Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Tindakan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menyalahkan Pemuda PAS dalam hal undi pos adalah tindakan yang tidak cermat. “Saya merasa terkejut terhadap kenyataan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin yang telah menyalahkan Pemuda PAS kerana membuat sidang media berhubung dengan pendedahan empat orang bekas anggota tentera berkenaan undi pos di Pejabat PAS Pusat, semalam,” kata Timbalan Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi DPPM, Mohd Adram Musa dalam satu kenyataan. Bekas anggota tentera tersebut adalah Majer(B) Risman Mastor, Komando (B) Mohd Kamel Omar, Mohamed Nasir Ahmad dan Kamarulzaman Ibrahim. Katanya, sebelum ini semasa Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, Pemuda PAS juga telah membawa Abu Kassim di hadapan Pengerusi SPR, Tan Sri Aziz Mohd Yusof untuk menerangkan pengalamannya berhubung dengan undi pos. “Zulkifeli bukan sahaja menuduh Pemuda PAS mengambil kesempatan terhadap bekas anggota tentera malah menuduh sebagai kami sebagai pengkhianat. “Saya ingin mempertegaskan bahawa Pemuda PAS tidak pernah mempergunakan bekas anggota tentera untuk membuat pendedahan,” ujarnya. Menurutnya, mereka datang dengan penuh sedar, insaf dan sukarela. Katanya, mustahil bagi Pemuda PAS mampu mempergunakan bekas anggota tentera yang telah terdidik dengan disiplin dan jadi diri yang tinggi semasa dalam latihan dan perkhidmatan. Secara tidak langsung, ujarnya Panglima Angkatan Tentera telah menghina ke atas empat anggota tentera tersebut. Beliau penuh yakin bahawa ada lebih ramai lagi bekas anggota tentera akan tampil ke hadapan membongkar manipulasi undi pos pada masa akan datang. Katanya lagi, Pemuda PAS memberi peluang seluas-luasnya kepada mereka. Sepatutnya, ujar beliau selepas mendapat maklumat berkenaan manipulasi undi pos, Panglima Angkatan Tentara perlu mendapatkan maklumat secara langsung daripada ke empat-empat bekas anggota tentera terbabit. “Kemudian tubuh satu badan penyiasat dan kemukakan satu cadangan kepada pihak kerajaan, menyalahkan Pemuda PAS dalam hal undi pos adalah tindakan yang tidak cermat,” ujarnya. Jelasnya, sebagai sayap kepada sebuah parti politik, Pemuda PAS bertanggungjawab untuk memberikan pandangan berdasarkan pengalaman kami dalam Pilihanraya Kecil Bagan Pinang dan Sibu yang melibatkan undi pos. “Saya penuh yakin Panglima Angkatan Tentera tidak mendapat maklumat yang sebenar berhubung ruang manipulasi undi pos,” katanya. Menurutnya, Dewan Pemuda PAS bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk menjelaskan ruang manipulasi dalam undi pos kepada Zulkifeli. “Kami bukan pengkhianat. Kalau kami pengkhinat maka kami tidak perlu membuka ruang diskusi kepada pihak Panglima Angkatan Tentera,” tegasnya. Justeru, ujarnya Dewan Pemuda PAS mengharapkan semua pihak terutamanya JPN, SPR dan ATM agar mengambil tindakan yang pro aktif bagi menjayakan satu reformasi dalam pilihanraya di negara kita. “Semoga usaha semua pihak ini akan menutup semua ruang-ruang manipulasi dalam pilihan raya,” ujarnya lagi. |
Khamis, 18 Ogos 2011
Panglima Tentera tidak cermat
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan