PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Isnin, 18 November 2013

500,000 pekerja Bangladesh layak ke Malaysia

Harakahdaily, 18 Nov 2013
DHAKA: Hanya 500,000 daripada 1.4 juta rakyat Bangladesh yang layak bekerja di Malaysia dalam sektor perladangan berdasarkan kepada pangkalan data kerajaan negara ini.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh Norlin Othman berkata sejak Malaysia dan Bangladesh menandatangani perjanjian persefahaman pengambilan pekerja asing dalam sektor perladangan pada hujung tahun lepas, kira-kira 1.4 juta rakyat Bangladesh mendaftar untuk bekerja di Malaysia.

"Setelah membuat tapisan, hanya 500,000 yang layak kerana terdapat permohonan yang tidak memenuhi kelayakan seperti usia yang terlalu tua dan terlalu muda," katanya kepada pemberita Malaysia di sini.

Norlin berkata ada juga permohonan yang ditolak kerana terlebih kelayakan seperti siswazah.

Namun, pihaknya hanya menerima 10,000 permintaan untuk pekerja perladangan daripada majikan di Malaysia.

Mengikut rekod, kira-kira 320,000 pekerja Bangladesh bekerja secara sah dalam pelbagai sektor di Malaysia ketika ini.

Sejak 2010, rakyat negara ini yang bekerja di Malaysia menghantar pulang wang sebanyak RM3 bilion, jumlah tertinggi berbanding pekerja Indonesia (RM2.9 bilion), Nepal (RM1.9 bilion), India (RM625 juta) dan Filipina (RM561 juta).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada di sini untuk lawatan rasmi sulung beliau mulai 17 Nov hingga 19 Nov.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya Sheikh Hasina hari ini bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Bangladesh. - Bernama

Ahad, 17 November 2013

Wajah Sebenar Ultras Melayu Di Bongkar.. Saksikanlah

Berdasarkan kepada kajian yang dijalankannya selama lima tahun di Malaysia, Pemegang PhD dari Perancis, Sophie Lemiere berkata NGO Pekida atau Tiga Line merujuk kepada kesetiaannya kepada orang Melayu, raja dan Islam.
Katanya, ini dapat dilihat dalam simbolnya  yang berwarna merah (untuk darah), kuning (raja ) dan hijau (Islam). Lemiere berkata berdasarkan temubualnya yang luas dengan anggota-anggotanya dan carian di internet, kumpulan seperti Pekida adalah satu rangkaian kompleks NGO yang diwujudkan oleh kumpulan yang berkaitan dengan militan politik.
Pekida, menurut kajian Sophie,  adalah nama generik yang digunakan untuk menggambarkan satu rangkaian kompleks kumpulan dan NGO.
Pada hakikatnya, tegas beliau, nama Pekida adalah nama salah satu daripada banyak NGO yang diwujudkan oleh rangkaian tersebut untuk memberikan sokongan politik, menghalalkan sebahagian daripada aktiviti mereka, dan memudahkan penerimaan dana dari parti pemerintah.
Lemiere berkata mungkin ada kumpulan lain yang menggelar diri mereka Pekida tetapi di bawah nama lain juga atau mungkin tiada kaitan dengan Pekida.
Menurutnya, dua tanggapan utama yang akan diketengahkan adalah cabaran biasa bagi mana-mana kumpulan untuk terus hidup dan cara terbaik untuk menjamin survival adalah melalui kuasa dan wang.
'Kuasa dan wang jadi pendorong 'Katanya, objektif utama kumpulan itu adalah kuasa, keuntungan dan wang, yang membayangkan bahawa ahli-ahli terlibat dalam kegiatan haram, dan boleh menggunakan tahap keganasan yang berbeza.
Cita-cita asasnya, tegas Lemiere, ialah sering membentuk semula di segi ideologi bagi memudahkan pengambilan anggota, gabungan kumpulan dan mewajarkan penggunaan keganasan.
Kelestarian kumpulan itu dipastikan dengan menyesuaikan diri kepada perubahan politik dan sosial. Identiti kumpulan boleh berubah mengikut peluang yang wujud.Lemiere (kiri) berkata, situasi politik yang berada dalam peralihan adalah baik kepada pembangunan kumpulan-kumpulan tersebut dan membuka peluang untuk menjalin hubungan dengan parti-parti politik.
Dalam konteks ini, katanya, kumpulan-kumpulan itu boleh menjadi usahawan politik, atau militan secara diam-diam, kepada sesiapa di mana tindakan politik disubkontrak untuk mengekalkan kuasa politik.
Menurut Lemiere, ia umpama seekor sumpah-sumpah yang marah, yang boleh bertukar warna dan bentuk pada bila-bila masa,  tetapi sentiasa kekal dengan potensi ganas.
Lemiere, yang baru sahaja menerima PhD beliau dari Sciences-Po (L'Institut d'études politiques) Paris tentang pergerakan etno- nasionalis dan Islam di Malaysia, kini berada di Pulau Pinang untuk membentangkan kertas kerjanya di Universiti Sains Malaysia , semalam.Kertas kerjanya  yang bertajuk 'Gangsters and Masters: Connivance Militancy in Contemporary Malaysia', adalah berdasarkan kajian dari tahun 2008 hingga April tahun ini.Lemiere berpejabat di Singapura dan ahli gabungan Institut Penyelidikan Asia  di Universiti Nasional Singapura. ~mk

Bekas Hakim Dedah Senario Tidak Sihat Sistem Kehakiman Di Malaysia

Sistem kehakiman hanya akan bebas selepas hakim berhenti daripada menerima habuan kewangan dan pangkat dalam menjalankan tugas mereka, kata bekas hakim Mahkamah Tinggi ketika berucap kepada peguam dan ahli akademik di Kuantan, hari ini.
Datuk V T Singham (gambar), ketika muncul kali pertama selepas bersara empat bulan lalu berkata, perkara itu bukan kebebasan kehakiman yang perlu diketengahkan.
"Kebebasan sistem kehakiman bergantung kepada integriti dan kesedaran setiap hakim.
"Hakim yang diamanahkan dengan kuasa dan akujanji untuk melaksanakan tugas perlu melakukannya tanpa mengharapkan balasan kewangan atau pangkat.
"Mereka tidak seharusnya menjadi galeri awam," katanya merujuk kepada hakim yang membuat sebarang keputusan bagi mendapatkan perhatian pihak berkuasa.
Singham berkata demikian ketika berucap dalam majlis anjuran Majlis Peguam Pahang di Kampus Cawangan Universiti Islam Antarabangsa di Indera Mahkota.
Katanya, perkataan keramat "kebebasan sistem kehakiman" akan sia-sia jika hakim dan pegawai mahkamah tidak bebas dalam membuat keputusan.
"Perkataan itu hanya akan menjadi slogan. Undang-undang dan peguam tidak seharusnya menjadi mangsa jika penghakiman dipengaruhi pelbagai faktor,” katanya.
Singham, 65, turut menyeru pentadbir perundangan untuk adil kepada hakim dan pegawai mahkamah apabila melibatkan soal kenaikan pangkat, kerana ia seharusnya bebas tanpa diskriminasi dan campur tangan pihak berkuasa.
Singham sebelum ini dalam keputusan terakhirnya sebagai hakim menjatuhkan kehakiman terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung kes kematian dalam tahanan, A Kugan.
Pihak pendakwa memenangi kes berkenaan dengan ibu Kugan menerima bayaran RM800,000 setelah memenangi kes berkenaan menentang polis dan kerajaan.
Beliau yang dikenali sebagai seorang yang tegas beberapa kali dinafikan kenaikan pangkat.
Kebanyakan rakannya yang dijadikan Suruhanjaya Kehakiman sepertinya sejak 13 tahun lalu sudah berpindah ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Keadaan itu menjadikan Singham hakim Mahkamah Tinggi paling tua di Malaysia. ~tmi

Penyokong Manchester United Mai Sini Jap!! Baca Ni..


Assalamualaikum ustaz, saya adalah salah seorang peminat bola sepak dunia.. saya meminati banyak pasukan Eropah. ini kerana ada lambang Salib Setan .. saya mahu tahu adakah saya sebagai seorang muslim boleh memakai jersi tersebut. 

Saya hanya meminati pasukan tersebut, sekiranya tidak boleh dipakai, adakah dalil yang melarang kita memakainya. Saya ada berbincang bersama rakan - rakan, mereka beritahu saya bahawa kita boleh memakai asalkan kita tidak mengagungkan lambang tersebut. Saya memang ragu - ragu dalam hal ini. Tolonglah selesaikan masalah saya ini ustaz. sekian, wassalam.

JAWAPAN

Wa'alaikumussalam,

Apa-apa sahaja logo jika adalah benar-benar sebuah lambang salib, ia tidak boleh dipakai sama ada di baju atau lainnya bagi seorang Muslim. Kerana penganut Islam tidak dibenarkan mengiklankan sebarang perkara yang bertentangan dengan Islam. Dalilnya adalah cukup mudah iaitu firman Allah:-

وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلإِثْمِ وَٱلْعُدْوَانِ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

Ertinya : dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya ( Al-Maidah : 2)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini membawakan sebuah hadis yang menjelaskan lagi larangan member apa jua bantuan sama ada tersirat dan tersurat kepada hal ehwal yang bertentangan dengan aqidah dan hukum Islam. Hadisnya

ومن دعا إلى ضلالة كان عليه من الإثم مثل آثام من اتبعه إلى يوم القيامة ، لا ينقص ذلك من آثامهم شيئا

Ertinya : Barangsiapa yang menyeru atau mengajak ke arah sesuatu yang sesat (dosa), dia akan menanggung dosanya sebagaimana dosa-dosa orang yang mengikuti ajakan dan seruannya sehinggalaha hari kiamat, tidak terkurang dosa itu walau sedikit ( Riwayat Muslim & Ibn Majah )

RED DEVIL, CARLSBERG & CHEVROLET


Jika ia bukan lambang salib, tapi hanya dirasakan sebagai salib hasil imaginasi sendiri, maka tiada masalah untuk memakainya, contohnya seperti kereta Chevrolet. Lambang kereta ini, seseorang individu mungkin menganggapnya sebagai salib namun individu yang lain mungkin merasakan sebaliknya termasuk orang kristian sendiri. Apapun, jika seseorang itu secara tidak dapat dikawal sentiasa terbayang merasakan ia lambang salib, tatkala itu, elok ia dijauhi juga. Namun, dalam konteks biasa, logo kereta tersebut bukanlah salib.

Satu persoalan berkaitan adalah lambang Red Devil pada logo Manchester United.

Walaupun hakikat sebenarnya kita tidak tahu bentuk Syatitan yang sebenarnya, namun apabila manusia telah membuat imaginasi tersendiri berkenaan bentuk Syaitan, menamakannya sebagai Devil dan diterima umum sebagai satu lambang Devil. Tatkala itu lambang Red Devil yang berada di logo Manchester United juga termasuk dalam antara logo-logo yang TIDAK BOLEH, diiklankan dan disyiarkan (ditayang dan dibanggai) oleh seorang Muslim sama ada ditampal di dinding mahupun digunakan di atas pakaiannya.

Justeru, apa-apa logo jika telah diterima umum sebagai satu lambang syaitan, kemungkaran, kejahatan, heavy metal dihiasi amalan dan perbuatan kesyaitanan seperti (Black Metal). Logo itu telah menjadi haram untuk digunapakai.

Berbalik kepad Red Devil, jika ia benar-benar membawa imej umum sesuatu yang bersifat kesyaitanan, atau apa-apa aktiviti kesyaitanan dan dosa. Tatkala itu sudah termasuk dalam kategori Black Metal dan sememangnya tidak terlepas dari hukum haram.

LOGO MANCHESTER UNITED HARUS DAN MAKRUH BILA ?

Tetapi jika imej kesyaitanan dan aktviti dosa besar seperti Black Metal tersebut tidak berkait dengan Red Devil, kerana ia lebih membawa imej umum kepada hal bola sepak dan sukan, tatkala itu ia masih boleh digunakan.

Begitu juga jika ada individu tertentu boleh menyongsang arus lalu mendakwa ia berjaya mengelakkan hati dan pemikirannya dari mengakui ia sebuah lambang syaitan, dan kekal merasakan ia hanya sebuah lambang kumpulan bola sepak terkenal dunia yang tiada kaitan dengan syaitan atau sepertinya, tatkala itu BOLEH dan DIHARUSKAN baginya untuk memakainya.

Walaupun begitu, jika ia boleh menimbulkan fitnah di kalangan orang lan yang melihat, sehingga pemakai dianggap selaku menyokong sesuatu yang diharamkan, hukum HARUS berubah kepada makruh. Kesimpulannya, dalam hal Red Devil, hukum boleh jadi berbeza-beza kerana kepercayaan, keyakinan si pemakai dan orang yang melihat. Yang terbaik, sudah tentulah menjauhinya akibat rasa syubhah yang wujud.

Yang pasti, individu yang soleh dan mengabdikan diri kepada Allah tidak akan sama sekali memerlukan logo ini di dalam kehidupannya. Jika berminat sekalipun, cukuplah menyokong pasukan tersebut dalam pertandingannya tanpa perlu melibatkan diri dan menghabiskan duit dengan membeli jersi-jersi dan barang berlogo sebegitu.


Namun begitu, memakai jersi pasukan Liverpool yang dengan jelas memaparkan logo arak Carlsberg adalah muktamad hukumnya adalah HARAM menurut hukum Islam berdasarkan dalil-dalil dan hujah sebelum ini dan juga yang diberikan di bawah.


Pengharaman juga adalah MUKTAMAD bagi mana-mana pakaian dan barangan yang mempromosi iklan bank-bank konvensional yang menawarkan produk Riba. Umat Islam dilarang sama sekali secara sepakat ulama, mempromosikan mana-mana bank konvensional kerana dosanya sama seperti berperang dengan Allah dan RasulNya serta berzina 36 kali. Baca di SINI dan SINI .

Hujah dan tulisan ini bukan semata-mata TERHAD kepada kumpulan dan logo yang disebutkan, namun meliputi logo-logo dan jersi-jersi mana-mana pasukan dan kumpulan lain di dunia.

LAGI DALIL HADIS

Selain dalil Al-Quran di atas, sebahagian dalil lain kepada pengharaman mengguna termasuk memakai sesuatu yang diharamkan untuk Muslim adalah hadis :-

نهانا رسول الله صلى الله عليه وسلم أن نشرب في آنية الذهب والفضة وأن نأكل فيها، وعن لبس الحرير والديباج وأن نجلس عليه، وقال: هو لهم (أي للكفار) في الدنيا ولنا في الآخرة

Ertinya : Rasulullah Sallahualahiwassalam telah melarang kami makan dan minum dari bekas yang diperbuat dari emas dan perak, dan memakai (kaum lelaki) pakaian dari sutera dan juga menggunakannya untuk alas duduk, baginda juga berkata : itu semuanya untuk orang kafir di dunia, dan kita hanya dibenarkan di Syurga kelak. ( Riwayat Al-Bukhari)

Berasaskan dari hadis terbabit, lalu para ulama membuat kesimpulan sebuah kaedah iaitu :-

وما حرم استعماله حرم اتخاذه تحفة وزينة

Ertinya : dan apa-apa yang diharamkan penggunaanya, diharamkan juga mengambilnya sebagai baranngan yang disayangi ( barang dianggap berharga = masterpiece) dan perhiasan. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusuf Al-Qaradawi)

Kaedah ini menjawab persoalan sama ada ia diagungkan atau tidak, hakikatnya pemakaian, menjadikan hiasan sama ada sebagai pakaian, hiasan di rumah dan ditontonkan kepada orang ramai itu adalah sebenarnya secara langsung merupakan satu bentuk pengagungannya.

KESIMPULAN

Hukumnya memakai baju kumpulan bola berlambang salib secara jelas dan berlogo apaapa jenama yang diharamkan oleh Islam seperti Carlsberg itu adalah berdosa dan diharamkan untuk orang Islam memakainya dan dijadikan perhiasan dan masterpiece yang dibanggai.

Mankala hukum memakai pakaian yang berlambang Red Devil adalah di antara Harus dan Makruh sebagaimana yang disebutkan situasi berbezanya di atas. Namun, sekiranya ia benar-benar dianggap sebagai logo dan tanda Devil dan tanda negatif dan kejahatan bagi masyarakat awam di sesuatu tempat, ia boleh berubah menjadi haram.

Manakala menggunakan kereta berlogo Chevrolet adalah harus.


Sekian


Zaharuddin Abd Rahman


Muslimat PAS Melaka benar ‘poligami’ penuhi kuota

Harakahdaily, 17 Nov 2013


Sebahagian peserta muslimat Konvensyen PAS Melaka kali kedua.

MELAKA: Ketua Dewan Muslimat PAS Melaka, Kintan Man menarik perhatian para peserta konvensyen apabila menyatakan pihaknya membenarkan ‘poligami’.

Katanya, walaupun perkataan itu tidak disenangi oleh muslimat, namun Muslimat PAS negeri membenarkan ‘poligami’ sehingga memenuhi kuota.

Justeru, katanya setiap PAS cawangan perlu ‘berpoligami’ untuk menubuhkan cawangan baru bagi mengukuhkan PAS di negeri ini.

Maksud beliau, memenuhi kuota itu 'mempoligamikan' PAS cawangan dengan mewujudkan empat cawangan PAS dalam setiap unit peti undi (UPU).

Ini, katanya untuk menjadikan Muslimat PAS cawangan bertambah aktif.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada forum bertajuk ‘PAS Melaka Menghadapi Cabaran Masa Depan’ yang diadakan sempena Konvensyen PAS Melaka kali kedua di Bukit katil, dekat sini hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Sofi Wahab turut menggesa supaya cawangan PAS di negeri ditambah di samping mewujudkan lebih banyak Pasti untuk menarik sokongan masyarakat.

Saranan supaya cawangan PAS ditambah setiap tahun turut disentuh oleh Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya negeri, Adly Zahari ketika berucap pada majlis perasmian sebelum itu.

Isnin, 11 November 2013

Pengganas: The Star biadap, tarik balik laporan

Salmiyah Harun, 12 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Akhbar The Star hari ini memetik nama Almarhum Ibrahim Libya dan mendakwa beliau salah seorang pengganas yang berjaya ditumpaskan oleh pihak berkuasa pada 19 November 1985.

Di bawah tajuk Major Cases Involving Violant Deviant Groups in Malaysia Almarhum Ibrahim Libya disenaraikan bersama pengganas dan kumpulan ajaran sesat yang lain iaitu kumpulan Imam Mahadi, Al-Ma'unah dan Tuhan Harun.

Laporan itu mendapat kecaman daripada Pemuda PAS Malaysia dan Pemuda PAS Kedah yang menyifatkan The Star telah menghina Tuanku Sultan Kedah Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah yang pernah mencemar duli menziarahi kubur almarhum Ustaz Ibrahim Libya.

Malah menurut Ketua Pemuda PAS Kedah, Mohd Nasir Zakaria, laporan akhbar terbabit telah menggambarkan tahap mentaliti pemilik akhbar yang semakin memualkan.

"Petikan itu adalah satu provokasi untuk mewujudkan satu ketegangan agama di dalam negara dan di kalangan masyarakat.

"Petikan dan siaran itu adalah sesuatu yang amat jahat dan tidak beretika," katanya kepada Harakahdaily.

Tegasnya Dewan Pemuda Kedah, menuntut pihak The Star menarik balik dan memohon maaf segera kepada seluruh umat Islam dan ahli keluarga yang terlibat dalam isu Memali ini.

"Kita tidak teragak-agak akan membuat membuat laporan Polis dan dalam masa tiga hari sekiranya tiada tindakan daripada The Star.

"Kami akan memohon mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menyampaikan memorandum bantahan kerana baginda adalah Ketua Agama Islam Malaysia," katanya.

Sementara itu, AJK Dewan Pemuda PAS Malaysia, Suhaizat Kaiat dalam satu kenyataan menyifatkan tuduhan tersebut tidak tepat dan biadap.

Ini kerana peristiwa Memali yang dimaksudkan oleh The Star adalah peristiwa yang masih gagal disabitkan sebagai aktiviti pengganas melibatkan Almarhum Ust Ibrahim Libya sebagai pemimpin masyarakat di situ.

"Bahkan sejarahwan dan pengamat politik di Malaysia sendiri sebahagiannya menyatakan tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa melalui arahan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir ketika itu sebagai perdana menteri sebagai memiliki agenda tersembunyi," katanya.

Bahkan katanya, fakta sejarah sendiri telah menyaksikan bahawa status Almarhum Ibrahim Libya dan beberapa rakannya yang ditembak sebagai syahid dan turut disahkan oleh ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Kedah, Tuan Guru Haji Yahya Junid dan Ustaz Azahari Abd Razak ketika itu.

Justeru, tegas Suhaizan untuk meletakkan kedudukan Almarhum Ibrahim Libya sebagai pengganas di Malaysia seperti mana dilaporkan The Star adalah tidak bertanggungawab dan biadap sama sekali khususnya kepada ahli keluarga dan kebanyakan rakyat yang mengenali Almarhum.

"Bahkan, kes Memali yang telah beberapa kali dibawa ke mahkamah ini masih gagal diputuskan kedudukannya sehingga ke hari ini," katanya.

Justeru, beliau  mendesak The Star menarik balik berita tersebut dan memohon maaf terbuka kepada seluruh ahli keluarga dan kenalan Almarhum.

"Saya tidak teragak-agak untuk memobilisasi rakyat seramai mungkin untuk menyatakan bantahan ini sekiranya tiada sebarang tindakan tarik balik dan permohonan maaf dibuat oleh The Star," katanya.

Kanun Syariah: NDP teguh di belakang Sultan Brunei

Harakahdaily, 12 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Seluruh warga Parti Pembangunan Bangsa (NDP) menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan limpah rahmat, taufiq dan hidayah-Nya serta kekuatan dan keazaman yang kental ke atas Sultan Hassanal Bolkiah yang telah mengumumkan titah perkenan mewartakan Kanun Jenayah Islam pada 22 Oktober 2013 yang akan dilaksanakan secara berperingkat enam bulan dari sekarang.

Sehubungan itu, NDP mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Baginda di atas keputusan mewartakan Kanun Jenayah Islam itu.

“Kami amat tersentuh dengan keberanian, ketegasan dan hikmah Kebawah DYMM dan berikrar untuk terus berdiri di belakang Kebawah DYMM bagi memperkasa dan mempertahankan syariat Islam di bumi Brunei Darussalam ini,” ujar Presiden NDP, Mahmud Morshidi Othman (gambar) dalam satu kenyataan.

Kenyataan penuh seperti di bawah.

1. Seluruh warga Parti Pembangunan Bangsa (NDP) menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan limpah rahmat, taufiq dan hidayahNya serta kekuatan dan keazaman yang kental ke atas Kebawah DYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah mengumumkan titah perkenan mewartakan Kanun Jenayah Islam (Hudud) pada 22 Oktober 2013 yang akan dilaksanakan secara berperingkat enam bulan dari sekarang, Insya Allah.

2. NDP mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah DYMM dan Kerajaan Baginda di atas keputusan mewartakan Kanun Jenayah Islam ini. Kami amat tersentuh dengan keberanian, ketegasan dan hikmah Kebawah DYMM dan berikrar untuk terus berdiri di belakang Kebawah DYMM bagi memperkasa dan mempertahankan syariat Islam di bumi Brunei Darussalam ini.

3. Bermula tahun 1912, iaitu di era pemerintahan Sultan Muhammad Jamalul Alam II, telah dikuatkuasakan Enakmen Undang-Undang Islam 1912 (No.1/1912). Selanjutnya pada tahun 1948 Sultan Ahmad Tajudddin telah melantik Penasihat Jama’ah Syari’ah dalam usaha melaksanakan sistem perundangan Islam dengan lebih kemas dan teratur. Usaha murni tersebut kemudian diteruskan oleh Sultan Omar Ali Saifuddien III melalui penguatkuasaan Undang-Undang Majlis Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi pada tahun 1956 dan memaktubkan di dalam Perlembagaan 1959, Islam sebagai Ugama Rasmi Negara Brunei Darussalam.

4. Kini seratus tahun telah berlalu, Alhamdulillah, dapatlah dikira bahawa pewartaan ini adalah kemuncak kepada sebuah hasrat dan cita-cita Institusi Kesultanan Brunei untuk mengunggulkan syariat Islamiyah di Negara Brunei Darussalam.

5. Bertitik tolak daripada lakaran sejarah murni ini, kita memandang ke hadapan bahawa keadilan dan ihsan akan tetap tegak mengungguli sistem pemerintahan negara yang dicintai ini. Demikian itulah jalan paling lurus menuju negara aman makmur dan mendapat keampunan Allah.

6.Memetik titah Kebawah DYMM mengenai pewartaan Kanun Jenayah Syariah ini, “Tidak diragukan lagi, ia adalah sebahagian dari sejarah besar kita dan negara. Dengan ini, Alhamdulillah, pada peringkat ini tanggungjawab kita di hadapan Allah telahpun tertunai.”, adalah bertepatan dengan sistem pemerintahan raja mutlak di mana, kebertanggungjawaban di sisi Allah SWT adalah sepenuhnya terletak di pundak bahu Ulil Amri.

7. Justeru bagi setiap rakyat yang beriman dan cintakan keadilan adalah wajib untuk mentaati Baginda sebagai Ulil Amri selagi mana Baginda tidak mengajak rakyat ke jalan syirik. Presiden NDP dalam ucapannya di Kongres ke-8 NDP pada 21 Jun 2013 merakamkan, “Kesungguhan Baginda untuk melaksanakan Perintah Kanun Hukum Jenayah Syariah adalah suatu yang luar biasa kerana tidak ramai pemimpin Negara umat Islam yang mempunyai komitmen setinggi kesungguhan Baginda itu. Dalam hal ini, NDP telah menegaskan hukum WAJIB mentaati Baginda Kebawah DYMM.”

8. Dalam ucapan yang sama, Presiden NDP juga menggesa agar kerajaan menyediakan sarana yang selengkapnya bagi menjamin perlaksanaan kanun tersebut mencapai matlamat tuntutan Islam yang sebenarnya. Beliau menekankan betapa perlunya ada persiapan yang sempurna dan rapi dari aspek kerangka perundangan, pengamal dan pelaksana bagi menjamin keutuhan tuntutan syariah itu sendiri.

9. Dengan berkuatkuasanya Undang-Undang Kanun Jenayah Islam ini, insya Allah dengan inayahNya akan wujud masyarakat yang yang benar-benar gerun untuk melakukan sebarang bentuk jenayah. Contohnya, apabila seseorang itu takut dipotong tangannya, lalu dia akan terhalang dari mencuri dan sebaliknya ia akan mendorongnya supaya bekerja dan berusaha untuk mencari rezeki yang halal, natijahnya negara zikir ini akan melahirkan rakyat yang rajin dan bebas dari meminta-minta.

10. Insya Allah, sebarang sungutan dan keraguan mengenai Kanun Jenayah Islam ini pasti akan terhurai apabila nikmat keamanan dan kemakmuran sejati itu dapat dirasakan oleh setiap rakyat, sebab undang-undang jenayah Islam adalah berpaksikan keadilan dan perikemanusiaan, dan menjaga kepentingan dan maslahah yang lebih besar.

11. Kanun Jenayah Islam antara lain bertujuan memberikan pembalasan yang setimpal dengan kesalahan, bertujuan untuk mendidik dan mengajar masyarakat seluruhnya, sebagaimana hikmah perlaksanaan hukuman di khalayak ramai.

12. Islam menekankan peri perlunya melakukan pencegahan terhadap apa jua perkara yang boleh mendorong masyarakat melakukan jenayah dan maksiat. Umpamanya menutup pusat kegiatan maksiat, memudahkan urusan berpoligami, meningkatkan ekonomi dan pendapatan masyarakat dan sebagainya (amr ma’ruf nahi munkar).

13. Insya Allah bemulanya dari Kanun Jenayah Islam ini akan tertegaklah keadilan yang lebih luas yang diredhai oleh Allah SWT seperti yang diungkap oleh Allahyarham Prof Dr Saedon, “Setiap orang adalah sama di sisi undang-undang. Tidak ada orang yang di atas undang-undang tetapi memang ada yang dikecualikan oleh undang-undang ini, bukan kerana keistimewaannya tetapi kerana kekurangannya”.

“Dan di dalam hukum qisas itu ada (jaminan) kehidupan bagi kamu, wahai orang yang berakal supaya kamu bertaqwa.” (al-Baqarah: 179)

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya (dengan mematuhi segala hukum-hukumnya); dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (al-Baqarah: 208)

Al-Wathan Mesir: Presiden PAS nafi, ambil tindakan

Hazayani Zakaria, 12 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini menafikan laporan akhbar pro kerajaan rejim kudeta Mesir, Al-Wathan yang mendakwa beliau ialah Setiausaha Agung Antarabangsa Ikhwan Muslimin.

Beliau berkata, walaupun beliau dan PAS mendukung demokrasi dan menentang kudeta di Mesir namun adalah tidak munasabah beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung Antarabangsa Ikhwan Muslimin.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya dan berita ini adalah bohong dan sangat mendukacitakan. Adalah tidak munasabah saya yang duduk di timur jauh melibatkan diri secara langsung dengan apa yang berlaku di Mesir.

"Kita tidak masuk campur (krisis Mesir) cuma hak asasi manusia kita sokong bukan sahaja PAS tapi parti lain di barat yang mendukung demokrasi mahu hak rakyat dikembalikan.

"Mereka nak heret kita terlibat dengan Ikhwan itu adalah tidak benar kerana kegiatan Ikhwan terlibat dengan Asia Barat dan orang Asia Barat di Eropah, jadi tak munasabah nak letak saya sebagai setiausaha agung," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Akhbar itu yang memetik kenyataan bekas pemimpin Ikhwan yang telah keluar dari Ikhwan, Tharwat Kharbawi mendakwa bahawa Tuan Guru Abdul Hadi sebagai ketua kepada lima orang jawatankuasa pengurusan yang bertanggungjawab menguruskan tanzim di seluruh dunia selama tiga tahun.

Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang juga menyifatkan laporan tersebut sebagai provokasi untuk mengganggu hubungan PAS dengan pihak luar.

"Ini satu berita provokasi untuk menyulitkan kita dalam hubungan antarabangsa," katanya.

Justeru, tegasnya PAS sedang mengkaji tindakan guaman yang boleh diambil ke atas akhbar tersebut.

"Saya telah hubungi rakan-rakan di Asia Barat termasuk rakan di UK untuk menafikan berita ini dan kita serah juga kepada pihak guaman untuk mengambil tindakan sewajarnya," tegasnya yang juga Adun Rhu Rendang.

Pada 22 Oktober 2007, Tuan Guru Abdul Hadi memenangi kes saman ke atas Daily Mirror, sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris berhubung kes laporan palsu ke atas beliau.

Daily Mirror dalam akhbar dan juga web mereka, secara terang-terangan menyiarkan gambar Datuk Seri dan mengaitkan beliau sebagai perancang beberapa siri pengeboman di United Kingdom termasuk sebuah pusat membeli-belah di Kent.

Beliau juga telah dituduh sebagai orang ketiga dalam pertubuhan Al-Qaeda, dan sedang ditahan di Guantanamo Bay.

Khamis, 12 September 2013

LENGGONG - PAS kawasan berjaya mengadakan Mesyuarst Agung Tahunannya bagi kali ke-10 hari ini (6 Oktober 2013) di Maahad Tahfiz Lid Dakwah wal Imamah, Kampung Luat dengan dirasmikan oleh Pesuruh Jaya PAS Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Ustaz Abu Bakar Husin.
   Mesyuarat kali ini, sekali lagi menyaksikan Timbalan Pesuruh Jaya PAS Perak, Haji Razman Zakaria menang tanpa bertanding untuk jawatan Yang DiPertua (YDP) sepertimana dua tahun lalu, tetapi berlaku perubahan bagi jawatan Timbalan Yang DiPertua (TYDP) dan jawatan Ketua Urusan Ulamak.
   Ustaz Mohamad Hanafiah Haji Idris yang memegang jawatan Ketua Urusan Ulamak sebelum ini memenangi jawatan TYDP, mengalahkan Ustaz Mohd Husairi Ariffin.
   Bagi jawatan Naib Yang DiPertua (NYDP), Haji Zainal Abidin Saadan berjaya mengekalkan kedudukannya dengan mengalahkan pencabarnya, Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Kota Tampan, Mohd Nor Hamat.
   Manakala bekas Ketua Pemuda kawasan, Ustaz Mohd Wazir Mat Zain terpilih sebagai Ketua Urusan Ulamak, mengalahkan Ustaz Wan Ismail Wan Hashim.
   Sementara itu, Ustaz Abu Bakar, di dalam ucapan perasmiannya, mengingatkan supaya saf kepimpinan baru PAS kawasan dan cawangan menitikberatkan program-program tarbiyah supaya setiap ahli benar-benar faham dan sedar mengenai perjuangan PAS untuk menegakkan Isam.
   Selain itu, pemerkasaan parti, pengurusan dan penyusunan yang rapi dalam pentadbiran adalah sangat penting untuk menjadi sebuah parti yang mampu memerintah apbila diberi kemenangan oleh Allah SWT.

Rabu, 3 Julai 2013

ISU SERIA

Syria terus bergolak – siri II

Dr Mujahid Yusof Rawa, 03 Jul 2013
Pendahuluan

Setelah artikel saya yang pertama keluar dalam usaha untuk memahami konflik Syria, ramai yang meminta supaya artikel susulan ditulis bagi mencerakinkan lagi alasan bahawa isu di Syria bukan soal ‘sectarian violence’ antara Sunni vs Syiah tetapi ia lebih merupakan masalah kepincangan kepimpinan dan kepentingan geo-politik yang mengancam kepentingan kuasa besar.

images

Kezaliman Melepasi Mazhab Tidak ada mana-mana mazhab samada Sunni atau Syiah yang mewajarkan sebarang bentuk kezaliman. Pemeliharaan nyawa adalah merupakan titik persetujuan Sunni dan Syiah melainkan mana-mana Sunni dan Syiah tidak menghormati prinsip ini maka tindakannya tidak boleh dianggap sebagai amalan Sunni atau Syiah tetapi amalan individu yang merosakkan nama mana-mana mazhab. Basyar Al Assad hanya mewarisi kezaliman dari ayahnya Hafez Al Assad apabila suara bangkangan terus ditindas. Kebangkitan rakyat sudah sampai ke kemuncaknya di mana mereka melepasi garis takut dan Basyar bertindak balas dengan terus mengancam dan membunuh rakyatnya.
Logik yang mudah difahami dalam konflik hubungan pemimpin dan rakyat ialah keganasan hanya akan melahirkan keganasan seumpamanya. Basyar tidak melihat dalam kerangka demokrasi yang dituntut oleh rakyatnya tetapi Basyar memburukkan keadaan dengan menjadi lebih diktator dalam menghadapi situasi ini. Implikasi reaksi dalam konteks pergolakan politik adalah punca utama dan bukan kerana golongan Sunni memberontak terrhadap golongan Syiah.

NEW-SYRIA

Ironi Majoriti vs Minoriti

Jika kita mengandaikan asas konflik berdarah di Syria ialah kerana pertembungan minoriti vs majoriti, keadaan di Iraq pada zaman Saddam Husin menyaksikan golongan Sunni yang minoriti memerintah Iraq yang majoritinya ialah Syiah. Di Syria pula golongan Syiah yang minoriti dari Alawiyin menjadi pemimpin untuk golongan rakyat yang majoritinya ialah Sunni.
Apakah kebangkitan rakyat di Iraq tempoh hari dengan kehadiran tentera penjajah Amerika merupakan kebangkitan Syiah ke atas Sunni?
Ataukah di Syria kebangkitan Sunni ke atas Syiah?
Saya tidak berfikir demikian tetapi kedua-dua pemimpin sama ada Saddam atau Basyar berkongsi satu sebab mengapa rakyat memberontak iaitu penindasan ke atas rakyatnya sendiri. Jadi isunya ialah penindasan dan penindasan boleh berlaku majoriti menindas minoriti mahupun minoriti menindas majoriti seperti kesnya di Iraq era Saddam dan Syria kini. Kepentingan Kuasa Besar
Ada dua kepentingan kuasa besar di Timur Tengah, pertama minyak dan kedua ialah kewujudan Israel mesti dipelihara. Syria berada pada kepentingan kedua Kuasa Besar. Amatlah kurang bijak untuk kita mengandaikan Amerika yang mewakili Kuasa Besar tidak mengambil kesempatan kebangkitan rakyat di Syria.
Pendekatan Amerika selama ini ialah untuk memastikan ‘regime change’ berlaku supaya kepentingan Israel dipelihara dan penentangan terhadap Israel dari pejuang Palestine dapat dikawal. Syria dalam perspektif Amerika adalah jiran Israel yang buat masa ini tidak banyak membantu dasar Amerika terhadap Israel.
Malah Syria menjadi tempat perlindungan kepada pejuang Hamas yang Sunni dan Hizbullah yang bermazhabkan Syiah. Perlindungan itu bukan kerana mazhab kerana Hamas bukan dari mazhab Syiah, ia lebih merupakan dasar Syria yang tidak mengiktirafi Israel malah menuntut Bukit Golan yang ditawan Israel. Amat jelas perlindungan Syria ke atas Hamas dan Hizbollah adalah tentang kepentingan keselamatan dan memelihara kedaulatan bukan melindungi mana-mana mazhab. Keganasan Kepuakan
Terma ‘Keganasan Kepuakan’ atau ‘Sectarian Violence‘ dipakai untuk menggambarkan konflik antara fahaman atau mazhab atau agama dari penduduk dalam negeri yang sama. Pertembungan Sunni dan Syiah bukanlah isu yang baru, ia bermula sejak peristiwa pembunuhan Saidina Ali dan berterusan pertembungan itu sepanjang sejarah umat Islam.
Masalahnya ialah ketika proses konflik ini berlaku muncul ajaran-ajaran sesat sehingga setiap mazhab mempunyai ajaran sesat masing-masing. Basyar adalah daripada Syiah Alawiyin yang bagi golongan Syiah sendiri menganggapnya sebagai sesat. Jadi ungkapan Syiah lawan Sunni itu sendiri perlu diberi fahaman yang jelas malah Basyar juga seorang yang mengamalkan dasar negara yang berfahaman Baath Nasiriyiah (Sosialis Arab).
Teori Sunni vs Syiah perlu dilihat dalam konteks pertembungan bersifat politik lebih daripada kepuakan. Kepuakan dijadikan alat sahaja untuk mengukuhkan kepentingan politik pihak tertentu sebagai sentimen untuk kepentingan mengekalkan kuasa atau merebut kuasa. Cetusan semangat mazhab dalam hal ini lebih mudah dibangkitan berbandingkan isu ekonomi mahupun politik.
Amat jelas di Syria isu mazhab hanyalah sentimen untuk mendapat simpati namun kesannya amatlah buruk kerana ia menjadi satu medan pertempuran yang lebih luas menjangkau luar bumi Timur Tengah. Usaha dialog demi keharmonian mazhab pasti akan terbantut kerana syak wasangka semakin meningkat dan sentimen prejudis menguasai keadaan. Apakah Penyelesaiannya?
Jelas dalam hal ini remedi mesti berpandukan kepada masalah sebenarnya yang berlaku di Syria. Pastinya Basyar perlu berundur kerana  kezalimannya untuk mempertahankan kuasa berada di kemuncak. Negara Islam mesti memberi tekanan dengan memutuskan hubungan dengan regim Basyar.
Penyelesaian politik melalui kesatuan semua pihak yang memberontak supaya bersetuju untuk menumpukan tekanan pada rekonsiliasi nasional mesti digerakkan oleh negara Islam dan masyarakat antarabangsa. Kesalahan jenayah perang dari kedua belah pihak hendaklah dihadapkan ke mahkamah antarabangsa manakala isu pelarian semestinya perlu mendapat perhatian masyarakat antarabangsa. Dengan menumpukan kepada permasalahan sebenar kita boleh menghindari sentimen Sunni vs Syiah yang kini menguasai polemik isu di Syria.
Penulis ialah AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.