PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Selasa, 29 November 2011

Umno umpan wang jatuhkan PAS sejak 1960-an
Print
M Faqih
RANTAU PANJANG, 29 Nov: Umno mempertahankan tradisi lama, menggunakan umpan wang dan hiburan bagi menarik sokongan rakyat.
Wang menjadi pengantaraan bagi memaksa ibu bapa hadir pada majlis penyampaian apa-apa sahaja bantuan di bawah kerajaan pusat.
Dan sekarang kesempatan digunakan sepenuhnya dengan memaksa ibu bapa datang ke sekolah bagi menerima wang sebanyak RM100 bagi pihak anak mereka. Sebelum wang disampaikan mereka dipaksa mendengar ceramah politik Umno.
Begitu juga hiburan dan artis menjadi ‘sajian’ tetap Umno apabila mahu menghimpunkan orang ramai. Program Bekwoh anak Kelantan anjuran Umno di Stadium Bukit Jalil baru-baru ini juga mengundangkan artis.
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, wang digunakan Umno sejak tahun 1960-an lagi bagi membeli wakil rakyat PAS.
“Orang lama tentunya masih ingat lagi peristiwa turn about - about turn, di mana lima Adun PAS diculik dan dikurung di Kuala Lumpur,” katanya pada ceramah di Markas PAS Rantau Panjang malam semalam.
Hadir sama Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud, bekas Menteri Besar Pakatan Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun dan Adun Gual Periuk, Ustaz Mohamad Awang.
Peristiwa yang tercatat dalam sejarah itu berlaku pada 1968 selepas Umno (Perikatan) gagal dalam misi merampas Kelantan sejak pilihan raya umum 1959.
Lima Adun PAS yang diculik dalam misi tersebut termasuk Adun Kota Bharu Timur, Saufi Idris; Adun Tok Uban, Abdullah Yusof; Adun Pasir Puteh Tenggara, Abdul Rahman Mohd Salleh; Adun Tanah Merah Barat, Yusof Abdul Latiff dan Adun Tanah Merah Timur, Che Omar Mohamad.
Menurut Che Omar mereka ditempatkan di sebuah rumah di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur selama sebulan dengan kawalan ketat pegawai polis.
Mereka diugut dan dijanjikan dengan pelbagai tawaran sekiranya bersetuju menjatuhkan kerajaan PAS.
Sebagai helah bagi melepaskan diri akhirnya mereka bersetuju dengan tawaran dibuat Umno. Kemudian kelima-lima Adun terbabit dibawa pulang ke Kelantan menjelang persidangan Dun diadakan.
Bagaimanapun selepas sampai di Kota Bharu mereka mendedahkan peristiwa sebenar yang berlaku, sehingga usul undi tidak percaya pada 1968 terhadap kerajaan PAS gagal.
Husam berkata, taktik menumbangkan kerajaan PAS berterusan dilakukan sehingga sekarang, di mana keadaan dianggap kritikal berlaku pada 2004 ketika PAS menang dengan majoriti kecil.
“Ramai Adun PAS diumpan dengan tawaran lumayan, namun mereka tidak tergoda dengan umpan kebendaan itu sehingga kerajaan PAS dapat bertahan sehingga ke hari ini,” ujarnya.
Nizar juga mendedahkan taktik luar biasa turut digunakan pemimpin Umno bagi menumbangkan kerajaan Pakatan di Perak pada 2009.
Menurutnya rampasan kuasa melalui kudeta itu sebenarnya bukan hanya untuk menyelamatkan Umno, sebaliknya mengangkat keperibadian pemimpin tertentu.
“Pemimpin Umno sanggup lakukan apa sahaja termasuk mengulangi misi merampas Perak pada 2009 semata-mata bagi menyelamatkan Putrajaya.
“Malah Datuk Seri Najib pernah mengeluarkan kenyataan mahu berjuang mempertahankan Putrajaya sehingga sampai ke tulang,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan penganalisis politik dari beberapa universiti yakin Umno dan BN tidak dapat mempertahankan kerajaan di Perak pada pilihan raya umum akan datang.
Kata mereka momentum rakyat terutamanya bukan Melayu dilihat semakin jauh daripada BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan