Ahmad Tajdid,
|
26 Mei 2012
|
CHE DET buat lagi. kali ini mantan PM itu mendakwa kononnya Pakatan
Rakyat yang bakal tewas dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan
menganjurkan demonstrasi ganas tanpa henti untuk menolak keputusan itu.
Dakwa
Tun Mahathir Mohamad, pembangkang (Pakatan Rakyat) seterusnya akan
mengusahakan pilihan raya baru yang dimanipulasi mereka diadakan.
"Tunjuk-tunjuk
perasaan Bersih yang besar dan ganas adalah persediaan untuk menolak
keputusan PRU13 jika parti lawan gagal memenanginya.
"Kekalahan
mereka akan dituruti dengan demonstrasi ganas yang tidak berhenti-henti
supaya keputusan pilihan raya ditolak dan satu kerajaan lain didirikan,
yang ditunjuk oleh parti lawan," dakwa beliau dalam blognya.
Begitulah
Mahathir, seorang pengamal politik Machiavelli yang tidak sudah-sudah
dengan taktik 'reverse psychology'nya ketika berhadapan lawan politik.
Tidak
seperti di era pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi yang sering dikecam
beliau, Mahathir memilih untuk membantu menyerang Pakatan Rakyat dan
menyembunyikan ketidakpuasan hatinya terhadap pentadbiran Najib.
Alasannya mudah. Beliau tidak mahu BN yang semakin lemah hilang kuasa
dan seterusnya membolehkan seteru politiknya, Anwar Ibrahim menerajui
Putrajaya.
Oleh itulah kita lihat kini Mahathir lebih banyak
memberi komen berhubung politik negara berbanding isteri PM, Datin Seri
Rosmah Mansor!
Walaupun di awal pentadbirannya, Che Det
mengkritik dua mantan PM iaitu Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Hussein
Onn kerana didakwa selalu bersuara mencampuri urusan pentadbiran negara,
kritikan beliau nampaknya terkena batang hidung sendiri apabila gemar
bercakap mengkritik penggantinya pula.
Kepakaran Dr Mahathir sebagai seorang 'spin doctor' boleh dilihat dalam isu samseng politik yang kian menjadi-jadi sekarang ini.
Walaupun
para pemimpin Umno bersungguh-sungguh menafikan pembabitan parti itu
dalam beberapa kejadian di seluruh negara, umum mengetahui siapakah
dalang dan punca kejadian samseng-samseng itu mengganas.
Kejadian
terbaru membabitkan ceramah anjuran KeADILan di Lembah Pantai. Ceramah
yang disampaikan Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul
Izzah Anwar 24 Mei lalu dicemari insiden keganasan apabila pemimpin dan
hadirin dilempar batu dan telur oleh Pemuda Umno. Seorang warga emas
terpaksa dikejarkan ke klinik kerana tercedera terkena batu di kepala.
Motif
Umno mengadakan ceramah lebih kurang 100 meter daripada lokasi ceramah
anjuran KeADILan itu juga bertujuan mewujudkan ketegangan. Apatah lagi
ceramah itu disampaikan penglipurlara cerita lucah dan porno Umno, Umi
Hafilda Ali. Malah Umi Hafilda dilapor memekikkan perkataan "Anwar
al-Jub*ri. Dia pro-Israel. Dia bapa kaki perempuan" bagi menenggelamkan
ceramah Anwar.
Hampir 100 Pemuda Umno Lembah Pantai juga dilapor
menghalang jalan utama menghala ke ceramah KeADILan dan membawa sepanduk
bertulis "Anwar punca keganasan di negara ini".
Ucapan Nurul Izzah turut tertangguh 15 minit apabila bekalan elektrik sengaja dipotong.
Walaupun
Umno Lembah Pantai yang dipimpin Raja Nong Chik menafikan terlibat
dalam insiden ganas dan sabotaj itu, bukti-bukti yang wujud tidak boleh
menafikan penglibatan Umno.
Begitu juga dengan insiden yang
menimpa Anwar di Johor dan Pahang apabila kereta milik Ketua Pembangkang
itu menjadi mangsa tindakan samseng upahan Umno.
Di Melaka,
program menampilkan Pengerusi Bersama Bersih, S Ambiga baru-baru ini
turut diganggu samseng. Malah Adun (Umno) Serkam dan Ahli Parlimen
(Umno) Jasin turut dikesan berada di dalam kawanan gerombolan samseng
tersebut.
Beberapa kejadian kacau ganggu di hadapan kediaman S
Ambiga pasca himpunan bersih 3.0 punya kaitan dengan samseng Umno.
Walaupun pihak-pihak terlibat melindungi kegiatan samseng mereka di
sebalik nama badan bukan kerajaan (NGO), carian di internet membuktikan
penglibatan mereka dengan Umno.
Walau bagaimana kerasnya penafian
pemimpin Umno terhadap pembabitan parti itu dengan gerombolan samseng,
Umno tidak boleh bersembunyi di sebalik lalang nan sehelai. Di Melaka
sebagai contoh, budaya samseng politik dipelopori Pengerusi Perhubungan
Umno yang juga Ketua Menteri, Dato' Seri Mohd Ali Rustam sendiri.
Menjadi
hobi kepada Mohd Ali untuk mengadakan 'ceramah kilat' berhadapan lokasi
pentas ceramah pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat. Mohd Ali akan
menjerit-jerit menggunakan pembesar suara bagi mengganggu ceramah
Pakatan Rakyat walaupun yang berada di hadapannya hanyalah sekitar 20
atau 30 orang penyokong Umno/BN.
Di Terengganu, sikap yang sama
ditunjukkan pemimpin Umno apabila menganjurkan siri kempen "PAS Parti
Ajaran Sesat". Apa yang melucukan, tatkala ghairah menuduh PAS sebagai
'sesat', Umno masih teringin untuk bermuzakarah bagi mencapai 'perpaduan
ummah'. Begitulah hebatnya Umno bersandiwara untuk mengekalkan kuasa.
Walaupun
tindakan provokatif dan samseng Umno ini dilakukan secara berleluasa,
namun ia tidak langsung dilihat sebagai satu ancaman oleh pihak yang
bertanggung jawab terhadap keselamatan negara. Hatta mantan Ketua Polis
Negara sendiri menuduh Mursyidul Am PAS sebagai 'bapa kafir' hanya
semata-mata kerana menyokong perhimpunan duduk, bantah Bersih 3.0.
Mungkin
juga pihak polis berasa 'malu alah' memandangkan penaja dan pelopor
kegiatan samseng ini ialah para pemimpin Umno yang sebahagiannya ialah
memimpin kerajaan. Kumpulan-kumpulan samseng ini juga berselindung di
sebalik nama NGO. Mereka juga mendapat pelbagai gelaran yang
dianugerahkan pemimpin Umno. Antaranya "benteng ketiga pertahanan
negara".
Tidak hairanlah jika ada penganalisis politik
meramalkan PRU13 akan datang bakal menjadi PRU paling buruk dalam
sejarah negara. Kegiatan samseng politik akan sampai ke kemuncaknya pada
waktu itu. Dan tidak seperti tanggapan Dr Mahathir, kegiatan samseng
dan ganas itu bukan dipelopori Pakatan Rakyat tetapi didalangi BN yang
sudah tentunya diterajui Umno!