PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Sabtu, 19 November 2011

BN didakwa peralat bantuan RM100 untuk sekolah
Kerajaan didakwa memperalatkan cara penyerahan bantuan persekolahan RM100 untuk semua pelajar apabila mensyaratkan wakil rakyat atau pemimpin yang dipilih hadir membantu ketika penyampaiannya dibuat.

Pemimpin pembangkang juga berpendapat, tindakan itu sekali gus menunjukkan kerajaan tidak jujur menyalurkan bantuan dengan cuba mendapatkan political mileage atau pulangan politik.

"Ini menunjukkan bahawa duit tersebut bukan sangat bertujuan untuk membantu murid atau keluarga, tetapi lebih kepada kepentingan politik, (tunjukkan) yang beri itu Umno atau BN," kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Arahan itu dikesan melalui sepucuk surat daripada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pelajaran Malaysia Datuk Dr Rosli Mohamed bertarikh 11 November lalu kepada pelbagai bahagian pengurusan sekolah, termasuk semua pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Kandungannya menyatakan, mesyuarat jemaah menteri pada 28 Oktober memutuskan, wakil rakyat atau "wakil terpilih kerajaan persekutuan" hendaklah membantu menyampaikan bantuan itu kerana ia "touch point" kerajaan kepada rakyat.

"Sehubungan itu, semua JPN hendaklah mengambil tindakan SEGERA terhadap keputusan tersebut dan memastikan pengagihan bantuan dianjurkan oleh pihak sekolah bagi mencapai hasrat kerajaan," surat itu dipetik.

Bantuan itu ekoran pengumuman bantuan persekolahan RM550 juta atau RM100 kepada setiap pelajar oleh Menteri kewangan Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2012 pada Oktober lalu.

Langgar batasan

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata, arahan Dr Rosli itu jelas menunjukkan bagaimana ketua pentadbir kementerian tidak profesional, tidak amanah dan tidak jujur kerana "menjadikan kementerian sebagai alat politik".

"Penyampaian itu disampaikan oleh Umno dan BN dengan sendirinya membuktikan bahawa bantuan itu sendiri bukan bertujuan untuk meringankan beban rakyat, tetapi bertujuan mendapat habuan politik," katanya.

Dalam masa yang sama, kedua-dua pemimpin itu juga melihat tindakan Dr Rosli melanggar batasan seorang penjawat awam.

"Bagi saya benda begini serahkan pada sekolah. Macam tak ada kepercayaan. Apakah pegawai pendidikan tidak mewakili kerajaan? Saya tak kisah jika menteri pelajaran atau KSU, pengarah pelajaran negeri, guru besar... wakili kerajaan.

"Ini penghinaan. KSU beri imej tidak baik, macam tak ada kepercayaan pada sektor kerajaan," kata Mahfuz yang juga anggota parlimen Pokok Sena.

Manakala Saifuddin pula menyifatkan tindakan Dr Rosli itu terang-terang melangggar prinsip dan etika sebagai penjawat awam.

"Saya nasihatkan dia berhentilah bermain politik. Ia menyalahi prinsip penjawat awam tidak boleh memihak," kata anggota parlimen Machang itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan