Hijratur Rasul bukan perayaan suka-suka | | Print | |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 27 Nov: “Sesungguhnya menyambut ulang tahun Hijratur Rasul ini bukanlah satu perayaan suka-suka. Ia bukanlah satu sambutan tahunan semata-mata tanpa sebarang sebab dan juga akan berlalu begitu sahaja untuk menunggu sambutan pada tahun hadapan,” kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Katanya, sambutan Hijratur Rasul sebagai menghayati makna dan pengertian peristiwa Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. dan para muhajirin dari Kota Makkah ke Kota Madinah yang kemudiannya dikira sebagai tahun pertama Hijrah. Menurutnya, sekalipun hijrah tidak berlaku di bulan Muharram, namun detik peristiwa tersebut ia dipilih sebagai tahun yang pertama dalam kalendar Islam sewaktu proses penetapan kalendar Islam pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab RA. “Kenapakah Saidina Umar bin Al-Khattab dan para sahabat pada masa itu tidak memilih peristiwa lain seperti peristiwa kelahiran Rasulullah SAW, peristiwa pembukaan Kota Makkah atau Haji Wada’?” soalnya yang juga Menteri Besar Kelantan. Jawabnya, jelas beliau ialah kerana peristiwa hijrah itulah yang mencetuskan fenomena dan momentum terbesar di dalam sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w. Menurutnya lagi, momentum tersebut ialah pembentukan sebuah negara Islam yang pertama dan perpindahan era dakwah secara rahsia kepada era dakwah secara bernegara. Jelas beliau, pembentukan negara itulah yang menjadi matlamat kepada penghijrahan Rasulullah s.a.w. ke Madinah. Beliau menambah, jika tidak kerana membentuk negara, tidak perlu lagi berlakunya hijrah Rasulullah s.a.w. “Oleh yang demikian, amatlah salah sama sekali tanggapan yang menyatakan bahawa bernegara merupakan satu perkara yang tidak wujud di dalam Islam, apatah lagi menidakkan kewujudan syariat Islam dalam aspek bernegara,” ujarnya dalam perutusan sempena sambutan Hijratur Rasul 1433 Hijrah, hari ini. (Perutusan penuh Tuan Guru di dalam kolum beliau) |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan