MENENTANG LARANGAN JUDI DI KELANTAN - BEZA MCA DAN DAP, PAS DAN UMNO
APABILA Chua Soi Lek mengambil langkah untuk menyaman Kerajaan Negeri PAS Kelantan di dalam isu mengharamkan judi, terfikir pula oleh saya apa tindakan Umno selanjutnya? Kita tahu bahawa beberapa pemimpin DAP juga menentang tindakan Kerajaan Negeri PAS di bawah Tuan Guru Nik Aziz di dalam isu tersebut, tetapi tidak seorang pun pemimpin DAP yang menentang sehingga ke tahap mahu menyaman Kerajaan Negeri.
Itu beza MCA dan DAP walaupun mereka kebanyakan dari bangsa dan agama yang sama. Tetapi oleh kerana MCA berkawan dengan Umno, dan DAP pula berkawan dengan PAS maka itulah bezanya pendekatan mereka. Bukan susah untuk difahami mengapa mereka menentang tindakan Kerajaan Negeri Kelantan tersebut. Pertamanya, mereka Non Muslim dan sudah tentu mereka tidak tahu apa yang Islam mahu capai dengan langkah pengharaman tersebut. Keduanya, mereka berhujah dari segi Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada iaitu kebebasan kepada Non Muslim.
DAP walaupun menentang tetapi masih boleh Kerajaan Negeri runding dan beri kefahaman agar mereka faham aspek perlaksanaannya serta kesan dari larangan tersebut. Ertinya, DAP tidak menentang secara mutlak. Tuan Guru Nik Aziz juga telah membuat kenyataan untuk berjumpa dengan kepimpinan DAP agar mereka memahami tentang hukum ini kepada orang Islam. Berbeza dengan pemimpin MCA, mereka menentang secara mutlak iaitu bercadang untuk menyamannya tanpa meminta penjelasan atau keterangan terlebih dahulu daripada Kerajaan Negeri. Jika mahu ditafsirkan siapa `Kafir Harbi' di sini, saya tidak berani huraikan.
Langkah MCA ingin menyaman Kerajaan Negeri di dalam isu ini tidak ubah dengan cara Mahathir yang pernah mengutus surat kepada Kerajaan Negeri Kelantan dahulu agar tidak melaksanakan Hukum Hudud di negeri tersebut. Kedua-duanya sama iaitu menentang hukum Islam secara mutlak. Bezanya, Mahathir itu mengaku Islam dan Chua Soi Lek adalah Non Muslim. Sekeras-keras teguran dari DAP adalah dari Karpal Singh suatu ketika dahulu di mana beliau pernah berkata, 'langkah mayat saya dahulu jika mahu Hudud dilaksanakan'.
Di dalam konvensyen PR baru-baru ini, Karpal menyebut perkataannya itu adalah di luar konteks sebenar. Beliau mengambil pendirian terbaru bahawa DAP bersedia untuk berbincang dengan PAS berkaitan hukum Islam. Pendirian terbaru DAP ini tidak dihebahkan oleh media pencacai melainkan sering mengungkit kenyataan lama Pengerusi DAP tersebut. Oleh itu, tindakan Tuan Guru Nik Aziz yang sanggup berbincang dengan DAP di dalam isu ini adalah selaras dengan apa yang Karpal Singh suarakan.
Chua Soi Lek berani berbuat demikian kerana beliau beranggapan bahawa haramnya judi itu adalah kehendak PAS semata-mata, sedangkan itu bukan kehendak PAS tetapi itu adalah perintah Allah. Mengapa Chua Soi Lek tidak faham? Jawapannya mudah, kerana beliau berkawan dengan Umno dan Umno tidak memaklumkan kepadanya tentang hukum berjudi di dalam Islam. Bahkan, Umno sebagai tunjang kerajaan pusat meluluskan lesen judi terbesar di genting dan pernah bercita-cita untuk melaksanakan judi bolasepak Piala dunia baru-baru ini. Oleh yang demikian, pemimpin di dalam MCA dan Gerakan atau MIC menganggap judi dibenarkan di dalam Islam kerana Umno sendiri redha dan pemimpin dan ahli Umno semuanya mengaku Islam. Pada fikiran Chua Soi Lek, jika Umno yang Islam kata boleh mengapa PAS yang Islam juga kata tidak boleh? Justeru itu, siapa yang menyesatkan siapa? Jangan nanti Chua Soi Lek mahu agar hubungan seks bebas atau oral seks dibenarkan kerana itu hak mereka yang Non Muslim.
Kepada Kerajaan Negeri Kelantan, teruskan usaha tersebut di dalam masa yang sama terangkan kepada mereka bahawa hukum Islam ini menjamin keharmonian semua. Biarlah Umno pula menerangkan kepada sekutu mereka dari MCA, Gerakan dan MIC tentang hukum berjudi di dalam Islam pada pandangan Umno. Adakah berjudi itu `halal' bila berlesen dan `haram' bila tidak berlesen, biarlah pemimpin Umno terangkan. Persoalannya, mampukah pemimpin Umno terangkan tentang Islam kepada sekutu mereka itu sedangkan isteri sendiri pun tidak tahu hukum menutup aurat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan