Pakatan beri PM, SPR peluang terakhir
Pada sidang akhbarnya, hari ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan muktamad akan dibuat pada Oktober nanti.
"Kita belum buat sebarang keputusan untuk memboikot tetapi menjelaskan bahawa kerajaan perlu menunjukkan niat baik dengan Suruhanjaya Pilihan Raya mengambil tindakan segera, dan PM menunjukkan beliau serius dengan menjamin pilihan raya hanya akan diadakan selepas SPR telah mengambil langkah sewajarnya.
"Kita ada beberapa minggu lagi sebelum Ramadan berakhir dan diikuti dengan Aidilfitri... satu atau dua minggu untuk berfikir. Menjelang bulan depan, kita akan tentukan,” katanya.
Hadir sama dalam sidang akhbar itu ialah timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu yang berkata, bagi membuktikan komitmennya, SPR hendaklah segera membuat empat perubahan yang dituntut oleh BERSIH 2.0, antaranya menggunakan dakwat kekal, melanjutkan tempoh berkempen dan yang terpenting membersihkan daftar pemilih.
Katanya, ini tidak memerlukan pembentukan jawatankuasa khas parlimen yang dijangka dibentuk pada sidang parlimen Oktober ini.
Dalam perkembangan yang lain, Anwar berkata Majlis Pakatan Rakyat juga bersetuju mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan isu pemberian "kewarganegaraan segera" kepada penduduk tetap.
"(Setakat ini) tidak ada langsung jawapan jelas dari menteri dalam negeri itu, bagi mengurangkan kebimbangan (rakyat),"katanya.
Sehubungan itu, Anwar berkata, Pakatan Rakyat mencadangkan supaya suruhanraja diraja ditubuhkan segera bagi menyiasat isu berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan