Dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh setiausaha akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari, semalam - menteri besar itu berkata tafsiran penasihat undang-undang negeri amat penting kerana isu itu turut membabitkan enakmen kerajaan persekutuan.
Nik Aziz sebelum itu menemui rombongan Pakatan Rakyat bagi membincangkan larangan penjualan tiket loteri di negeri itu yang menjadi modal politik terbaru MCA dan rakan parti komponen BN.
Pengeluaran tiket loteri dan lesen judi adalah di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan Umno-BN sungguhpun penjualannya adalah tertakluk kepada undang-undangan pihak berkuasa tempatan.
Nik Aziz mengadakan pertemuan dengan Ketua Pemuda DAP Anthony Loke, Ahli Jawatankuasa Pusat DAP Liew Chin Tong, Ketua Penerangan PKR, Dr Mohd Nur Manuty dan Setiausaha Agong PAS Datuk Mustapa Ali.
Keputusan berimbang
Mustapa ketika dihubungi berkata, penasihat undang-undang negeri telah ditugaskan untuk mengkaji dari sudut perundangan berhubung larangan penjualan tiket loteri di negeri berkenaan.
"Selama ini ia tidak mendatangkan sebarang masalah. Yang menjadi pertikaian hanya kerana big sweep itu yang dikatakan tidak memerlukan premis. Jadi oleh itu, kita akan serahkan kepada pihak yang berkenaan untuk mengkaji hal itu," katanya.
Mengulas keputusan yang dicapai dalam mesyuarat itu, Dr Mohd Nur pula berkata, kerajaan negeri Kelantan membuat keputusan yang berimbang untuk memenuhi tuntutan agama Islam dan keperluan penganut lain di negara ini.
"Nampaknya kenyataan itu adalah keputusan yang berimbangan dan tidak mendatangkan masalah kepada orang bukan Islam," katanya.
Dalam kenyataan media yang dibacakan oleh setiausaha akhbarnya, Nik Aziz turut melahirkan rasa kesal terhadap kerajaan persekutuan kerana masih menghalalkan perjudian secara terbuka yang memberi kesan buruk kepada rakyat Islam dan bukan Islam.
Bagaimanapun jelas beliau, kerajaan negeri mengambil pendirian terbuka terhadap sebarang cadangan dan saranan bersabit larangan penjualan tiket loteri di premis tidak belesen
Dasar haramkan judi
Ahmad Fadhli berkata, umumnya dasar mengharamkan perjudian yang dipelopori oleh kerajaan negeri Kelantan tidak berubah sejak dilaksanakan lebih 20 tahun lalu.
"Cuma yang menjadi masalah ialah loteri-loteri yang tidak memerlukan premis berlesen untuk dijual. Jadi kita akan serahkan pada penasihat undang-undang untuk membuat tafsiran. Kita tidak mengubah dasar (tetapi) isu ini perlu dilihat dari dari sudut undang-undang.
"Jadi soal loteri big sweep yang tidak memerlukan premis berlesen untuk dijual, Kerajaan Kelantan bersedia nak menyerahkan pada penasihat undang-undang untuk membuat kajian," katanya ketika dihubungi TV Selangor.
Menurutnya, kerajaan negeri juga bersedia memberi penjelasanan sekiranya diperlukan berhubung isu itu pada bila-bila masa.
Dalam pada itu, Mustapa berkata tafsiran undang-undang adalah diperlukan untuk memastikan sebarang bentuk larangan tidak bercanggah dengan undang-undang yang sedia ada.
DAP akur
Sementara itu, Harkahdaily memetik Anthony Loke berkata, semua bangsa di Kelantan telah menerima larangan kegiatan tersebut sudah melewati 20 tahun.
“Masyarakat Cina telah menerima pentadbiran PAS dalam tempoh 20 tahun. Dasar PAS sudah diketahui termasuk bukan Islam.
“Itu tidak lagi menjadi isu, yang ditimbul sekarang hanya penjualan tiket loteri sahaja. Ini kerana ada pihak berhujah loteri tidak memerlukan premis dan diberi kelulusan kerajaan pusat.
“Dan apabila kerajaan negeri menguatkuasa larangan itu seolah-olah melampaui batasan kuasa kerajaan pusat. Dan kerajaan Kelantan menjelaskan isu ini akan dikaji penasihat undang-undang,” katanya pada persidangan media selepas perjumpaan itu di Kota Darulnaim.
Katanya, pihak DAP berpuas hati dengan pendirian Nik Aziz untuk merujuk isu berkenaan kepada penasihat undang-undang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan