Lagi Penipuan PRU 13 Di Bongkar
BAYAN BARU 13 Mei: Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mendedahkan
pembelian undi besar-besaran di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum
(PRU) lalu, dipercayai melibatkan peruntukan berjuta ringgit.
Katanya, perancangan cukup rapi dan sistematik itu dilakukan pihak
tertentu dengan pemberian voucher kepada pengundi, yang kemudian ditebus
dengan wang tunai selepas pilihan raya.
Katanya, sejak Jumaat lalu, pengundi di beberapa
kawasan dikesan membawa voucher tersebut untuk mendapat bayaran.
Antaranya di DUN Sungai Dua di Bayan Baru, DUN Pulau Betong di Balik
Pulau dan DUN Tanjung Bungah.
“Masa PRU, pihak berkenaan telah beri voucher dan beritahu pengundi
kalau BN menang, mereka boleh dapat special bonus. Selepas PRU, mereka
mula memberi special bonus ini. Pengundi dibayar dengan anggaran RM120
hingga RM200 setiap seorang,” ujarnya kepada keadilan daily.
Menurutnya, Laporan polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya telah dibuat
bersama bekas Speaker Pulau Pinang, Datuk Halim Hussain Jumaat lalu,
namun tiada tindakan diambil.
Malah ketika beliau melawat tempat berkenaan semalam dan kelmarin, pemberian tunai tersebut masih terus berjalan.
“Ini kes yang besar kerana menunjukkan pembelian undi besar-besaran berlaku di Pulau Pinang dan kita tidak nampak ada tindakan.
“Di tempat yang kita kalah, semuanya kalah dengan marjin yang cukup
rendah. Maka mungkin pengundi dipengaruhi dengan pemberian special bonus
untuk mengundi Barisan Nasional,” ujarnya.
Menurutnya, pihaknya mengesyaki pembelian undi itu dilakukan di banyak
tempat, membabitkan puluhan ribu pengundi dan peruntukan jutaan ringgit.
“Siapa yang mempunyai kekuatan organisasi yang begitu besar untuk
mengagihkan wang berkenaan dan kenapa pihak berkuasa tidak ambil
tindakan?” Soalnya.
Menurutnya, pagi tadi, enam calon DUN dan seorang calon parlimen dari
Pakatan Rakyat, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) Pulau Pinang.
Mereka ialah Datuk Abdul Halim Hussain (Dun Teluk Bahang), Mohd Tuah
Ismail (DUN Pulau Betong) Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Parlimen Balik
Pulau) Roshidi Hussein (DUN Penaga), Norhayati Jaafar (DUN Teluk Air
Tawar) dan Ahmad Zaki Yuddin Abd Rahman (DUN Pinang Tunggal).
Laporan itu dibuat di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954
kerana memberi wang sogokan atau rasuah sama ada sebelum, semasa dan
selepas pilihan raya. ~keadilandaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan