kita raikan juga sambutan hari kemerdekaan dalam bulan Syawal pada tahun ini dengan memerdekakan diri kita daripada hawa nafsu yang membelenggu selama ini. Moga kita mampu lepas dan bebas daripada telunjuk dan perhambaan kepada syaitan pasca Ramadhan kali ini. Semoga dengan itu, kita mampu hidup dalam Redha Ilahi dan sejahtera bersama Rahmat – Nya sentiasa.

TANGGUNGJAWAB PERJUANGAN MAHASISWA

Apabila disebut tanggungjawab perjuangan, ia merupakan topik serius yang memerlukan perhatian yang serius kita bersama. Imam Hasan al-Banna menyebutkan di dalam karangan-karangan beliau, "sesungguhnya hidup ini sifatnya berkorban bukan hanya menadah tangan dan berserah nasib." Itulah sifat pejuang dan penda’wah yang menjulang panji ketuanan agama. Mereka mempunyai daya tahan dan jati diri yang tinggi, bersedia untuk berdikari dan memberi.

Maka di kesempatan ini pihak PMUKM sekali lagi mengulangi gesaan di peringkat rakyat marhaen yang inginkan UKM secara khusus mencari titik keseimbangan antara teori dengan amal, sains dengan sastera dan kesejahteraan rohani dengan kemajuan material sebagaimana yang ditekankan di dalam Falsafah Universiti yang tercipta bersama-sama penubuhan UKM 41 tahun dahulu.

Juga perlu sentiasa diingatkan bahawa tanggungjawab universiti bukanlah semata-mata untuk memenuhi tuntutan keperluan tenaga mahir di pasaran sahaja, tetapi lebih penting dan besar daripada itu, ialah sebagai badan yang dapat membina pemikiran yang kritikal dan berwawasan.

Dalam kata lain UKM secara khusus dan IPTA-IPTA lain perlu memimpin dan menawarkan gagasan, jalan dan cara bagaimana perubahan harus ditangani. Universiti seharusnya, pada ketika tertentu dan dalam isu-isu tertentu, perlu membantu masyarakat dan negara untuk membuat pilihan di antara pilihan yang ada berasaskan penyelidikan yang rapi dan meyakinkan.

Isu-isu asas yang masih menghambat kepada kemajuan dan pembangunan komuniti serta sosio-ekonomi negara seperti pembinaan negara bangsa, pembangunan teknologi & sains untuk komuniti, mengukuh warisan dan ketamadunan bangsa, dan mengukuhkan daya saing negara di samping matlamat asas Universiti untuk membangunkan sumber modal insan yang berilmu merupakan isu pokok yang masih memerlukan siri-siri penyelidikan yang mendalam.

PERANAN MAHASISWA

Di peringkat mahasiswa, PMUKM berhasrat untuk menggembleng tenaga mahasiswa dalam usaha menjayakan agenda-agenda Universiti yang sangat banyak dicadangkan khususnya di bawah Pelan Transformasi UKM. Apapun penggemblengan tenaga mahasiswa ini tidak lari dari tiga (3) tonggak utama yang disebut di dalam Ucapan Dasar Presiden dahulu iaitu (i) mahasiswa untuk mahasiswa, (ii) mahasiswa untuk masyarakat dan (iii) mahasiswa untuk negara; dalam menjana kepimpinan berkaliber hari ini dan membina pengganti kepimpinan pada akan datang.

Justeru dengan tema "Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti" kepimpinan Persatuan Mahasiswa UKM sesi kali ini selaku badan induk yang menaungi lebih seratus persatuan mahasiswa lain di UKM, akan berjaya meraih sokongan dan dokongan rakan-rakan mahasiswa dan rakyat Malaysia secara amnya dari jauh.

Dan semoga Aidilfitri kali ini benar-benar disambut sebagai kita yang pulang kepada asalnya yang fitrah (al-’aaideen) dan berjaya (al-faaizeen).

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1432 H & Selamat Hari Kebangsaan Malaysia Ke-54

Aida Rahayu Mohd Badri

Pengerusi Biro Informasi & Penerangan

Persatuan Mahasiswa UKM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan