PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Isnin, 25 Mac 2013

KEMENANGAN SEMAKIN HAMPIR

INGATLAH janji Allah SWT, bahawa orang-orang yang berjuang untuk menegakkan Agama Allah akan diberi kemenangan. Di dalam surah as-Saf, kata Allah yang mafhumnya: orang-orang yang berjuang pada Jalan Allah akan diampunkan dosa dan akan dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Dalam ayat seterusnya, kata Allah lagi; ada lagi seperkara yang sangat-sangat kamu sukai, iaitu kemenangan yang hampir.
     Kemenangan yang hampir, yang dimaksudkan dalam ayat itu ialah kejayaan menawan kota Makkah oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Dalam kontek kita yang berjuang pada qurun-qurun mutakhir ini ialah kemenangan membebaskan negara-negara atau negeri-negeri daripada belenggu perhambaan antara sesama manusia kepada memperhambakan diri kepada Allah SWT semata-mata.
     Apa yang saya maksudkan dengan kemenangan yang semakin hampir ialah kemenangan yang akan Allah beri kepada kita semakin mendekat. Buktinya ialah apabila TEKANAN TERHADAP PAS (dalam kontek Malaysia) semakin memuncak. Apabila tekanan semakin memuncak, akan semakin hampirlah kemuncak kemenangan bagi PAS khususnya.
     Lihat sirah para Rasul 'Alaihimussolatuwassalam. Nabi Noh dan para pengikutnya diberi kemenangan setelah tekanan ke atasnya berada pada kemuncaknya. Kemenangan diberi dengan dibanjirkan dunia - dihapus para penentang baginda dan para pengikutnya. Nabi Musa dan para pengikutnya diberi kemenangan setelah menerima tekanan terakhir di pinggir Laut Merah - saat-saat tergenting dan tersepit oleh halangan laut terbentang ketika gerombolan musuh semakin menghampiri. Allah beri pertolongan melalui kaedah di luar kemampuan berfikir manusia.
     Rasulullah SAW ditekan dengan pelbagai kaedah tekanan, sehingga kemuncaknya ancaman bunuh. Pada saat-saat tergenting itulah kemenangan diberikan kepada Baginda SAW.
     Sekarang ini, zaman kita membela Islam daripada dihancurkan oleh musuh-musuh yang mengepung dari segenap penjuru. Justru para penentang Islam dan golongan yang bersekongkol dengan musuh-musuh Islam, jangan ingat Allah tidak sayang kepada seluruh gerakan Islam dan PAS, khususnya. Jangan ingat segenap kekuatan yang anda kerahkan boleh serta mampu menandingi kekuasaan Allah. Kami yang mendokong gerakan Islam, YAKIN Allah akan memberikan kemenangan kepada kami.
     Semakin teruk anda menekan kami, semakin hampirlah kami kepada kemenangan.
     Kemenangan Islam adalah JANJI ALLAH - bukan janji manusia. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan