PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Ahad, 6 November 2011

Berkorban untuk tegak Islam | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Nov: Pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. seharusnya diambil iktibar oleh para pejuang Islam khususnya pendukung PAS.

Justeru, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib tidak lupa mengucapkan tahniah kepada para tetamu Allah di bumi Makkah yang menyahut seruan Nabi Ibrahim a.s. untuk melakukan ibadat haji.

“Ibadat haji mengingatkan kita kepada pengorbanan Nabi Ibrahim dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah,” ujarnya dalam perutusan sempena Idul Adha 1432H.

Katanya, arahan itu yang mungkin dianggap tidak logik untuk dilaksanakan agar baginda menyembelih anaknya Nabi Ismail dilakukan dengan penuh pasrah dan ketaatan.

Menurutnya, walaupun Nabi Ismail adalah anak tunggal yang sangat dikasihi melalui perkahwinannya dengan Siti Hajar, baginda mendahulukan Allah lebih daripada segala-galanya.

Tambahan lagi, persediaan Nabi Ismail untuk disembelih atas arahan Allah SWT untuk dilaksanakan oleh ayahnya terhadapnya.

Begitu juga, katanya persediaan Siti Hajar untuk tinggal di lembah Mekkah bersama anaknya Ismail di Mekkah yang tidak ada penduduk dan makanan.

“Ini juga adalah kerana mengikut perintah Allah SWT,” ujarnya lagi.

Berikut adalah perutusan Idul Adha beliau.

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd.

Bersempena dengan Hari Raya Aidil Adha 1432H, saya mewakili Dewan Ulamak PAS mengucapkan selamat menyambut hari raya kepada seluruh umat Islam khususnya para penyokong dan pendukung PAS sejak dahulu hingga sekarang. Tidak lupa juga ucapan tahniah saya kepada para tetamu Allah di bumi Makkah yang menyahut seruan Nabi Ibrahim a.s. untuk melakukan ibadat haji.

Ibadat haji mengingatkan kita kepada pengorbanan Nabi Ibrahim dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Arahan yang mungkin dianggap tidak logik untuk dilaksanakan agar baginda menyembelih anaknya Nabi Ismail dilakukan dengan penuh pasrah dan ketaatan. Walaupun Nabi Ismail adalah anak tunggal yang sangat dikasihi melalui perkahwinannya dengan Siti Hajar, baginda mendahulukan Allah lebih daripada segala-galanya.

Tambahan lagi, persediaan Nabi Ismail untuk disembelih atas arahan Allah SWT untuk dilaksanakan oleh ayahnya terhadapnya. Begitu juga, persediaan Siti Hajar untuk tinggal di lembah Mekkah bersama anaknya Ismail di Mekkah yang tidak ada penduduk dan makanan. Ini juga adalah kerana mengikut perintah Allah SWT.

Sebagai hamba Allah, arahan dan ketetapan yang diberikan hendaklah dipikul dengan sebaik-baiknya. Tidak ada pilihan bagi hambanya yang mengaku beriman untuk mengingkari segala perintah yang ditetapkan khususnya yang terdapat dalam Al-Quran dan apa yang disampaikan oleh utusanNya Nabi Muhammad s.a.w.

Seorang muslim tidak boleh untuk memilih melaksanakan sebahagian daripada perintah dan meninggalkan sebahagian yang lain. Perintah untuk melaksanakan hukuman hudud sebagai contoh seharusnya ditaati sebagaimana perintah ibadat haji ke atas umat Islam. Perintah untuk melaksanakan hukuman qisas seharusnya dipikul sebagaimana perintah melakukan ibadat puasa ke atas orang yang beriman.

Walaupun hukuman ini pada pandangan sesetengah orang dilihat terlalu keras dan tidak sesuai dilaksanakan di zaman moden ini, sebagai seorang muslim yang mengambil pengajaran di sebalik peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim tidak akan meninggalkan arahan tersebut dengan sewenang-wenangnya. Usaha harus dilakukan untuk mencari jalan ke arah perlaksanaannya dan bukan alasan yang diberikan untuk mengelak daripadanya.

Pengorbanan Nabi Ibrahim ini juga seharusnya diambil iktibar oleh para pejuang Islam khususnya pendukung PAS. Harta, keluarga, masa dan kehidupan ini adalah pinjaman daripada Allah yang tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha menegakkan agamaNya. Pengorbanan sangat dituntut sebagai bukti perhambaan kita kepada Allah. Pengorbanan bagaikan bahan api untuk menggerakkan kenderaan jamaah ini. Tanpanya, kenderaan ini hanya akan menjadi hiasan dan disimpan di dalam garaj.

Buat akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam dan selamat menunaikan ibadat haji kepada seluruh tetamu Allah di bumi Makkah. Moga Ibadat kalian diterima dan mendapat haji yang mabrur.

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan