PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Isnin, 27 Mei 2013


Monday, May 20, 2013

Najib cuba tutup kegagalan 1 Malaysia


IPOH: Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib tentang Tsunami Cina adalah semata-mata untuk menutup kegagalannya merealisasikan konsep Satu Malaysia.

Menurutnya, konsep Satu Malaysia yang diwar-warkan oleh Najib telah ditolak oleh sebahagian besar rakyat di Negara ini kerana pemimpin-pemimpin BN itu sendiri tidak mendokong konsep tersebut.
 
Ahli Parlimen Batu Gajah itu berkata, BN menggunakan konsep itu untuk mengaburi mata rakyat terutamanya kaum bukan Melayu untuk mendapatkan sokongan mereka.
 
“Slogan retorik itu mungkin telah sedikit sebanyak menawan orang luar bandar yang tidak mempunyai pendedahan kepada media alternatif. 

“Walau bagaimanapun golongan yang lebih arif terutamanya dari kalangan penduduk bandar dan separa bandar telah tidak termakan dengan agenda tersebut,” katanya.

Katanya, BN bukan hanya hilang sokongan pengundi Cina, malah semua kaum telah menolak mereka disebabkan pemerintahan yang penuh korup, kezaliman dan perkauman yang diapi-apikan.

Jelasnya, untuk menutup kelemahan dan kegagalannya untuk mencapai prestasi yang baik, Najib cuba memutar belitkan isu dengan menuduh kaum Cina.

“Najib telah membuat percaturan yang salah dengan menyalahkan satu kaum yang sangat berjasa dan berkorban untuk tanah air ini.

“Tanpa sokongan orang Melayu dan India sudah tentu Pakatan Rakyat tidak boleh memperolehi jumlah undi yang begitu banyak.

“Pakatan Rakyat juga telah menang banyak kawasan-kawasan di mana jumlah pengundi Melayu adalah lebih besar daripada pengundi bukan Melayu,” jelas Sivakumar.

Ini katanya adalah satu bukti kukuh bahawa bukan sahaja kaum Cina malah seluruh rakyat Malaysia telah menolak BN dan menyokong Pakatan Rakyat dalam PRU13.

“Sudah tiba masa untuk BN berhenti permainan politik perkauman. Rakyat sudah muak dan benci dengan politik perkauman yang semakin melampau.

“BN akan hilang sokongan semua kaum jika tidak berhenti permainan politik kotor ini, tuduhan seperti itu telah mengambarkan isi hati pemimpin-pemimpin BNyang sebenarnya menanam tebu dibibir dengan melaungkan slogan 1Malaysia,” jelas beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan