PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Khamis, 10 Mac 2011

Yayasan Permata dilancar dengan dana RM4.4 juta
Mac 10, 11 4:18pm
Kongsi 0
Program Permata, yang memberi fokus kepada pembangunan dan pendidikan kanak-kanak, hari ini melangkah setapak lagi ke hadapan dengan penubuhan Yayasan Permata dengan modal permulaan sebanyak RM4.4 juta.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung Permata berkata, dengan penubuhan yayasan itu, semua program-program Permata yang dimulakan sejak 2007 iaitu Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni dan Permata Insan diharap dapat dilaksana dengan lebih terancang dan tersusun di bawah naungan satu yayasan, tanpa bergantung sepenuhnya kepada pembiayaan kerajaan.

Beliau berkata, dana itu juga mungkin akan disalurkan dalam bentuk biasiswa pendidikan kepada pelajar Permata Pintar yang terpilih.

"Saya percaya masih banyak lagi perkara yang boleh kita lakukan untuk kepentingan kanak-kanak di negara kita, dan dengan adanya dana yang mencukupi, bolehlah kita merancang program-program yang baik untuk kanak-kanak,” katanya semasa majlis pelancaran Yayasan Permata di Kompleks Permata Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi hari ini.

Rosmah berkata sebelum penubuhan yayasan tersebut, sumbangan daripada beberapa badan korporat dan individu prihatin sebelum ini diletakkan di bawah tabung Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), namun setelah tertubuhnya yayasan itu, segala sumbangan yang diterima akan terus disalurkan ke dalam tabung yayasan.

Beliau berkata antara penyumbang awal termasuklah Yayasan AlBukhary, Khazanah Nasional, Perbadanan Nasional Berhad, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Berjaya Corporation.

"Saya berharap sumbangan awal ini akan mendorong lebih banyak badan-badan korporat dan lebih ramai individu prihatin lain untuk tampil menyumbang kepada tabung Yayasan Permata," katanya.

Sementara itu, Rosmah berkata seramai 116 pelajar telah melapor diri untuk menyertai kumpulan pertama program Permata Pintar yang bermula 17 Jan lalu itu, walaupun seramai 139 pelajar telah terpilih.

Beliau berkata sebagai langkah awal untuk menanam minat menjadi penyelidik berwibawa, sekumpulan pelajar tersebut akan dihantar untuk menyertai pertandingan Persidangan Komuniti APEC ke-6 bagi Saintis Masa Depan di Taipei, Taiwan untuk bertanding dalam bidang Teknologi Hijau, Astronomi dan Bio-Teknologi.

Rosmah juga berkata Kompleks Permata Pintar itu pula dijangka siap sepenuhnya pada 2013, di mana kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi pembinaan Fasa 1 dan RM54 juta lagi melalui Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) untuk Fasa 2, yang keseluruhannya boleh menampung 300 pelajar.

Pada majlis itu, Rosmah turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian di antara UKM dengan Sentienwave Technology Sdn Bhd dan LS Industrial System bagi memasang panel suria untuk digunakan dalam eksperimen teknologi hijau oleh pelajar program Permata Pintar itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan