Mahathir berhutang pada sejarah hidup sendiri |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Tun Mahathir Mohamad menjadi seorang tua yang berhutang pada sejarah hidupnya sendiri dan merasai penuh kekesalan dan kekecewaan. Lantas, kata Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh (gambar), bekas perdana menteri itu cuba memperbetulkan kesilapan-kesilapannya melalui penulisannya. Justeru, katanya di antara motif utama yang dapat disimpulkan dari tindakan Mahathir pada memoirnya kali ini adalah ingin mempengaruhi padangan umum (public opinion) terhadap kes Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini, tambahnya kerana tindakan pertamanya dulu semasa berkuasa untuk melumpuhkan Anwar telah gagal. “Motif sebenarnya, hanya Allah dan dia sajalah yang tahu. “Cuma sebagai seorang Islam, kita mestilah meyakini bahawa segala apa saja tindak-tanduk yang kita lakukan sama ada dalam bentuk percakapan, penulisan dan sebagainya, semuanya akan dicatat oleh malaikat raqib dan atiq. “Dari catatan itu kelak kita akan dipertanggungjawabkan oleh Allah di akhirat kelak,” ujarnya. Justeru itu, kata beliau jika pada catatan ada unsur-unsur penipuan atau pembohongan maka kita akan menerima akibat azabnya daripada Allah di akhirat nanti. “Mungkin beliau boleh membohongi ramai orang dan dirinya sendiri, tapi tiada siapa yang dapat membohongi Allah. Allah Maha Mengetahui. “Tetapi apa yang perlu kita sedari juga bahawa sesuatu pembohongan itu walau dalam bentuk apa sekalipun akhirnya kebenaran akan datang,” ujarnya lagi. Malah, menurutnya sejak di dunia lagi manusia tidak dapat menerima pembohongan. Kebenaran itu, jelasnya adalah yang hakiki dan Allah tidak akan redha serta akan ada manusia yang berjuang untuk menegakkan kebenaran walaupun ia akan memakan masa yang lama. Kata pepatah Inggeris, You can fool some people some times but not all people all the times – kamu boleh menipu sesetengah orang pada sesuatu masa tapi tidak semua orang setiap masa. Sehubungan itu, katanya adalah amat malang sekali bagi seorang tokoh negarawan seperti Dr. Mahathir menulis memoirnya mempertikaikan sejarah. Beliau berkata, Mahathir seolah-olah cuba memperbetulkan kesilapan-kesilapannya dari kaca-matanya sendiri yang menjadikan memoirnya sangat kontroversial ataupun memang beliau sengaja mencari kontroversi. “Dari kontroversi yang tercetus itu adalah amat malang sekali bagi beliau dalam usia lanjut melihat dan memikul persepsi buruk yang bertimpa-timpa pada hasil kerja buatnya yang terdahulu,” katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan