PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Jumaat, 17 Jun 2011

Iklan Top inside
711 peneroka Jengka pula saman Felda
Khairil Abdul Rahim
TEMERLOH, 17 Jun: Seramai 711 peneroka dari 16 tanah rancangan Felda seluruh Jengka memfailkan saman berjumlah RM344 juta kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berhubung dakwaan berlaku penipuan dan pecah amanah dalam urusan jualan hasil sawit. Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh melalui peguam Ms Daim & Gamany pagi ini, dengan menamakan Felda sebagai defendan pertama dan Felda Palm Industries Sdn Bhd, selaku defendan kedua.
Dalam kenyataan tuntutan, mereka mendakwa sentiasa dibayar mengikut kadar perahan gred (KPG) sejak 15 tahun yang lalu hanya 18.5% seperti yang dinyatakan dalam Akuan Penerimaan BTS, iaitu resit yang diberikan bagi setiap lori yang menghantar tandan buah sawit.
“Sedangkan tidak ada bukti jelas yang menunjukkan bagaimana Felda Palm Industries menetapkan kadar yang berbeza itu, yang diberikan setiap hari di setiap tempat penghantaran.
“Peneroka mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila kadar KPG sawit yang mereka terima tidak menyamai kadar lebih tinggi yang diperakukan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia,” kata peguam Sivarasa Rasiah yang membacakan kenyataan tersebut kepada media.
Tambahnya, berdasarkan kes Mahkamah Persekutuan mengarahkan pembayaran ganti rugi sebanyak RM11 juta kepada penerokapeneroka melalui wakil mereka, telah menghantar contoh hasil buah kelapa sawit mereka kepada tiga makmal bebas untuk menilai kadar sebenar KPG.
“Keputusan ujian makmal itu menunjukkan kadarnya ialah 31.5% dan setelah diselaraskan peneroka percaya purata KPG tidak kurang daripada 27%. Ini bermakna terdapat perbezaan purata 8.5% yang digunakan oleh defendan kedua.
“Kami mempunyai bukti menunjukkan bahawa pada 2008, 711 peneroka dari 16 rancangan Felda Jengka telah menghantar purata hasil 120 tan setiap seorang dan dibayar oleh Felda dengan purata harga RM560.
“Jadi dengan menggunakan angka kekurangan 8.5 peratus itu, Felda telah menyebabkan setiap peneroka kerugian RM257.60 setan, iaitu kira-kira RM30,912 bagi tahun 2008 sahaja. Justeru peneroka menganggap telah berlaku penipuan dan pecah amanah,” katanya.
Menurut Sivarasa, semua peneroka berkenaan mendakwa mereka terikat oleh Felda untuk hanya menghantar hasil kelapa sawit kepada Felda Palm Industries sahaja. Dalam pada itu, peneroka mendakwa kilang Felda juga telah memotong buah sawit dengan kadar 200 kilogram sebulan tetapi tidak dikembalikan kepada mereka. Dakwa mereka, ini membawa kerugian kepada mereka dengan kadar RM560 x 2.4 atau RM1,344 setahun bagi setiap peneroka atau RM14,333,760 bagi semua peneroka dalam tempoh 15 tahun. “Ini bermakna dalam tempoh yang sama, Felda telah menyebabkan kerugian kepada 711 peneroka-peneroka ini sebanyak lebih RM344 juta,” kata Sivarasa yang mengetuai panel peguam. Sementara itu, Sivarasa berkata laporan ini merupakan kes pertama di Pahang dan yang keempat di Malaysia melibatkan peneroka menyaman Felda dalam isu KPG. Sebelum ini sudah terdapat peneroka di Felda Kemahang, Moakil dan Serting.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan