Bagaimanapun Ahmad mengaku di Parlimen semalam bahawa meskipun kedudukan Felda begitu utuh, syarikat itu membuat pinjaman RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad juga menegaskan tidak ada syarikat dalam kumpulan Felda yang menanggung kerugian.
Ini menurutnya adalah kerana Felda mencatat keuntungan RM1.197 bilion pada tahun lalu.
Bagaimanapun Ahmad kemudian mengakui bahawa sebuah syarikat yang dibeli untuk memasuki pasaran minyak masak di Amerika Utara menanggung kerugian.
Namun katanya, kerugian itu fenomena biasa dalam pembelian aset di luar negara.
Pada ucapannya di parlimen itu, Ahmad mempertikaikan angka-angka yang dirujuk oleh ketua pembangkang mengenai kerugian terkumpul Felda sebanyak RM500 juta dari tahun 2007 hingga 2010.
Sebahagian besar daripada kerugian itu dikatakan ditanggung oleh Felda Global Ventures menerusi pelaburan-pelaburan rapuh di luar negara, kata Anwar sambil memberikan contoh-contoh pelaburan yang dimaksudkan.
Tidak pernah tindas
Anwar meminta kerajaan Umno-BN menyatakan sama ada RM6 bilion itu digunakan oleh anak syarikat Felda, Felda Global Ventures untuk melabur dalam syarikat milik asing.
“Saya tidak tahu dari mana ahli parlimen Permatang Pauh mendapat angka-angka ini,” kata Ahmad dengan sekali lagi mencanang keuntungan RM1.197 bilion Felda tahun lalu.
Anwar berkata Felda sepatutnya mampu memperoleh keuntungan berlipat ganda sekiranya pengurusan lebih telus.
Namun akibat pengurusan lembab, peneroka dinafikan hak untuk menikmati keuntungan lebih tinggi memandangkan harga kelapa sawit dan getah dunia melambung tinggi.
Anwar menegaskan pencapaian anak syarikat Felda tidak mencerminkan aset begitu luas yang dimiliki oleh Felda serta potensi keuntungan yang bakal dicapai.
Tahun lalu, Ahmad mengaku, juga di Parlimen, bahawa rizab Felda susut daripada lebih RM4 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009.
Peneroka Felda dilihat sebagai “simpanan tetap” Umno ketika pilihanraya dan sebarang kritikan terhadap pengurusan Felda sering mengundang tindakan padah daripada pemerintah.
Ahmad pada siadang Dewan Rakyat juga mendakwa peneroka Felda tidak pernah ditindas, namun keputusan-keputusan mahkamah dalam beberapa saman yang difailkan oleh peneroka
menunjukkan hakikat yang sebaliknya.
Ribuan peneroka Felda memenangi hak untuk mendapatkan pampasan daripada Felda setelah hakim memutuskan mereka ditipu bayaran untuk hasil sawit yang diusahakan.
Antaranya, Mahkamah Persekutuan pada Ogos lalu memerintahkan Felda membayar RM11 juta kerana menipu sekumpulan peneroka di Kemahang.
ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini.
Wira Arjuna adalah seorang wartawan dan editor kanan yang berpengalaman luas dan pernah menerajui beberapa media arus perdana sebelum bersara menjadi pemerhati politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan